Hari ni buka dan baca balik post lama. Ya, tulisan sendiri. Rasa malu dengan diri sendiri pun ada. Allah~
*********************
Amin bersekolah di Sekolah Menengah xxxxxxxx. Tahun ini dia menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun sikap Amin bukan seperti seorang pelajar.
- Pagi bangun lewat
- Pergi sekolah lewat. Selalu didenda oleh guru disiplin.
- Kadang-kadang ponteng kelas.
- Kalau pergi kelas pun, biasanya tidur kat belakang semasa guru mengajar.
- Subjek yang paling digemarinya bermula pada pukul 11.30-12.00 setiap hari. (kalau dalam jadual ditulis waktu rehat)
- Setiap petang main bola sepak. (Join selection wakil sekolah tapi tak dapat)
- Malam-malam main PES sahaja.
- Tak pernah ada masa untuk study.
SPM tiba. Amin menghabiskan hari-hari peperiksaannya dengan keadaan yang amat tertekan. Menyesal, sedih, bertaubat, insaf. Semua ada. Tapi apakan daya nasi sudah menjadi bubur.
Di hari keputusan SPM diumumkan, Amin mendapat panggilan dari pihak sekolah.
"Tahniah Amin. Awak telah berjaya menaikkan nama sekolah kita. Awak mendapat keputusan yang cemerlang. 24A+!! Rekod baru dalam sejarah sekolah kita."
Amin kebingungan. Tak tahu apa yang patut dia rasa. Gembirakah. Atau... (blank)
"Mungkin silap orang kot..", kata Amin apabila ditemuramah oleh sidang akhbar. Dia juga diumumkan sebagai pelajar terbaik Malaysia pada tahun itu.
Situasi 2
Pada tahun berikutnya. Junior kepada Amin, Amir. Dia mendapat aspirasi daripada seniornya. Dia menanam cita-cita untuk turut menjadi pelajar terbaik Malaysia. Tapi dia sedar kejayaan bukan bergantung kepada nasib semata-mata. Oleh itu, Amir telah merancang pelajarannya dengan baik.
- Bangun awal setiap pagi. Dia memulakan harinya dengan Qiamullail dan meneruskan dengan ulangkaji pelajaran sehingga subuh. Kemudian bergerak ke Masjid.
- Pergi awal ke sekolah.
- Dalam kelas, Amir merupakan seorang pelajar yang aktif. Sentiasa bertanya soalan kepada guru. Menawarkan diri untuk menjawab soalan di hadapan.
- Waktu rehat digunakan dengan sebaiknya. 15 minit untuk ke kantin dan bersih diri. 15 minit lagi untuk ulangkaji pelajaran pagi tadi.
- Kelasnya berakhir pada pukul 3.30 petang. Tapi biasanya dia pulang ke rumah hampir pukul 6 petang. Ulangkaji pelajaran di kelas.
- Maghrib dan Isya'nya pasti di masjid. Selesai, balik ke rumah dan ulangkaji sedikit untuk keesokan hari.
- Tidur awal.
Apabila keputusan SPM diumumkan, ia tdak mengecewakan Amir. Setimpal dengan usahanya selama ini. Dia juga diumumkan sebagai pelajar terbaik Malaysia dengan keputusan 20A+5A-. Walaupun tak sehebat seniornya Amin, tetapi dia berpuas hati.
"Semua ni kurniaan Allah untuk hambaNya yang hina..", bisik hati kecilnya.
Senyuman terpamer dibibir tak habis-habis. Bahagia. Terasa dunia ini dia yang punya..
Usaha wasilah kejayaan
Sembang-sembang
Siapa yang lebih bahagia. Amin atau Amir? Jika diberi pilihan untuk menjadi Amin atau Amir, saya akan pilih Amir.
Soalnya, adakah kejayaan itu yang membahagiakan? Jika ya, sudah tentulah Amin yang paling bahagia. Keputusannya lebih baik berbanding Amir. Tapi saya fikir Amir yang lebih gembira dan bahagia.
Jadi, apa yang menentukan bahagia jika bukan kejayaan?
Dalam kita mengejar matlamat, wasilah itu penting. Dalam mengejar kebahagiaan, sememangnya perlu menghadapi kepahitan. Dan sebenarnya, kepahitan dan kepenatan sepanjang melewati wasilah itu yang memaniskan matlamat kita. Semakin pahit perjuangan, semakin manis kejayaan menanti dihadapan.
Apa nilai sebuah kejayaan tanpa usaha?
Amir merasai pahit dan perit berusaha. Hasilnya, dia berasa amat bahagia dengan keputusan yang diperolehinya. Berbeza dengan Amin yang turut berjaya, tetapi bahagianya tiada.
Muhasabah
Adakah sekadar kejayaan SPM yang kita kejar sebenarnya? Adakah berakhir perjuangan kita sekadar mendapat segulung ijazah, mendapat kerja dan pangkat besar, gaji tinggi dan hidup senang?
Matlamat sebenar yang patut dikejar ialah kehidupan di akhirat. Itulah kejayaan yang sebenar. Sebagaimana firman Allah.
"Dan (pada hari itu) sesiapa yang diselamatkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga maka dialah sebenar-benar yang berjaya" Ali Imran;186
Jadi, untuk lebih memaknakan kejayaan ini, menuntut kepada perjuangan yang lebih besar. Dan perlu ingat tiada istilah kebetulan dan nasib untuk menjejaki Syurga Allah. Ia hanya untuk hamba-hamba Allah yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.
Memang! Perit dan pahit wasilahnya.
- Susahnya untuk bangun berqiamullail sepertiga malam. Dikala manusia lain lena dibuai mimpi indah.
- Bukan senang untuk istiqomah solat di masjid ketika pelbagai urusan diri yang masih belum selesai.
- Peritnya nak khatam Quran sekali sebulan ketika beratus-ratus helai buku pelajaran masih lagi berbaki.
- Pahitnya rasa apabila cuba mengajak kawan ke arah kebaikan tetapi tidak diendahkan.
- Susahnya nak sentiasa mengingati Allah sedangkan keseronokan dan hiburan dunia amat melekakan.
Tapi ingatlah, satu kejayaan yang amat manis menanti dihadapan.
Saya buka inbox handset saya. Ada satu SMS yang mungkin sesuai saya tulis disini.
"selangkah ke alam perjuangan, bererti selamanya dalam kepahitan..
Biarlah menangis terluka, dari mati terkambus tanpa mujahadah..
kita tak sanggup selamanya terluka, tapi ingatlah bahawa tiap titisan darah dan air mata itu amat bermakna..
Apabila ditanya mengapa berjuang itu pahit, kerana Syurga itu manis" - From Asyraf Salleh.
Salam thabat dan istiqomah untuk pejuang Islam sekalian.
*Juga salam rindu buat sahabat seperjuangan sekalian:
Asyraf Salleh, Asyraf Suhaimi, Hamdi Razali, Mohammad Darwish dan semua 1st batch MTS sekalian.
*Rindu untuk duduk bersama antum sekalian..
Harap bermanfaat~


