Alhamdulillah atas segala nikmat yang Allah kurniakan pada saya dan anda semua. Tiada siapa yang mampu menghitungnya walau hanya dalam tempoh sedetik cuma, inikan pula mahu kita hitung sejak kita dilahirkan sehingga waktu sekarang. tak terhitung betapa banyaknya nikmat Allah. Alhamdulillah.
Antara nikmat yang terbesar Allah kurniakan kepada saya ialah diberi kesempatan untuk belajar di Maahad Tahfiz dan mengkhatamkan hafalan Al-Quran. Sungguh dalam tempoh 3 tahun setengah itu jalannya sangat berliku dan penuh dengan kenangan suka duka. Dengan izin Allah akhirnya saya berjaya mengkhatamkan Al-Quran pada 6 Ogos 2007. Alhamdulillah, satu nikmat yang tidak terkira besarnya Allah kurniakan.
Tanyalah pada mana-mana hafiz dan hafizah senangkah laluan mereka sepanjang menghabiskan hafalan? Tentu mereka mampu bercerita pelbagai kisah dan kenangan disebalik usaha mereka tersebut.
"Betapa kerapnya timbul perasaan nak putus asa, tak sanggup lagi bersengkang mata menghabiskan hafalan setiap pagi."
"Berapa banyak air mata yang mengalir kerana hampa dan kecewa dengan prestasi diri sendiri"
"Berapa kali entah banyaknya menghabiskan masa merajuk. Bukan dengan siapa2. Tapi dengan diri sendiri juga"
"Betapa peritnya bila ulangan / murajaah kian menghilang dari ingatan. Susahnya nak istiqamah."
Akhirnya berjayalah mereka menghabiskan hafalan dalam tempoh yang tertentu. Segala kepayahan dan keperitan lalu terus dilupakan. Betapa bahagianya ketika memperdengarkan bacaan juz 'amma kepada guru tasmi. Di selangi pula dengan ucapan takbir oleh rakan-rakan sekelas dicelahan setiap surah. Oh, indahnya waktu itu. Tiada gantian perkataan mampu menggambarkannya.
:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::
Pesanan buat diri dan sahabat sahabiah seperjuangan.
Terkadang kita lupa kisah lalu, kenangan lalu, kesusahan lalu. Lantas kita turut lupa untuk menghargai nikmat ini. Mana taknya tengok pada realiti diri kita sekarang, renung pada prestasi diri.
Jumlah murajaah seharian makin menurun. Terkadang ada saja dalam sehari tak baca pon Quran walau sehelai...
Juz yang lancar dibibir dahulu makin hilang...
Susunan surah pun boleh jadi berterabur sekarang...
*Mungkin bukan anda yang sedang baca tulisan ini sekarang. Boleh jadi sahabat sahabiah kita yang lain.
Hargailah Dia, Al-Quran itu. Kerana bukan semua yang mengimpikan mampu memilikinya. Kita terpilih dan dipilih oleh Allah untuk memilikinya. Maka hargailah sebesar-besar nikmat ini.
Akhirnya, semoga kitalah (serta ibubapa kita) golongan yang paling berbahagia di Akhirat nanti. Ameen.
| Hari Graduasi 1st batch Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah. |
ps : Tulisan ini nak menegur diri sebenarnya. Semoga tercabar dan dicabar dengan tulisan sendiri.