Saya perasan satu perkara dalam menulis. Sebenarnya untuk menulis bukan sahaja memerlukan tangan yang menaip dan akal yang berfikir sahaja. Komponen yang paling penting adalah hati. Ya! hati yang sentiasa merasa. Kerana menulis tanpa hati saya rasa semacam tiada isi dan rohnya.
Tangan menaip, akal berfikir tetapi hati kurang merasai. Itulah yang saya alami selama ini. Boleh kata setiap hari saya ada sahaja pendapat dan idea untuk dituliskan. Bila di hadapan keyboard saja tak mampu untuk dihabiskan. Akhirnya semua tulisan tak berjaya dihabiskan dan disimpan sebagai draft sahaja.
_____________________________________________________________
Ramadhan dan analogi
Seorang anak yang berusia 15 tahun dan bakal menduduki peperiksaan PMR pada tahun ni. Ayahnya telah berjanji akan menghadiahkannya sebuah jam tangan yang telah lama menjadi idamannya.
Selesai situasi dan analogi yang ingin saya gunakan.
Ramadhan dan kita
Ramadhan adalah bulan yang mulia. Yang sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh Muslim sepanjang tahun. Habis sahaja Ramadhan, ianya dirindui oleh pencintanya sehingga 6 bulan seterusnya. 5 bulan sebelum tiba Ramadhan yang baru, ianya juga telah dinanti-nantikan menjadikan pencintanya sepanjang tahun memikirkannya tanpa henti.
Mana mungkin dilupakan, pelbagai fadhilat dan kelebihan dijanjikan Allah sepanjang Ramadhan. Sehinggakan dihadiahkan satu malam yang lebih hebat dan baik dari seribu bulan di dalamnya.
Saya yakin untuk Ramadhan kali ini pastinya masing-masing telahpun membuat persediaan dan kelengkapan yang sepatutnya supaya ianya lebih bermakna dari yang sebelum.
Renungan
Saya terfikir, sebenarnya disebalik Ramadhan dan seluruh amal ibadah kita itu pasti ada hikmah setiapnya. Sebagai satu contoh Ramadhan itu hendak mengajar kita untuk menjiwai bagaimana rasa dan perasaan orang-orang yang kurang bernasib baik. Sepanjang hari terpaksa mengikat perut menahan lapar kerana tidak mampu.
Lantas dari puasa itu sendiri menimbulkan kesedaran kepada kita untuk bersedekah dan membantu saudara-saudara kita yang kurang berkemampuan.
Untuk apa Ramadhan?
Saya sedikit takut untuk meluahkan pendapat kali ini. Risaunya andai tak sepatutnya saya berfikiran begini. Harapnya andai tersilap mohon ada yang tampil untuk memperbetulkan. Saya budak yang kurang segalanya. Ilmu, iman mahupun amal.
Saya ingin samakan Ramadhan serta seluruh fadhilatnya dengan situasi yang saya adakan di awal tulisan ini.
Anak tugasnya sebagai seorang pelajar dan semestinya dia perlu tahu dan faham tujuan ddan tugasnya adalah belajar dan berjaya dalam pelajaran.
Boleh jadi dia ada keinginan keinginan lain selain berjaya dalam pelajaran. Seperti contoh yang saya datangkan si anak tersebut sudah lama mengimpikan sebuah jam tangan. Dalam keadaannya, dia tidak mampu untuk membeli jam tersebut melainkan melalui ayahnya.
Ya, sama juga dengan kita. Kita dan Ramadhan. Sebenarnya apa yang lebih besar disebalik Ramadhan ni? Adakah disebabkan fadhilat-fadhilat tertentu yang Allah janjikan itu membuatkan kita bangun untuk beribadah kepadaNya? Adakah disebabkan disana adanya malam yang lebih baik dari seribu bulan yang membuatkan kita bersungguh-sungguh menghidupkan malam-malam Ramadhan kita?
Seorang anak yang cerdik dia akan sedar tugasnya adalah untuk belajar sehingga berjaya. Andaikata ayahnya tidak pun menjanjikan jam tangan idamannya sekiranya dia berjaya, dia tetap akan belajar. sebab dia kenal diri dan posisinya sebagai apa.
Sama juga seorang hamba Allah yang ikhlas dan menyedari dia hanyalah hamba kepada Yang Maha Kuasa, maka dia akan cuba beribadah dan memperbaiki amalannya sepanjang masa. Amal ibadahnya bukan sekadar mencari habuan 'jam tangan' dari Tuhannya. Sebaliknya dia tahu apa yang perlu dia gapai sebenarnya adalah iman, taqwa dan redha dari Tuhannya. samada pada bulan yang dijanjikan 'jam tangan idamannya' (Ramadhan) ataupun tidak.
Ibadahnya merentasi fadhilat Ramadhan dan lailatul Qadr itu sendiri. Sebab dia tahu apa yang dia perlu buat sebenarnya. Dia kenal statusnya sebagai siapa.
Jangan jadi hamba Ramadhan, jadilah hamba Allah.
Semoga Ramadhan kali ini menjadi turning point buat diri saya untuk berubah menjadi lebih baik. Andaikata sepanjang Ramadhan ibadah kita bertambah, maka kita berharap agar ianya terus berkekalan sehingga habisnya Ramadhan dan dibawa ke bulan-bulan yang seterusnya.
Jangan hanya beramal disebabkan Ramadhan. Tapi solatlah, puasalah, bacalah Quran sebab kita ini hamba Allah. Kerana Ramadhan datang hanya 30 hari dalam setahun sedangkan Allah adalah yang Maha kekal, Yang tiada pengakhiran.
*Tulisan, teguran untuk diri. T_T