Thursday, July 12, 2012

Selamat datang wahai Ramadhan

Assalamualaikum..

Saya perasan satu perkara dalam menulis. Sebenarnya untuk menulis bukan sahaja memerlukan tangan yang menaip dan akal yang berfikir sahaja. Komponen yang paling penting adalah hati. Ya! hati yang sentiasa merasa. Kerana menulis tanpa hati saya rasa semacam tiada isi dan rohnya.

Tangan menaip, akal berfikir tetapi hati kurang merasai. Itulah yang saya alami selama ini. Boleh kata setiap hari saya ada sahaja pendapat dan idea untuk dituliskan. Bila di hadapan keyboard saja tak mampu untuk dihabiskan. Akhirnya semua tulisan tak berjaya dihabiskan dan disimpan sebagai draft sahaja.

_____________________________________________________________

Ramadhan dan analogi
Seorang anak yang berusia 15 tahun dan bakal menduduki peperiksaan PMR pada tahun ni. Ayahnya telah berjanji akan menghadiahkannya sebuah jam tangan yang telah lama menjadi idamannya.

Selesai situasi dan analogi yang ingin saya gunakan.

Ramadhan dan kita
Ramadhan adalah bulan yang mulia. Yang sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh Muslim sepanjang tahun. Habis sahaja Ramadhan, ianya dirindui oleh pencintanya sehingga 6 bulan seterusnya. 5 bulan sebelum tiba Ramadhan yang baru, ianya juga telah dinanti-nantikan menjadikan pencintanya sepanjang tahun memikirkannya tanpa henti.

Mana mungkin dilupakan, pelbagai fadhilat dan kelebihan dijanjikan Allah sepanjang Ramadhan. Sehinggakan dihadiahkan satu malam yang lebih hebat dan baik dari seribu bulan di dalamnya.

Saya yakin untuk Ramadhan kali ini pastinya masing-masing telahpun membuat persediaan dan kelengkapan yang sepatutnya supaya ianya lebih bermakna dari yang sebelum.

Renungan
Saya terfikir, sebenarnya disebalik Ramadhan dan seluruh amal ibadah kita itu pasti ada hikmah setiapnya. Sebagai satu contoh Ramadhan itu hendak mengajar kita untuk menjiwai bagaimana rasa dan perasaan orang-orang yang kurang bernasib baik. Sepanjang hari terpaksa mengikat perut menahan lapar kerana tidak mampu.

Lantas dari puasa itu sendiri menimbulkan kesedaran kepada kita untuk bersedekah dan membantu saudara-saudara kita yang kurang berkemampuan.

Untuk apa Ramadhan?
Saya sedikit takut untuk meluahkan pendapat kali ini. Risaunya andai tak sepatutnya saya berfikiran begini. Harapnya andai tersilap mohon ada yang tampil untuk memperbetulkan. Saya budak yang kurang segalanya. Ilmu, iman mahupun amal.

Saya ingin samakan Ramadhan serta seluruh fadhilatnya dengan situasi yang saya adakan di awal tulisan ini.

Anak tugasnya sebagai seorang pelajar dan semestinya dia perlu tahu dan faham tujuan ddan tugasnya adalah belajar dan berjaya dalam pelajaran. 

Boleh jadi dia ada keinginan keinginan lain selain berjaya dalam pelajaran. Seperti contoh yang saya datangkan si anak tersebut sudah lama mengimpikan sebuah jam tangan. Dalam keadaannya, dia tidak mampu untuk membeli jam tersebut melainkan melalui ayahnya.

Ya, sama juga dengan kita. Kita dan Ramadhan. Sebenarnya apa yang lebih besar disebalik Ramadhan ni? Adakah disebabkan fadhilat-fadhilat tertentu yang Allah janjikan itu membuatkan kita bangun untuk beribadah kepadaNya? Adakah disebabkan disana adanya malam yang lebih baik dari seribu bulan yang membuatkan kita bersungguh-sungguh menghidupkan malam-malam Ramadhan kita?

Seorang anak yang cerdik dia akan sedar tugasnya adalah untuk belajar sehingga berjaya. Andaikata ayahnya tidak pun menjanjikan jam tangan idamannya sekiranya dia berjaya, dia tetap akan belajar. sebab dia kenal diri dan posisinya sebagai apa.

Sama juga seorang hamba Allah yang ikhlas dan menyedari dia hanyalah hamba kepada Yang Maha Kuasa, maka dia akan cuba beribadah dan memperbaiki amalannya sepanjang masa. Amal ibadahnya bukan sekadar mencari habuan 'jam tangan' dari Tuhannya. Sebaliknya dia tahu apa yang perlu dia gapai sebenarnya adalah iman, taqwa dan redha dari Tuhannya. samada pada bulan yang dijanjikan 'jam tangan idamannya' (Ramadhan) ataupun tidak.

Ibadahnya merentasi fadhilat Ramadhan dan lailatul Qadr itu sendiri. Sebab dia tahu apa yang dia perlu buat sebenarnya. Dia kenal statusnya sebagai siapa.

Jangan jadi hamba Ramadhan, jadilah hamba Allah.
Semoga Ramadhan kali ini menjadi turning point buat diri saya untuk berubah menjadi lebih baik. Andaikata sepanjang Ramadhan ibadah kita bertambah, maka kita berharap agar ianya terus berkekalan sehingga habisnya Ramadhan dan dibawa ke bulan-bulan yang seterusnya.

Jangan hanya beramal disebabkan Ramadhan. Tapi solatlah, puasalah, bacalah Quran sebab kita ini hamba Allah. Kerana Ramadhan datang hanya 30 hari dalam setahun sedangkan Allah adalah yang Maha kekal, Yang tiada pengakhiran.

*Tulisan, teguran untuk diri. T_T

Sunday, June 10, 2012

Album Umrah 4 / Rejab 1433

Assalamualaikum.

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Yang Maha Kaya, Maha Pemurah di atas segala nikmatNya yang tidak terkira.

_______________________________

Menjelang sahaja hujung semester pengajian, fenomema kami (pelajar-pelajar malaysia di Jordan) akan mula merancang perjalanan dan pengisian cuti masing-masing.

Macam - macam tempat yang bakal di ziarahi. Dari sedekat-dekat tempat sehingga sejauh-jauhnya.

Dulu saya ada juga bercita-cita untuk melawat seberapa banyak negara sepanjang pengajian saya di Jordan. Ye lah, bila dah habis belajar dan mula berkerjaya nanti ruang masa mungkin sedikit sempit. Ramai senior-senior kata ambillah peluang yang ada ni untuk melihat dan merantau sejauh mungkin di muka bumi Allah.

Sewaktu tahun 1 pengajian pada tahun 2010 saya memulakan jelajah saya ke Turki. Sebuah negara yang menarik dan boleh letak dalam list-melawat saya kira. Banyak pemandangan dan pengalaman baru yang saya belajar. Boleh belek-belek dan rujuk album lama di sini dan sini. :) 

Umrah kali pertama
Pada tahun yang sama, saya telah diizinkan oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke RumahNya, Haramain Es-Syarifain (Masjidil haram dan Masjid nabawi). Teringat kali pertama menjejakkan kaki ke sana, Allah telah datangkan ujian kepada saya. Telah saya catatkan dalam blog ini sebagai kenangan dan peringatan bersama. Boleh rujuk sini.

Umrah kali kedua
Perancangan Allah Maha Hebat dan sangat terancang. Terkandung sejuta hikmah dan pelbagai pelajaran bagi yang memerhati. Sekali lagi Allah menjemput saya pada tahun berikutnya untuk menjadi tetamuNya. Tetapi kali ini sangat istimewa kerana saya diundang pada waktu yang cukup mulia, pada Bulan Ramadhan 1432h.

Saya tidak tahu macamana hati saya terdetik untuk ke sana lagi. walaupun ketika itu cuti saya yang agak lewat dan saya telah terlepas untuk mengikuti pakej Umrah (bas) yang ada pada waktu itu. Dari mana datangnya kesungguhan dan keinginan saya tidak tahu sehinggakan saya sanggup berjumpa dengan syarikat untuk menempah tiket flight yang berganda-ganda tinggi kosnya. 

Alhamdulillah saya tidak pernah menyesal bahkan rasa sangat beruntung atas tindakan saya pada waktu itu. Pengalaman dan perasaan yang tidak mungkin saya lupa dan padamkan. Bersahur, berpuasa, berterawikh dan berQiamullail di anjung Masjidil Haram, MasyaAllah suatu suasana yang WAJIB setiap muslim idamkan!

Saya abadikan kenangan itu di sini. Sejak ziarah kali kedua inilah yang telah mengikat hati saya. Saya telah jatuh cinta pada tempat yang paling mulia ini. Sebelum pulang saya berdoa dengan setulus hati, 

"Ya Allah sampaikan aku lagi ke sini."

Umrah kali ke tiga
Januari 2012, sekali lagi Allah jemput saya. Allah, bayangkan apa perasaan seorang hamba yang banyak dosa seperti saya apabila Tuhannya tak pernah lupa padanya dan memakbulkan doa dan hajatnya. Tidak cukup dengan segala amal ibadat dan lafaz syukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan. 

"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah mahu kamu dustakan?", 33 kali Allah ulang dalam Surah Ar-Rahman.

Umrah kali ke empat
Dan dengan sifat Pemurah dan Penyayangnya Allah SWT, saya dijemput lagi untuk kali ke empat berkunjung ke rumahNya. kali ini hati saya benar-benar terkesan, benar-benar merasakan bahawa Allah tak pernah sekejap pun melupakan hambaNya.

Saat ini saya teringatkan satu kata-kata seorang ustaz,

"Semoga Allah memilih kita menjadi tetamuNya di dunia dan yang paling penting di akhirat kelak. Macamana Allah nak pilih kita jadi tetamuNya di akhirat sedangkan di dunia pun dia tak pernah pilih kita?"

*Tetamu Allah ialah orang yang sentiasa menghadiri dan solat berjemaah di Masjid.

"Ya Allah, sungguh banyak nikmat yang Engkau limpahkan kepada HambaMu. Aku berdoa dan meminta agar kami menggunakan segala nikmatMu untuk lebih mendekatkan diri padaMu Ya Allah. Engkau pandulah hati kami untuk terus taat pada perintahMu dan menjauhi laranganMu. Ameen~"

Dalam perjalanan


Kawasan Masjid Nabawi

Bersama Abdul Mukmin at Masjid Nabawi
Salam, Mukmin, Amirun.
Bersama Nabil Saupi (baju kuning) kenalan semasa MTS.
Rumah Makan Indon, bersama sahabat Arab seBatch di JUST.
Di Makkah
Di Miqat Bir Ali
Bersama Abah dan Umi di hadapan Masjidil Haram
Bukit Marwah
Dalam perjalanan lawatan ke Hudaibiyyah
Tapak tempat berlakunya Perjanjian Hudaibiyyah tahun ke 6 Hijrah
Ladang Unta
Pagi terakhir sebelum bertolak pulang ke Jordan


Alahmdulillah~

Wednesday, May 2, 2012

Cerita di suatu pagi

Semalam saya tidur sedikit lewat dari kebiasaan.

Nasib baik pagi tadi Yon tersedar dan terus bergegas ke bilik saya, mengejutkan saya untuk menunaikan solat subuh. 5.30 am, masih berbaki 20 minit sebelum matahari terbit.

Seusai solat subuh, tanpa sempat saya menghabiskan bacaan ma'thurat saya sudah tertidur.

...................

Saya tersedar tepat pukul 9.00 pagi. Terus saja bergegas ke bilik air mempersiapkan diri untuk bertolak ke Universiti. Walaupun kelas mula pukul 11.00 pagi, saya ambil keputusan untuk bertolak sedikit awal, saya merancang untuk singgah sekejap di sebuah kedai makan untuk bersarapan.

Seusai solat dhuha dua rakaat sempat saya online sekejap, melawat laman sesawang fb, sekadar melihat apa yang mungkin penting untuk saya tahu pagi ini. Tak kisahlah berkaitan isu semasa ke, masalah kawan ke, kerja-kerja persatuan ke atau sebagainya. Jujur sebenarnya saya sudah seolah ketagih dengan facebook, wajib membukanya setiap hari. Bukan sekali, malah berkali-kali. Sepatutnya ada benda lain yang selayaknya kita terikat dengannya begitu. (?)

Salah satu status seorang sahabat menarik perhatian saya. Statusnya berbaur sedikit kemarahan dan perasaan tidak puas hati. Saya bersimpati, semoga Allah mudahkan urusan beliau. Komen sedikit kemudian terus saya log out dan bergerak ke Universiti.

Untuk sampai ke Universiti saya perlu menaiki dua bas. Bas yang pertama dari Syari3 Jamiah ke Mujamma3. Kemudiannya bas yang kedua dari mujamma3 terus ke Universiti. Perjalanan mengambil masa kurang lebih 30 minit.

Saya mendapatkan bas yang pertama dari Syari3 Jami3ah. Disebabkan penuh, saya terpaksa berdiri sahaja. Saya menjeling ke cermin hadapan bas. Di sudut kanan bahagian atas tertampal sehelai kertas bertulis,

الأجرة ٢٢ قرش
Tambang 22 Qursh

Saya sedikit tidak puas hati. Lebih kurang sebulan yang lalu, tambang hanya sebanyak 15 Qursh kemudian dinaikkan sehingga 17 Qursh. Seingat saya semalam tak ada pun notis menyatakan tambang dinaikkan lagi dan kenapa hari ini tambangnya menjadi 22 Qursh?

Saya rapatkan mata, hati saya berbicara,

"Apa salahnya bagi lebih sikit, anggap je yang lebih tu sebagai sedekah dari kamu atas usaha dia yang sanggup keluar pagi semata-mata nak cari rezeki. Allah pilih kamu sebagai jalan rezeki untuk dia.."

Nafas panjang saya helakan. Segera saya menghulurkan tambang sebanyak yang tertulis. Tiba-tiba sahaja hati saya merasa sangat luas, puas, tenang dan selesa. Saya tersenyum.

Sampai di mujamma3. Saya terus menghayunkan kaki ke kedai makan tersebut. Saya menghulurkan sekeping wang kertas kepada cashier sambil menyebut nama sejenis makanan. Muka pak cik itu agak muram sedikit. Dia menyambut wang saya dan mengembalikan baki tanpa memandang muka saya.

"mungkin dia ada masalah kot. Semoga Allah permudahkan urusan beliau..", getus hati saya.

Sarapan pagi telah saya beli, saya duduk di meja yang tersedia.

Tiba-tiba riuh kedengaran dari dalam kedai. Kedengaran suara dua orang lelaki yang saling bertengkaran ( ps. memang biasa je sebenarnya arab kat sini bertengkar lidah). Saya mengangkat sedikit kepala, melihat apa yang berlaku. Oh, rupa-rupanya pak cik tadi.

Kesian pula rasanya. Kalau dia boleh kawal sedikit sahaja marahnya, pasti dia boleh tersenyum sekarang. Hati pon senang nak buat kerja. Selesai makan saya terus mendapatkan bas.

Saya menapak mendaki tangga bas. Tempat duduk banyak lagi yang kosong. Pak cik driver sibuk memanggil-manggil penumpang. Nampak kesungguhan dari wajahnya. Inilah usaha dan keringatnya untuk menyediakan rezeki buat isteri dan anak-anak tercinta yang menanti di rumah, mungkin, kata hati saya.

Saya duduk di salah satu kerusi. Membetulkan tempat duduk, meluaskan sedikit tingkap supaya angin nyaman pagi Irbid bisa menyapa pipi saya. Kemudiannya saya mengeluarkan earphone nokia dari beg galas. Disambungkan ke ipad kesayangan, Surah Al-A'raaf Sheikh Saad Said Al-Ghamidi saya mainkan, Sheikh kegemaran saya seawal mengenali dunia tahfiz dulu.

Apps pages saya lancarkan dan di atas bas itu, saya mula menulis nota ini.

Rutin harian yang biasa saya lalui, tetapi luar biasa saya dapat pengajaran. Berbeza-beza berdasarkan cara kita berfikir dan mengambil pengajaran. Biasa berlaku juga pada anda kan?

S.E.N.Y.U.M.

Saturday, March 10, 2012

Az Zumar by Syeikh Saad Said Al-Ghamidi 1991


1. Boleh cari sambungan bacaan untuk part 2 dan 3.
2. Pertama kali dengar bacaan Ghamidi yang ni terasa seolah berada dalam dunia yang lain.
3. Selamat mendengar dan menghayati.


Tuesday, January 24, 2012

Perihal solat, dua tanah haram, doa dan harapan.

Berkaitan solat
Sebelum cuti bermula sebenarnya saya ada banyak target. Salah satunya nak mengkhatamkan kitab minyatul musolli karangan Syeikh Daud Al-Fatani.

Sebelum cuti bermula lagi saya sudah pun mengdownload dan mencetak kitab tersebut. Sudah bersiap sedia untuk menghabis serta mengkhatamkan kitab tersebut.

Namun perancangan Allah mendahului perancangan saya. Entah bagaimana saya tak mempunyai banyak kekuatan untuk menghabiskannya sepanjang cuti ni. Hanya beberapa helai sahaja yang sempat ditelaah.

Saya kongsikan sikit ilmu daripada kitab minyatul musalli disini mengikut olahan ayat dan fahaman saya sendiri.

Solat yang didirikan merangkumi 2 aspek iaitu secara luaran dan rohani.

Mendirikan solat menyembah Allah saya analogikan seperti seorang anak muda remaja yang sedang mencari calon isteri atau suaminya.

Mana mahu seorang anak muda jika pasangannya itu cacat dari segi fizikalnya sebagai contoh tempang, tidak cukup anggota badan dan sebagainya. Semua hendak yang sempurna jika diberi pilihan.

Tetapi yang lebih penting dari segi rohnya. Mahukah anda mengahwini pasangan yang telah pun ditarik rohnya a.k.a meninggal dunia? Apa pula ni? Boleh jadi satu penghinaan jika halnya seorang pak cik menawarkan anda untuk mengahwini anak gadisnya yang telah meninggal dunia. Silap haribulan kita boleh kata pak cik ni gila sebenarnya.

Sekarang cuba analogikan mencari pasangan dengan solat. Bagaimana? Solat sebenarnya kita mempersembahkan ibadah kita kepada Allah SWT. Semampu mungkin kita perlu memenuhi serta menyempurnakan kedua-dua aspek solat iaitu fizikal dan rohani.

Fizikalnya adalah rukun-rukun solat manakala rohaninya adalah kekhusyukan dan keadaan hati kita ketika bersolat.

Mahukan Allah menerima solat kita yang tidak sempurna rukunnya? Sudah tentu tidak sebagaimana tidak mahunya kita mendapat pasangan yang tidak sempurna fizikalnya seperti yang saya terangkan di atas.

Juga agak-agaknya mahukan Allah menerima serta mengganjari solat kita yang tidak khusyuk? Sama jawapannya dengan halnya seorang pak cik yang menawarkan anak gadisnya yang telah meninggal dunia untuk kita kahwini. Mungkin juga boleh jadi satu penghinaan kepada Allah kiranya kita mengerjakan solat dengan sambil lewa sahaja. MasyaAllah.

Semoga Allah memberi kepada kita kekuatan untuk khusyuk dan menjaga segala rukun-rukun solat ketika mendirikannya. Ameen.

Coretan perihal dua tanah haram
Alhamdulillah insyaAllah sekali lagi saya bakal dijemput oleh Allah untuk berkunjung ke sana. Jika dipanjang umur saya akan bertolak ke sana esok hari, 25 Jan 2012 dari Jordan. Dan ini adalah kunjungan saya kali yang ke tiga. Yang terakhir saya ke sana pada bulan Ramadhan yang lepas juga menyambut aidul fitri di sana pada waktu itu. Sungguh saya sangat berharap semoga dapat berkunjung lagi dan Alhamdulillah Allah bakal makbulkan doa saya. Setinggi kesyukuran dipanjatkan.

Berkaitan berkunjung ke tanah haram, ramai yang membawa hajat akan berubah dan bertaubat apabila kembalinya mereka ke tanah air sesudah mengerjakan umrah ataupun haji. Saya punyai pandangan dan pendapat yang lain tentang hal ini.

"Mekah, masjidil haram, kaabah bukan tong sampah untuk membuang dosa-dosa kita". Saya dengar kata-kata ini dari satu sesi kuliah tazkirah oleh seorang ustaz.

Ya, ramai yang berharap mereka akan bertaubat, insaf dan berubah menjadi baik sesudah mengerjakan haji atau umrah. Alhamdulillah niatnya yang baik itu suatu perkara yang terpuji.

Tetapi realitinya sekarang kita boleh lihat ramai sahaja haji-haji yang baru sahaja balik dari mekah tetapi masih belum mampu untuk melazimi solat 5 waktu di masjid. Lebih teruk mungkin ada saja yang terus tidak solat sepertimana keadaan mereka sebelum mengerjakan haji atau umrah.

Boleh jadi juga ketika berada di tanah suci itu sendiri kita boleh lagi meninggalkan solat walaupun masjidil haram hanya beberapa langkah dari bangunan hotel.

Kenapa boleh jadi begini? Ianya berkaitan dengan soal iman, soal hati dan soal kemahuan. Jika Memang hati kita beriman dan yakin serta mahu dan berazam untuk mentaati perintah Allah, walau dimana kita berada pasti kita akan melaksanakan perintah Allah serta menjauhi laranganNya. Sebaliknya jika kerasnya hati kita, lemahnya iman kita, walaupun laungan azan dari masjidil haram tidak mampu untuk menggerakkan badan untuk berwudhuk seterusnya melangkahkan kaki kita ke masjid.

Saol yang ingin saya tekankan adalah usaha kita ke arah itu. Tidak akan berlaku perubahan dan taubat sekiranya kita hanya menunggu sampainya kita ke tanah suci dengan berharap air mata taubat itu mengalir dengan sendirinya dan diri kita terus bertukar menjadi malaikat. Sebaliknya semua itu perlu kepada usaha yang berterusan. Kita bertuah andai ketika mengerjakan umrah dan berada di tanah suci itu Allah bukakan hati kita di atas segal usaha yang telah kita buat sebelum ini.

Juga taubat itu bukan perbuatan bertempat. Hanya boleh dilakukan bila berada di hadapan kaabah semata-mata. Sebetulnya setiap masa, setiap tempat kita sentiasa bertaubat dan memohon istighfar kepada Allah SWT.

Ya, soalnya usaha dan ikhtiar kita. Memang mujahadah dan istiqamah itu susah sebab nilainya mahal iaitu taqwa pada Allah SWT.

Perihal doa dan harapan
Biasalah Apabila kita akan berkunjung ke tanah haram maka ramailah sahabat-sahabat serta kenalan yang akan mengirimkan doa supaya dipohon serta diaminkan di sana. Keadaan ini tidak terkecuali ke atas saya bahkan saya sengaja memaklumkan pada sahabat-sahabat malah bertanya sekiranya ada sebarang doa untuk didoakan.

Cuma satu doa yang saya sangat terkesan apabila mendengarnya. Doa yang dipohon oleh seorang sahabat saya di Jordan. Suatu malam di menghampiri saya yang ketika itu sedang menyandar didinding masjid.

"aku ada doa nak engkau doakan untuk aku didepan kaabah nanti, boleh tak?"

"insyaAllah. Apa doanya?"

"doakan aku supaya Allah buangkan rasa besar makhluk dalam hati aku serta Allah gantikan rasa besar khaliq (Allah)".

"ameen. InsyaAllah" saya terfikir sejenak selepas mendengar harapan beliau. Allah~

saya sendiri pun banyak sahaja doa dan harapan yang diidamkan yang mana setiap masa saya memohon dan berdoa kepada Allah, tak kira berada di tanah haram sekali pun ataupun tidak.

Saya sentiasa memohon supaya ditetapkan iman oleh Allah. Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan kepada saya untuk istiqamah menjauhi maksiat serta kesungguhan dan keghairahan beribadah kepadaNya.

Saya juga berharap supaya Allah memberi peluang untuk saya betul-betul masyi serta mengingati dan mengamalkan Al-Quran. Sungguh susah perkara ini.

Saya juga berimpian untuk menjadi seorang yang bermanfaat untuk agama ataupun sekurang-kurangnya tidak menjadi fitnah.

Saya juga berharap agar cemerlang dalam mengejar segala impian, cita-cita dan kerjaya saya.

Sebagai seorang anak saya sering mendoakan yang terbaik dan kebahagiaan kepada kedua ibubapa dan seluruh keluarga saya.

Juga sebagai seorang manusia yang punya hati dan perasaan, saya juga mengimpikan pasangan hidup yang terbaik dan mampu melorongkan saya ke jalan menuju ketaqwaan kepada Allah SWT.

Harapan terbesar semoga sempat melihat kemenangan Islam serta seluruh muslimin dalam keadaan saya adalah salah seorang yang berjuang merealisasikannya.

Allah begitu banyak harapan dan doa kita sebenarnya kan? Kalau begitu mengapa masih begitu susah untuk kita patuh pada sedikit sahaja arahan Allah? Sungguh hambaMu ini terlalu banyak meminta tetapi sedikit pula amal ibadanya. Allah~

Flag counter

free counters