Showing posts with label Tazkir. Show all posts
Showing posts with label Tazkir. Show all posts

Sunday, July 6, 2014

Diabetis, insulin dan solat

Diabetis merupakan satu penyakit yang common di seluruh dunia. Ia merupakan penyakit kronik yang berkaitan dengan masalah hormon insulin. Peranan hormon insulin ini ialah untuk menukar glukosa dalam darah ke bentuk glikogen untuk disimpan sebagai sumber tenaga.

Diabetis boleh berlaku melalui dua cara utama, samada masalah pankreas yang tidak berjaya menghasilkan sebarang insulin (Diabetis type I) atau masalah pada badan yang tidak mampu bertindak balas pada insulin yang dihasilkan (Diabetis type II).

Melalui dua mekanisma ini, kegagalan insulin untuk menjalankan tugasnya akan menyebabkan tahap glukosa dalam darah akan terus meningkat tanpa ditukar ke dalam bentuk ke duanya iaitu glikogen. Keadaan tingginya glukosa dalam darah ini lama-kelamaan akan memberi kesan buruk kepada badan manusia melalui mekanisma-mekanisma tersendiri. Antara kesannya ialah kerosakan buah pinggan, pembentukan katarak dalam mata, buta mata, kebas pada bahagian tangan & kaki dan banyak lagi.

Melalui penerangan atas, secara ringkasnya dapat kita fahami bahawa :
  • kes Diabetis type I - masalah berpunca kerana ketiadaan insulin itu sendiri.
  • kes Diabetis type II - insulin itu ada tetapi tidak berjaya memberi kesan kerana faktor lain yang menghalangnya.
Salah satu peranan solat : mencegah diri dari perkara keji dan mungkar

"Solat itu tiang agama"

Melalui ayat 45 Surah Al-Ankabuut, Allah menerangkan bahawa salah satu peranan solat dalam kehidupan kita ialah mencegah dari perkara keji dan mungkar. 

....sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya)...

Saya memerhati jauh pada diri sendiri, sebenarnya ada sahaja sebahagian waktu yang saya sangat menjaga solat, tetapi dalam masa yang sama saya masih tidak mampu mencegah diri dari melakukan dosa-dosa kepada Allah (Astaghfirullah). Keadaan ini menyebabkan saya tertanya-tanya di mana peranan solat yang saya kerjakan? Sepatutnya apabila bersolat, solat itu akan mencegah saya dari perkara dosa dan maksiat tersebut.

Kaitan antara diabetis, insulin dan solat
Apabila saya membuka dan membaca kembali nota pelajaran saya berkaitan diabetis ini, saya terfikir untuk mengaitkanya dengan solat.

Insulin mencegah tubuh badan dari berlakunya diabetis sebagaimana solat mencegah diri kita dari melakukan perkara keji dan mungkar. Jadi memang kita tidak nafikan apabila tiada insulin atau solat, maka akan berlakunya masalah (diabetis dan maksiat). Keadaan ini menerangkan mekanisma bagi Diabetis type I.

Menjawab persoalan yang sentiasa bermain dalam fikiran selama ini, (bersolat tetapi masih melakukan maksiat) saya mendapat ilham untuk menyamakannya dengan kes diabetis type II.

kes Diabetis type II - insulin itu ada tetapi tidak berjaya memberi kesan kerana faktor lain yang menghalangnya.
Sama halnya dalam masalah solat tadi. Solat itu ditunaikan tetapi masih berterusan dalam melakukan maksiat. Rupanya bukan solat itu yang tidak menjalankan peranannya, tetapi ada faktor-faktor lain yang menyebabkan badan kita tidak mampu untuk 'bertindakbalas' dengan solat yang didirikan.

Koreksi diri : adakah solat kita itu solat? 
Sebelum berbincang dan mencari apakah faktor-faktor yang menyebabkan solat kita itu tidak berkesan, satu persoalan yang lebih besar terlebih dahulu perlu kita jawab. Adakah solat 5 waktu seharian yang kita dirikan itu adalah betul-betul solat?

Nah, satu benda yang mungkin kita terlepas pandang. Mana mungkin gelas yang pecah untuk menampung air, mana mampu pembaris yang bengkok hendak mengukur panjang. Maka begitulah juga perumpamaannya solat yang serba cacat dan cela. Mana mampu untuk membantu kita mencegah diri dari kemaksiatan kepada Allah SWT. 

Maka terjawab lah separuh persoalan saya di atas. Ya, solat itu ada tetapi tidak sempurna dan serba kekurangan.

Diruangan ini suka juga untuk saya pautkan tulisan lama saya yang juga berkisar tentang solat : Perihal solat, dua tanah haram dan doa.

Penutup
Semoga kita diberikan kekuatan untuk terus menjaga solat kita, tiang agama ini sehingga ke akhir nyawa dengan penuh kekhusyukan dan keihklasan. Selamat menjalani tarbiyyah Madrasah Ramadhan kepada anda semua. Semoga sijil taqwa sama-sama kita peroleh di hujungnya nanti. Ameen.

Thursday, May 22, 2014

Obsess


Dalam bidang psikiatrik, ada satu penyakit dinamakan dengan obsessive compulsive disorder (OCD).

Contoh simptom untuk penyakit ini apabila seorang yang terlalu banyak fikir (obsession) tentang hygiene tangannya mengakibatkan tindakan susulan (compulsion) dengan menghabiskan masa yg begitu lama dan kerap untuk membasuh tangan. Akhirnya menyebabkan gangguan kepada kerja dan kehidupan sehariannya yang lain.

Ya, OCD ini bermula dengan was-was, banyak berfikir. Ada juga yg sebaliknya, bermula dengan perbuatan dulu (compulsion) kemudian datang fikiran (obsession triggered by compulsion) terhadap benda itu. 

Bila saya baca dan faham tentang penyakit ini saya mula terfikir, sebenarnya perbuatan dan hati ini memang sangat berkait rapat. Apa yang kita selalu fikir akan dizahirkan dalam bentuk perbuatan atau sebaliknya, apa yang kita paksakan diri kita untuk terus buat, lama-lama akan melahirkan rasa cinta.

Maka dua cara ini kita boleh untuk manfaatkan dalam kehidupan seharian kita. 

Sebagai contoh dalam usaha kita untuk mencintai Baginda Rasulullah SAW. Kita boleh pilih mana-mana dua cara di atas. Samada untuk bermula dengan fikiran (obsession) ataupun perbuatan (compulsion). 

Bermula dengan obsession iaitu kita banyak mengenali dan membaca sirah kehidupan Baginda sehingga terbit rasa cinta seterusnya menatijahkan perbuatan (compulsion) mengikuti sunnah Baginda.

Atau, 

bermula dengan compulsion iaitu kita memaksa diri mengikut sunnah-sunnah Baginda sehingga kita melihat kecantikan sunnah-sunnah tersebut. Akhirnya terbitlah rasa kagum dan cinta (obsession) kepada Baginda.

Sama juga dalam usaha kita untuk mencintai Al-Quran, Qiamullail, Ramadhan dan sebagainya.

Semoga Allah hidayahkan hati kita untuk sentiasa jatuh cinta pada kebaikan serta beramal dengannya penuh keikhlasan. 

Road to Ramadhan, 38 hari berbaki.

~اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين~

Thursday, May 1, 2014

Nikmat : Syukur dan Kufur

Dalam ilmu perubatan (mungkin ada juga dalam bidang lain kot), ada dua istilah yang sering diulang-ulang :

1. Positive feedback. 
Satu contoh yang saya ingin bawa ialah apabila berlakunya proses menyusu (suckling) antara ibu dan bayi, ianya akan merangsang sistem saraf si ibu. Kemudian hypothalamus di dalam otak akan bertindakbalas mengarahkan pituitary gland untuk merembeskan lebih banyak hormon prolactin. Kesannya, si ibu itu akan menghasilkan lebih banyak susu untuk keperluan bayi tersebut.

Maksudnya, semakin banyak bayi itu menyusu, semakin banyak rangsangan yang diterima si ibu utk menghasilkan lebih kuantiti susu.

2. Negative feedback. 
Contohnya dalam sistem baroreflex badan kita. Apabila tekanan darah kita meningkat (bahaya untuk diri), ianya akan merangsang baroreflex receptor. Seterusnya signal akan dihantar kepada jantung untuk mengurangkan kadar degupan jantung seterusnya menurunkan kembali tekanan darah yang tinggi tadi ke tahap yang normal (selamat).

___________________________

Saya cuba untuk kaitkan dua konsep ini dalam kehidupan kita berkaitan nikmat, syukur dan kufur.

Hubungan antara syukur dan nikmat ini konsepnya seperti positive feedback tadi. Apabila kita didatangkan dengan sebarang nikmat oleh Allah SWT kemudian kita bersyukur. Maka dengan syukur itu akan merangsang nikmat itu supaya diteruskan lagi dengan nikmat lain yang berganda-ganda. 

Semakin bertambah syukur, semakin banyak nikmat Allah akan kurniakan kepada kita sebagaimana yang diterangkan dalam Surah Ibrahim : 

"Sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan lagi nikmatKu kepadamu.."

Keadaan yang sebaliknya akan berlaku sekiranya kita dikurniakan nikmat dan kita kufur dengan nikmat itu, maka kemungkinan Allah akan menariknya kembali. Kerana tiada lagi faedah nikmat melainkan menambahkan bahaya (kufur) kepada diri. Jadi konsep negative feedback digunapakai dengan menarik kembali nikmat yang pernah kita miliki supaya kita kembali pulang kepada keadaan yang selamat (ingat bahawa semua nikmat itu adalah dari Allah dan sentiasa bersyukur dengan pemberianNya).

Jadi, setiap kali kita diberi nikmat, maka banyakkanlah bersyukur. Pohon kepada Allah supaya kita dikurniakan hati yang tidak mudah lupa jasa & sentiasa bersyukur.

Apabila diuji dengan kurangnya sesuatu, maka bisikkan pada hati sebenarnya Allah ingin menarik kita kembali kepadaNya. Mungkin kita terlupa akan hakikat ini. Allah mahu mengajar kita bahawa untuk mendapat segala apapun kita perlu meminta kepadaNya. Pada waktu itu maka sedarlah kita bahawa tiada daya dan kuasa melainkan dari Allah SWT.

Alhamdulilah 'ala kulli haal. :)


Housemates since 2009 :)

Friday, February 21, 2014

Random acts of kindness

Membelek-belek apps ipad, masuk ke youtube dan saya tertangkap pada video ini :





Cuba kaitkan video ini dengan beberapa ayat Al-Quran :


"Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?"
-Ar-Rahmaan ; 60



"...dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".
-Al-Qosos ; 77



Buat baik kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepada kita? Bagaimana ya untuk nak samakan baik kita dengan baik Allah?

Dan teringat juga satu kata-kata Hasan Al-Banna yang sangat masyhur :

Jadikan kamu dengan manusia ini umpama pokok, 
mereka membaling kamu dengan batu, 
Tetapi kamu membalas mereka dengan buah.

Keburukan yang diterima kita balasi mereka dengan kebaikan, mampukah kita? 

Friday, January 17, 2014

Hafaz Quran : Manifestasi Cinta

Setiap insan dilahirkan dengan fitrah. Antara fitrah seorang insan adalah suka kepada kebaikan dan kesempurnaan. Tanyalah pada mana-mana individu walaupun sejahat mana pun dia, pastinya tetap memilih yang baik dan sempurna. Seorang perompak, walaupun kerjanya hanya merompak tetap bercita-cita untuk masuk Syurga (kebaikan yang abadi) dan menolak neraka. Begitu juga halnya mana-mana jenis manusia, tetap akan mahukan yang terbaik.

Analogi 
Setelah berjaya mengumpul sejumlah wang, hari ini anda bertekad untuk ke kedai elektronik untuk membeli sebuah telefon bimbit pintar yang telah lama anda idamkan.

Tibanya di kedai, penjual itu mengeluarkan beberapa model untuk dibanding dan dipilih oleh anda. Hampir 7 ke 8 model semuanya dikeluarkan. Semuanya menepati ciri - ciri yang dikehendaki oleh anda. Cuma setiap satu ada sahaja kelebihan dan kekurangan tersendiri. Kemungkinan dari segi RAMnya, memorinya, MPixel kameranya, wifi, brand dan sebagainya. Yang pasti, semua telefon bimbit tersebut cukup asasnya : boleh membuat panggilan dan menghantar mesej ringkas (SMS).

Akhirnya, anda memilih satu model untuk dibeli dan menolak yang lain setelah dibandingkan kesemuanya. Sudah tentu ada ciri-ciri tertentu yang anda pandang 'special' menyebabkan anda memilihnya tanpa menafikan ada juga kekurangan-kekurangan lain.

Jadilah yang terpilih di mata Allah 
Begitulah juga halnya seorang hamba di mata Allah.

Saya sering terfikir dalam jutaan lautan hamba-hambaNya, mahukah Allah memandang kita andai kita hanya melunaskan tanggungjawabnya yang wajib dan common sahaja tanpa ada sesuatu yang special untuk dilihat oleh Allah?

Jika seorang yang syahid berperang di jalan Allah, di akhirat nanti dia boleh datang kepada Allah dan menunjukkan bajunya yang koyak rabak berlumuran darah sebagai bukti dia berusaha untuk meraih cinta dan menjadi special di mata Allah.

Jika seorang yang sentiasa bangun bertahajjud kepada Allah di awal pagi, dia boleh membuktikan bahawa susah payahnya untuk meninggalkan tempat tidur sedangkan orang lain masih enak dibuai lena sebagai bukti dia cinta dan layak untuk menjadi special di mata Allah SWT.

Jika seorang yang sentiasa berpuasa pula boleh menunjukkan bahawa lapar dahaga yang dia tahan bukanlah sia-sia melainkan untuk special dan mendapat cinta Allah SWT.

Hafaz Quran : manifestasi cinta 
Maka dengan kesedaran ini, saya sentiasa mengingatkan diri untuk sentiasa bersemangat dan berjuhud dalam bidang yang telah Allah lorongkan saya ini : tahfiz Al-Quran.

Memang susah, perlukan masa yang lama, setiap hari kena mengulang menghafaz, kemudian ulang. Tetapi ingatlah boleh jadi dengan kesungguhan kita ini, sebenarnya Allah telah memilih kita untuk menjadi special di mataNya. Jalan ini jugalah yang boleh mendekatkan kita kepada cinta Allah SWT. Mana taknya, setiap hari, setiap masa, setiap detik hanya kalamNya yang ditutur oleh bibir kita.

Betulkan niat dalam apa sahaja benda yang kita lakukan kerana tanpa niat amalan kita akan menjadi seperti debu yang berterbangan, sia-sia. Semoga Allah mengurniakan ikhlas dan istiqamah dalam setiap amalan seharian kita.


"Sebaik-baik di kalangan kamu ialah mereka yg mempelajari AlQuran dan mengajarnya kepada orang lain"

Thursday, July 12, 2012

Selamat datang wahai Ramadhan

Assalamualaikum..

Saya perasan satu perkara dalam menulis. Sebenarnya untuk menulis bukan sahaja memerlukan tangan yang menaip dan akal yang berfikir sahaja. Komponen yang paling penting adalah hati. Ya! hati yang sentiasa merasa. Kerana menulis tanpa hati saya rasa semacam tiada isi dan rohnya.

Tangan menaip, akal berfikir tetapi hati kurang merasai. Itulah yang saya alami selama ini. Boleh kata setiap hari saya ada sahaja pendapat dan idea untuk dituliskan. Bila di hadapan keyboard saja tak mampu untuk dihabiskan. Akhirnya semua tulisan tak berjaya dihabiskan dan disimpan sebagai draft sahaja.

_____________________________________________________________

Ramadhan dan analogi
Seorang anak yang berusia 15 tahun dan bakal menduduki peperiksaan PMR pada tahun ni. Ayahnya telah berjanji akan menghadiahkannya sebuah jam tangan yang telah lama menjadi idamannya.

Selesai situasi dan analogi yang ingin saya gunakan.

Ramadhan dan kita
Ramadhan adalah bulan yang mulia. Yang sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh Muslim sepanjang tahun. Habis sahaja Ramadhan, ianya dirindui oleh pencintanya sehingga 6 bulan seterusnya. 5 bulan sebelum tiba Ramadhan yang baru, ianya juga telah dinanti-nantikan menjadikan pencintanya sepanjang tahun memikirkannya tanpa henti.

Mana mungkin dilupakan, pelbagai fadhilat dan kelebihan dijanjikan Allah sepanjang Ramadhan. Sehinggakan dihadiahkan satu malam yang lebih hebat dan baik dari seribu bulan di dalamnya.

Saya yakin untuk Ramadhan kali ini pastinya masing-masing telahpun membuat persediaan dan kelengkapan yang sepatutnya supaya ianya lebih bermakna dari yang sebelum.

Renungan
Saya terfikir, sebenarnya disebalik Ramadhan dan seluruh amal ibadah kita itu pasti ada hikmah setiapnya. Sebagai satu contoh Ramadhan itu hendak mengajar kita untuk menjiwai bagaimana rasa dan perasaan orang-orang yang kurang bernasib baik. Sepanjang hari terpaksa mengikat perut menahan lapar kerana tidak mampu.

Lantas dari puasa itu sendiri menimbulkan kesedaran kepada kita untuk bersedekah dan membantu saudara-saudara kita yang kurang berkemampuan.

Untuk apa Ramadhan?
Saya sedikit takut untuk meluahkan pendapat kali ini. Risaunya andai tak sepatutnya saya berfikiran begini. Harapnya andai tersilap mohon ada yang tampil untuk memperbetulkan. Saya budak yang kurang segalanya. Ilmu, iman mahupun amal.

Saya ingin samakan Ramadhan serta seluruh fadhilatnya dengan situasi yang saya adakan di awal tulisan ini.

Anak tugasnya sebagai seorang pelajar dan semestinya dia perlu tahu dan faham tujuan ddan tugasnya adalah belajar dan berjaya dalam pelajaran. 

Boleh jadi dia ada keinginan keinginan lain selain berjaya dalam pelajaran. Seperti contoh yang saya datangkan si anak tersebut sudah lama mengimpikan sebuah jam tangan. Dalam keadaannya, dia tidak mampu untuk membeli jam tersebut melainkan melalui ayahnya.

Ya, sama juga dengan kita. Kita dan Ramadhan. Sebenarnya apa yang lebih besar disebalik Ramadhan ni? Adakah disebabkan fadhilat-fadhilat tertentu yang Allah janjikan itu membuatkan kita bangun untuk beribadah kepadaNya? Adakah disebabkan disana adanya malam yang lebih baik dari seribu bulan yang membuatkan kita bersungguh-sungguh menghidupkan malam-malam Ramadhan kita?

Seorang anak yang cerdik dia akan sedar tugasnya adalah untuk belajar sehingga berjaya. Andaikata ayahnya tidak pun menjanjikan jam tangan idamannya sekiranya dia berjaya, dia tetap akan belajar. sebab dia kenal diri dan posisinya sebagai apa.

Sama juga seorang hamba Allah yang ikhlas dan menyedari dia hanyalah hamba kepada Yang Maha Kuasa, maka dia akan cuba beribadah dan memperbaiki amalannya sepanjang masa. Amal ibadahnya bukan sekadar mencari habuan 'jam tangan' dari Tuhannya. Sebaliknya dia tahu apa yang perlu dia gapai sebenarnya adalah iman, taqwa dan redha dari Tuhannya. samada pada bulan yang dijanjikan 'jam tangan idamannya' (Ramadhan) ataupun tidak.

Ibadahnya merentasi fadhilat Ramadhan dan lailatul Qadr itu sendiri. Sebab dia tahu apa yang dia perlu buat sebenarnya. Dia kenal statusnya sebagai siapa.

Jangan jadi hamba Ramadhan, jadilah hamba Allah.
Semoga Ramadhan kali ini menjadi turning point buat diri saya untuk berubah menjadi lebih baik. Andaikata sepanjang Ramadhan ibadah kita bertambah, maka kita berharap agar ianya terus berkekalan sehingga habisnya Ramadhan dan dibawa ke bulan-bulan yang seterusnya.

Jangan hanya beramal disebabkan Ramadhan. Tapi solatlah, puasalah, bacalah Quran sebab kita ini hamba Allah. Kerana Ramadhan datang hanya 30 hari dalam setahun sedangkan Allah adalah yang Maha kekal, Yang tiada pengakhiran.

*Tulisan, teguran untuk diri. T_T

Tuesday, June 28, 2011

Repost : mana lagi penting

Hari ni buka dan baca balik post lama. Ya, tulisan sendiri. Rasa malu dengan diri sendiri pun ada. Allah~
*********************

Situasi 1
Amin bersekolah di Sekolah Menengah xxxxxxxx. Tahun ini dia menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun sikap Amin bukan seperti seorang pelajar. 
  • Pagi bangun lewat
  • Pergi sekolah lewat. Selalu didenda oleh guru disiplin.
  • Kadang-kadang ponteng kelas.
  • Kalau pergi kelas pun, biasanya tidur kat belakang semasa guru mengajar.
  • Subjek yang paling digemarinya bermula pada pukul 11.30-12.00 setiap hari. (kalau dalam jadual ditulis waktu rehat)
  • Setiap petang main bola sepak. (Join selection wakil sekolah tapi tak dapat)
  • Malam-malam main PES sahaja.
  • Tak pernah ada masa untuk study.
SPM tiba. Amin menghabiskan hari-hari peperiksaannya dengan keadaan yang amat tertekan. Menyesal, sedih, bertaubat, insaf. Semua ada. Tapi apakan daya nasi sudah menjadi bubur.

Di hari keputusan SPM diumumkan, Amin mendapat panggilan dari pihak sekolah.

"Tahniah Amin. Awak telah berjaya menaikkan nama sekolah kita. Awak mendapat keputusan yang cemerlang. 24A+!! Rekod baru dalam sejarah sekolah kita."

Amin kebingungan. Tak tahu apa yang patut dia rasa. Gembirakah. Atau... (blank)

"Mungkin silap orang kot..", kata Amin apabila ditemuramah oleh sidang akhbar. Dia juga diumumkan sebagai pelajar terbaik Malaysia pada tahun itu.

Situasi 2
Pada tahun berikutnya. Junior kepada Amin, Amir. Dia mendapat aspirasi daripada seniornya. Dia menanam cita-cita untuk turut menjadi pelajar terbaik Malaysia. Tapi dia sedar kejayaan bukan bergantung kepada nasib semata-mata. Oleh itu, Amir telah merancang pelajarannya dengan baik.
  • Bangun awal setiap pagi. Dia memulakan harinya dengan Qiamullail dan meneruskan dengan ulangkaji pelajaran sehingga subuh. Kemudian bergerak ke Masjid.
  • Pergi awal ke sekolah. 
  • Dalam kelas, Amir merupakan seorang pelajar yang aktif. Sentiasa bertanya soalan kepada guru. Menawarkan diri untuk menjawab soalan di hadapan.
  • Waktu rehat digunakan dengan sebaiknya. 15 minit untuk ke kantin dan bersih diri. 15 minit lagi untuk ulangkaji pelajaran pagi tadi.
  • Kelasnya berakhir pada pukul 3.30 petang. Tapi biasanya dia pulang ke rumah hampir pukul 6 petang. Ulangkaji pelajaran di kelas.
  • Maghrib dan Isya'nya pasti di masjid. Selesai, balik ke rumah dan ulangkaji sedikit untuk keesokan hari.
  • Tidur awal.
Apabila keputusan SPM diumumkan, ia tdak mengecewakan Amir. Setimpal dengan usahanya selama ini. Dia  juga diumumkan sebagai pelajar terbaik Malaysia dengan keputusan 20A+5A-. Walaupun tak sehebat seniornya Amin, tetapi dia berpuas hati.

"Semua ni kurniaan Allah untuk hambaNya yang hina..", bisik hati kecilnya.

Senyuman terpamer dibibir tak habis-habis. Bahagia. Terasa dunia ini dia yang punya..
  
Usaha wasilah kejayaan

Sembang-sembang
Siapa yang lebih bahagia. Amin atau Amir? Jika diberi pilihan untuk menjadi Amin atau Amir, saya akan pilih Amir.

Soalnya, adakah kejayaan itu yang membahagiakan? Jika ya, sudah tentulah Amin yang paling bahagia. Keputusannya lebih baik berbanding Amir. Tapi saya fikir Amir yang lebih gembira dan bahagia. 

Jadi, apa yang menentukan bahagia jika bukan kejayaan?

Dalam kita mengejar matlamat, wasilah itu penting. Dalam mengejar kebahagiaan, sememangnya perlu menghadapi kepahitan. Dan sebenarnya, kepahitan dan kepenatan sepanjang melewati wasilah itu yang memaniskan matlamat kita. Semakin pahit perjuangan, semakin manis kejayaan menanti dihadapan.

Apa nilai sebuah kejayaan tanpa usaha?

Amir merasai pahit dan perit berusaha. Hasilnya, dia berasa amat bahagia dengan keputusan yang diperolehinya. Berbeza dengan Amin yang turut berjaya, tetapi bahagianya tiada. 

Muhasabah
Adakah sekadar kejayaan SPM yang kita kejar sebenarnya? Adakah berakhir perjuangan kita sekadar mendapat segulung ijazah, mendapat kerja dan pangkat besar, gaji tinggi dan hidup senang? 

Matlamat sebenar yang patut dikejar ialah kehidupan di akhirat. Itulah kejayaan yang sebenar. Sebagaimana firman Allah.

"Dan (pada hari itu) sesiapa yang diselamatkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga maka dialah sebenar-benar yang berjaya" Ali Imran;186


Jadi, untuk lebih memaknakan kejayaan ini, menuntut kepada perjuangan yang lebih besar. Dan perlu ingat tiada istilah kebetulan dan nasib untuk menjejaki Syurga Allah. Ia hanya untuk hamba-hamba Allah yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. 

Memang! Perit dan pahit wasilahnya. 
  • Susahnya untuk bangun berqiamullail sepertiga malam. Dikala manusia lain lena dibuai mimpi indah.
  • Bukan senang untuk istiqomah solat di masjid ketika pelbagai urusan diri yang masih belum selesai.
  • Peritnya nak khatam Quran sekali sebulan ketika beratus-ratus helai buku pelajaran masih lagi berbaki.
  • Pahitnya rasa apabila cuba mengajak kawan ke arah kebaikan tetapi tidak diendahkan.
  • Susahnya nak sentiasa mengingati Allah sedangkan keseronokan dan hiburan dunia amat melekakan.

Tapi ingatlah, satu kejayaan yang amat manis menanti dihadapan. 

Saya buka inbox handset saya. Ada satu SMS yang mungkin sesuai saya tulis disini.

"selangkah ke alam perjuangan, bererti selamanya dalam kepahitan..

Biarlah menangis terluka, dari mati terkambus tanpa mujahadah..

kita tak sanggup selamanya terluka, tapi ingatlah bahawa tiap titisan darah dan air mata itu amat bermakna..

Apabila ditanya mengapa berjuang itu pahit, kerana Syurga itu manis" - From Asyraf Salleh.

Salam thabat dan istiqomah untuk pejuang Islam sekalian.

*Juga salam rindu buat sahabat seperjuangan sekalian:
Asyraf Salleh, Asyraf Suhaimi, Hamdi Razali, Mohammad Darwish dan semua 1st batch MTS sekalian.

*Rindu untuk duduk bersama antum sekalian..

Harap bermanfaat~

Sunday, June 26, 2011

Yang berlutut - al jaathiah

23 - Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

24 - Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

25 - Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata (mengenai soal hidup semula sesudah mati), tidaklah ada hujah mereka (untuk menolak kebenarannya) selain daripada berkata: "Bawakanlah datuk nenek kami (hidup semula) kalau betul kami orang-orang yang benar!"

26 - Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia akan mematikan kamu, setelah itu Ia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula) pada hari kiamat - (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu)".

27 - Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi; dan ketika berlakunya hari kiamat, pada saat itulah ruginya orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah.

28 - Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): "Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!

29 - "Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!"

30 - Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmatNya; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.

31 - Adapun orang-orang yang kafir, (maka mereka akan ditempelak dengan dikatakan kepada mereka): "Bukankah ayat-ayatku telah disampaikan dan dibacakan kepada kamu, lalu kamu berlaku sombong takbur (mengingkarinya), serta menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan?

32 - "Dan apabila dikatakan (kepada kamu): ` Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar, dan hari kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya ', kamu berkata: ` Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali meyakininya '."

-Surah Al-Jaathiah - yang berlutut


*Tengah ulang surah ni, tiba-tiba rasa nak kongsi pula terjemahan dia.

*Allah, skrip perbualan yang sudah tersedia. Semoga mulut-mulut kita terus mengucapkan kata-kata yang baik hingga ke akhirat sana. Ameen.


*Terjemahan dari http://quran.com/45

Wednesday, April 6, 2011

Kalaulah aku bla..bla...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...

Alhamdulillah atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Alhamdulillah atas senyuman yang Allah berikan untuk saya. Alhamdulillah ya Allah atas segalanya.. :)

Lama benar saya tak betul-betul menulis. Kalau update blog yang sebelum ni pun sekadar upload gambar, post lirik lagu dan sebagainya. Alhamdulillah hari ini Allah bagi lagi masa, idea dan ruang untuk saya menulis.

Kisah 
Andai kata anda merupakan seorang pelajar perubatan tahun 2 di sebuah universiti di luar Malaysia. Sudah setahun lebih anda tidak pulang ke tanah air. Dan Alhamdulillah pada tahun ini akan pulang ke Malaysia untuk melepaskan rindu berjumpa keluarga tercinta.

Sebulan lebih sebelum pulang anda telah berbincang dan bersepakat dengan kawan untuk mencari tiket. Semestinya yang murah dan selesa jadi pilihan. Setelah beberapa pakej penerbangan yang ada, anda bersama rakan-rakan telah bersetuju untuk membeli penerbangan tempatan. Senyum , tarikh penerbangan telah pun ditetapkan. Hanya menunggu masa..

Dua minggu sebelum penerbangan..
Anda dan kawan-kawan dah mula fikir, cari barang apa yang nak dibawa pulang untuk keluarga, sahabat-sahabat di kampung halaman. Soal harga dan nilai sudah anda tidak endahkan. Janji dapat bawa cenderahati terbaik untuk mereka.

Sehari sebelum penerbangan..
Hati bukan main girang lagi. Wajah-wajah mereka, suasana kampung, apa yang akan anda akan lakukan, tempat pertama yang anda akan lawat.... Macam-macam bermain dalam fikiran anda. Senang kata, hati sudah sampai sebelum jasad tubuh sampai.

Untuk perancangan esok, anda telah menugaskan seorang kawan sebilik anda untuk menyewa sebuah van untuk menghantar anda dan kawan-kawan ke lapangan terbang. Perjalanan ke sana mengambil masa kurang lebih satu jam.

Hari penerbangan..
Semua barang sudah dikemaskan. Anda memeriksa tarikh dan masa penerbangan di tiket sekali lagi untuk mendapat kepastian.

5 Februari 2011, jam 2230. Pesawat 13A.

Anda tersenyum. Masa masih berbaki 4 jam sebelum penerbangan. Agak sesuai agaknya nak bertolak ke lapangan terbang sekarang. Kalau lewat sangat nanti tergesa-gesa, macam-macam boleh berlaku.

Tiba-tiba rakan sebilik anda meluru laju ke arah anda.

"Alamak! Aku lupa nak sewa van lah. Penat main bola, aku tidur awal semalam..."

Darah anda mengalir laju, ingin saja dilempang tepat pipi rakan anda. Sabar.

"Hah! Apa tunggu lagi, cepatlah call pak cik mana-mana yang kau tahu. Suruh dia hantar van ke sini dengan segera. Boleh lagi kau bergurau dengan benda-benda macam ni ye!", anda menengking kawan anda, geram.

"Ok.. ok..".

Beberapa kali dia mencuba, mukanya kelihatan agak rimas. Mana taknya rasa, diri rasa amat bersalah.

Akhirnya atas belas ehsan seorang pak cik, dia bersetuju untuk menghantar anda semua. Alhamdulillah. Pada waktu itu jam telah menunjukkan pukul 9 malam. Maknanya masa masih berbaki 1 jam setengah.

Dengan bergegasnya anda dan kawan-kawan memenuhi tempat duduk van. Tanpa merugikan masa terus bertolak.

Malang tidak berbau, lebuhraya agak sesak dek kemalangan yang berlaku di hadapan. Nak patah balik, berderet-deret kereta di belakang. Anda hanya mampu berdoa, masa masih berbaki 40 minit. Separuh perjalanan pun belum.

Setelah beberapa ketika akhirnya van anda melepasi kawasan sesak tersebut. Berderum enjin van, selaju kilat mahunya van tersebut bergerak.

Akhirnya anda sampai di lapangan terbang, tapi agak kelewatan. Jam menunjukkan pukul 10.20 malam.

Anda dan kawan-kawan terus berlari ke kaunter berlepas. Dengan hati yang penuh pengharapan, dengan seluruh doa dan tawakkal kepada Allah.

"Ya Allah, mudahkanlah urusan kami..", getus hati.

"Maaf dik, pesawat adik telah berlepas beberapa minit yang lalu....".

Hancur hati anda.

Dengan penuh geramnya anda dan beberapa orang sahabat lain memaki dan mengutuk-mgutuk kawan sebilik anda. Kalau bukan kecuaiannya tentu semuanya berjalan lancar.

Masing-masing kemarau idea, akhirnya terduduk di kerusi menunggu berdekatan. Ada yang saling memujuk sesama sendiri, ada yang menyendiri, kecewa.

Tiba-tiba tersiar berita di televisyen dari sudut kiri tempat duduk anda..

"Berita terkini, sebuah pesawat bernombor 13A yang berlepas dari lapangan terbang xxxxxxx pada pukul 10.30 malam tadi terhempas disebabkan kegagalan enjin ditengah perjalanan. Ramai penumpang dilaporkan cedera, selebihnya masih lagi dalam siasatan....."

Apa perasaan anda pada waktu itu? Apa yang ingin anda katakan pada sabahat anda yang baru sahaja sebentar tadi anda kutuk dan maki beliau?

"kalau lah aku tahu semua ini akan berlaku, aku takkan marah, kutuk, maki kau. Sebaliknya aku akan bersyukur dan berterima kasih kepada engkau. Aku akan peluk kau erat-erat.."

Bersangka baik
Ya, sangka baik atau dalam bahasa arabnya husnu dzonn. Satu sifat yang kita tak berapa nak ambil berat walhal sangat penting. Dan husnu dzonn yang paling besar ialah husnu dzonn dengan Allah. Husnu dzonn dengan ketentuan Allah. Kerana kita tak mampu mengetahui apa yang akan berlaku di hadapan, hikmahnya.

Beberapa ketika sebelum ni saya dilanda satu perasaan yang sangat teruk sekali. Rasa macam tak ada matlamat dan tujuan. Buat itu, tak rasa apa, buat ini tak rasa apa. Sampai dalam bab ibadah pun tak ada jiwa.

Sering juga merintih, Ya Allah apa yang aku rasa ni sebenarnya? Sampai bila aku nak hidup macamni?

Tapi percayalah, dalam setiap kesusahan dan kegelisahan pasti ada hikmahnya. Kadang-kadang puas kita berfikir, puas kita mencari tapi seolah-olah takkan ada penyelesaiannya. Pada saat itu berhentilah berfikir. Yakinlah pada Allah satu masa pasti muncul hikmahnya. Hanya perlu sedikit sabar dan tabah sahaja lagi.

Dan Alhamdulillah, pada saat ini Allah kurniakan saya suatu ketenangan yang tak pernah saya rasai sebelum ini. Allah nak saya rasai dahulu kesempitan itu supaya saya lebih menghargai ketenangan hari ini. Alhamdulillah.

Allahumma thabbith 8olbi 3la deenik, wa 3la 6a3atik. Ameen

Fikir sebelum bertindak, supaya tidak menyesal
Berbalik kepada kisah di atas. Memang betul perlunya untuk kita berfikir sebelum bertindak. Fikirlah akibat tindakan kita itu di masa hadapan.

Sebelum penyesalan itu,
sebelum penyesalan ini,
sebelum itu berlaku,
sebelum ini berlaku,

fikirlah akibat, fikirlah padahnya. Jangan  dek salah keputusan, seluruh badan binasa.

Dan yang penting pastikan fikiran kita jauh ke hadapan. Ke hadapan sehingga ke akhirat. Harapnya, ucapan-ucapan di bawah ini.............



".....Kalaulah Engkau lewat umur kami sedikit saja lagi nescaya kami akan sedekahkan segala harta kami dan kami akan menjadi orang-orang yang soleh"



".......Alangkah baiknya kalau aku dahulu hanyalah tanah."



"...Wahai tuhan kami, kami telah melihat (azab neraka), kami telah mendengar, kalaulah Kamu boleh kembalikan kami, nescaya kami akan berbaut amal-amal soleh, sesungguhnya kami telah yakin"

.. takkan diucap oleh lidah kita. Na3udzubillah. Ameen.

Saturday, March 19, 2011

Bagai roda

Dalam hidup ni,
ada kala kita di atas,gembira, selesa, semuanya bagus
ada juga masanya kita terjatuh, terduduk ke bawah.
Sedih, sayu dan sebagainya..

Sama lah dengan iman dan Islam kita.
Ada masa kita rasa sangat selesa dengan hidup,
Tiap-tiap hari, tiap-tiap waktu solat, pastinya di masjid,
Setiap hari berjuz-juz tilawah,Setiap bulan mampu khatamkan Quran,
Setiap waktu redha dan tenteram dengan takdirNya,
Sehingga setiap detik kita mampu tersenyum.

Dan ada juga musimnya kita rasa kitalah yang paling teruk,
Rasa jauhnya kita dengan Pemilik diri ini,
Susahnya nak istiqomahkan ibadah-ibadah yang sebelum ini senang je kita amalkan,
Rasa tiada siapa pun yang kisahkan kita,
Sedangkan hakikatnya Allah sentiasa bersama kita.

…………

Ketika Handzalah, seorang sahabat merasa dirinya seolah-olah seorang munafiq, beliau mendatangi Rasulullah untuk mengadu rasa.

Tenang sahaja Rasulullah SAW bersabda.

“Memang begitulah semua manusia. Ada masanya mereka ingat kepada Allah dan ada masanya mereka lupa. Kerana itulah kita dipanggil manusia (pelupa).

Wahai Handzalah, apabila kamu ingat kepada Allah hendaklah kamu bersyukur. Dan apabila kamu lupa cepat2lah kamu memohon taubat dan perlindungan daripada Allah”.


Kata ulama’ berkaitan beza orang mukmin dan orang fasiq apabila berbuat maksiat.

Orang mukmin dikala dia berbuat maksiat terus ingat kepada Allah, insaf dan segera memohon taubat kepada Allah.

Manakala orang fasiq yang berbuat maksiat akan merasa seronok, bangga dengan maksiat yang dilakukan.



..andai nafsu dapat kau tahan, tangisanmu hanya kerana Tuhan..

Monday, January 31, 2011

Jaga Allah

Assalamualaikum warahmatullah wabarakaatuh

Alhamdulillah kesyukuran dipanjatkan oleh Allah SWT kerana masih lagi mengurniakan nafas kepada saya sehingga ke saat ini. Semoga setiap nafas kita yang dahulu, kini dan akan datang sentiasa diisi dengan sebaiknya dan dikira oleh Allah SWT sebagai ibadat, InsyaAllah.

Allah matlamat kami
Sebagai seorang muslim yang mukmin seharusnya meletakkan Allah dalam hatinya setiap masa lantas menjadikan segala perbuatannya bertepatan dengan perintah Allah.

Dr. Ali Al Jarisyah dalam satu tulisannya berjudul mabadiul khomsah atau lima prinsip perjuangan Islam menyenaraikan "Allah matlamat kami" sebagai prinsip yang pertama. Ini menunjukkan kepada kita bahawa hidup kita seluruhnya adalah dari Allah, untuk Allah dan akan kembali semula kepada Allah.

Ingatlah Allah waktu lapang, supaya Allah ingat kita di waktu sempit
Dipanggil bodoh sombong sekiranya seseorang lupakan tuannya. Lagilah bodoh sekiranya manusia lupa kepada penciptanya, pemilik dirinya.

Tulisan ini saya ditujukan buat diri sendiri khususnya. Dalam satu hadis nabi mengingatkan kita supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah walau dimana dan bila sahaja kita berada.

Kita sering lupa pada Allah di waktu lapang. Kehidupan seharian, hiburan dan sebagainya sering memalingkan kita dari mengingati Allah. Dan apabila tiba waktu sukar mulalah kita mencari Allah, memohon pertolongan dari Allah.

Memang Allah itu Maha Pengampun dan Maha Mendengar segala permintaan hambaNya. Tapi cuba tanya pada diri sendiri, tidak malukah kita memohon pada Allah yang sewaktu lapang dulu kita pernah lupa padaNya? Jauh lagi untuk bersyukur padaNya. Astaghfirullah..

Adakan masa untuk bersama Allah supaya Allah adakan masa untuk kita
Tidak dinafikan dalam kehidupan seharian, sebagai seorang pelajar, seorang guru, seorang doktor, seorang jurutera, seorang pemimpin dan sebagainya kita punya banyak tugas dan tanggungjawab.

Bijaklah kita dalam mengurus masa. Jangan sampai masa untuk kita bersama Allah terkorban disebabkan kesibukan-kesibukan yang lain.

Walau sesibuk manapun kita, peruntukkan masa untuk solat fardhu secara berjemaah. Sebaiknya lakukanlah dimasjid.

Walau sebesar manapun pangkat kita, adakan masa untuk membaca dan menghayati Al-Quran.

Walau sesusah manapun pelajaran kita, sediakan masa kita untuk tolong agama Allah.

Kita seringkali berdalih tak ada masa untuk semua ini.

"Kalau pergi solat berjemaah kat masjid nanti habis masa nak studi, kat masjid habis lewat. Tambah pulak imam tu suka baca surah panjang. Kalau sembahyang jemaah kat rumah pun apa kurangnya...."

"Kalau baca Quran, nanti tak sempat buat itu, buat ini......"

Dan macam-macam lagi alasan yang sering kita beri.

Saya mengajak diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian berfkir sejenak. Apabila kita hitung balik masa dan waktu kita, ternyata waktu yang hilang dan dibazirkan bukan pada waktu bersama Allah ini. Sebaliknya dihabiskan dengan internet, facebook, chatting, berbual kosong, termenung dan segala macam perkara yang tidak berfaedah. MasyaAllah..

Mana mungkin masa dibazirkan untuk bersama Allah kerana setiap detik itu adalah ibadah, dan segalanya akan diganjari dengan pahala.

Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga kita
Saya ada terbaca satu kitab kecil (kutaib) bahasa arab yang ditulis oleh Syeikh 'aid Al - Qarni, menerangkan sepotong sahaja hadis nabi. "Jagalah Allah nescaya Allah akan menjaga kamu".

Dalam bab menjaga Allah dengan tubuh badan, beliau membahagikan kepada 5 bahagian.

1) Jaga hati, supaya sentiasa ingat dan tunduk kepada Allah.
2) Jaga lidah, supaya setiap patah perkataan yang terbit adalah baik dan seruan kepada Allah.
3) Jaga telinga, supaya segala yang didengari dapat menigkatkan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah
4) Jaga mata, supaya tidak melihat kemungkaran. Memandang hanya pada yang elok dan halal.
5) Jaga perut, dengan memastikan segala makan dan minum hanya yang halal dan baik.

Kita jaga Allah sepanjang hidup di dunia. Yakinlah Allah akan menjaga kita di dunia dan di akhirat.

Akhir sekali
Suka untuk saya petik sepotong ayat dari Surah Al Baqarah.


"Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan." Al Baqarah;245

Allah membayar dengan berlipat kali ganda kepada hambaNya yang sanggup memberi pinjam kepada Allah. Dengan sedarnya ganjaran ini, marilah sama-sama kita meminjamkan seluruhnya, masa, tenaga, fikiran dan segala kepada Allah. Yakinlah janji Allah itu tetap benar.

Allah takkan rugi dengan tidak beramalnya kita. Kerajaan Allah tak pernah berkurang tanpa ibadah kita. Allah sedikitpun tidak berhajat kepada kita. Sebaliknya kitalah sebenar-benarnya yang perlu dan berhajat kepada Allah.

::::::::::::::::

Nota : Pohon kepada Allah supaya menangkan Islam, tegakkan keadilan. Semoga redha Allah bersama ummat Islam di Mesir khususnya. [Link]

Flag counter

free counters