Friday, January 17, 2014

Hafaz Quran : Manifestasi Cinta

Setiap insan dilahirkan dengan fitrah. Antara fitrah seorang insan adalah suka kepada kebaikan dan kesempurnaan. Tanyalah pada mana-mana individu walaupun sejahat mana pun dia, pastinya tetap memilih yang baik dan sempurna. Seorang perompak, walaupun kerjanya hanya merompak tetap bercita-cita untuk masuk Syurga (kebaikan yang abadi) dan menolak neraka. Begitu juga halnya mana-mana jenis manusia, tetap akan mahukan yang terbaik.

Analogi 
Setelah berjaya mengumpul sejumlah wang, hari ini anda bertekad untuk ke kedai elektronik untuk membeli sebuah telefon bimbit pintar yang telah lama anda idamkan.

Tibanya di kedai, penjual itu mengeluarkan beberapa model untuk dibanding dan dipilih oleh anda. Hampir 7 ke 8 model semuanya dikeluarkan. Semuanya menepati ciri - ciri yang dikehendaki oleh anda. Cuma setiap satu ada sahaja kelebihan dan kekurangan tersendiri. Kemungkinan dari segi RAMnya, memorinya, MPixel kameranya, wifi, brand dan sebagainya. Yang pasti, semua telefon bimbit tersebut cukup asasnya : boleh membuat panggilan dan menghantar mesej ringkas (SMS).

Akhirnya, anda memilih satu model untuk dibeli dan menolak yang lain setelah dibandingkan kesemuanya. Sudah tentu ada ciri-ciri tertentu yang anda pandang 'special' menyebabkan anda memilihnya tanpa menafikan ada juga kekurangan-kekurangan lain.

Jadilah yang terpilih di mata Allah 
Begitulah juga halnya seorang hamba di mata Allah.

Saya sering terfikir dalam jutaan lautan hamba-hambaNya, mahukah Allah memandang kita andai kita hanya melunaskan tanggungjawabnya yang wajib dan common sahaja tanpa ada sesuatu yang special untuk dilihat oleh Allah?

Jika seorang yang syahid berperang di jalan Allah, di akhirat nanti dia boleh datang kepada Allah dan menunjukkan bajunya yang koyak rabak berlumuran darah sebagai bukti dia berusaha untuk meraih cinta dan menjadi special di mata Allah.

Jika seorang yang sentiasa bangun bertahajjud kepada Allah di awal pagi, dia boleh membuktikan bahawa susah payahnya untuk meninggalkan tempat tidur sedangkan orang lain masih enak dibuai lena sebagai bukti dia cinta dan layak untuk menjadi special di mata Allah SWT.

Jika seorang yang sentiasa berpuasa pula boleh menunjukkan bahawa lapar dahaga yang dia tahan bukanlah sia-sia melainkan untuk special dan mendapat cinta Allah SWT.

Hafaz Quran : manifestasi cinta 
Maka dengan kesedaran ini, saya sentiasa mengingatkan diri untuk sentiasa bersemangat dan berjuhud dalam bidang yang telah Allah lorongkan saya ini : tahfiz Al-Quran.

Memang susah, perlukan masa yang lama, setiap hari kena mengulang menghafaz, kemudian ulang. Tetapi ingatlah boleh jadi dengan kesungguhan kita ini, sebenarnya Allah telah memilih kita untuk menjadi special di mataNya. Jalan ini jugalah yang boleh mendekatkan kita kepada cinta Allah SWT. Mana taknya, setiap hari, setiap masa, setiap detik hanya kalamNya yang ditutur oleh bibir kita.

Betulkan niat dalam apa sahaja benda yang kita lakukan kerana tanpa niat amalan kita akan menjadi seperti debu yang berterbangan, sia-sia. Semoga Allah mengurniakan ikhlas dan istiqamah dalam setiap amalan seharian kita.


"Sebaik-baik di kalangan kamu ialah mereka yg mempelajari AlQuran dan mengajarnya kepada orang lain"

Flag counter

free counters