Dalam bidang psikiatrik, ada satu penyakit dinamakan dengan obsessive compulsive disorder (OCD).
Contoh simptom untuk penyakit ini apabila seorang yang terlalu banyak fikir (obsession) tentang hygiene tangannya mengakibatkan tindakan susulan (compulsion) dengan menghabiskan masa yg begitu lama dan kerap untuk membasuh tangan. Akhirnya menyebabkan gangguan kepada kerja dan kehidupan sehariannya yang lain.
Ya, OCD ini bermula dengan was-was, banyak berfikir. Ada juga yg sebaliknya, bermula dengan perbuatan dulu (compulsion) kemudian datang fikiran (obsession triggered by compulsion) terhadap benda itu.
Bila saya baca dan faham tentang penyakit ini saya mula terfikir, sebenarnya perbuatan dan hati ini memang sangat berkait rapat. Apa yang kita selalu fikir akan dizahirkan dalam bentuk perbuatan atau sebaliknya, apa yang kita paksakan diri kita untuk terus buat, lama-lama akan melahirkan rasa cinta.
Maka dua cara ini kita boleh untuk manfaatkan dalam kehidupan seharian kita.
Sebagai contoh dalam usaha kita untuk mencintai Baginda Rasulullah SAW. Kita boleh pilih mana-mana dua cara di atas. Samada untuk bermula dengan fikiran (obsession) ataupun perbuatan (compulsion).
Bermula dengan obsession iaitu kita banyak mengenali dan membaca sirah kehidupan Baginda sehingga terbit rasa cinta seterusnya menatijahkan perbuatan (compulsion) mengikuti sunnah Baginda.
Atau,
bermula dengan compulsion iaitu kita memaksa diri mengikut sunnah-sunnah Baginda sehingga kita melihat kecantikan sunnah-sunnah tersebut. Akhirnya terbitlah rasa kagum dan cinta (obsession) kepada Baginda.
Sama juga dalam usaha kita untuk mencintai Al-Quran, Qiamullail, Ramadhan dan sebagainya.
Semoga Allah hidayahkan hati kita untuk sentiasa jatuh cinta pada kebaikan serta beramal dengannya penuh keikhlasan.
Road to Ramadhan, 38 hari berbaki.
~اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين~
Berbeza tak semestinya satu akan jadi betul dan satu lagi salah. Kadangkala perbezaan itu merupakan pelengkap antara satu sama lain. Boleh jadi kalau tak wujud sesuatu perbezaan begitu satu lagi tak mampu untuk mencapai tahap yang ia duduki sekarang.
Sedangkan dalam seorang manusia sahaja pun wujud perbezaan. Tengok saja pada tangan jari jemari kita. Bukan semuanya sama panjang dan sama saiz. Tidak disebabkan perbezaan ini, jari tengah adalah jari manakala jari manis bukan jari. Tidak, jari manis, jari kelingking, ibu jari semuanya adalah jari walaupun mereka berbeza dari segi saiz, panjang, kedudukan dan sebagainya.
Contoh kedua, kembar. Seorang kembar yang berkongsi satu rahim, satu rupa, satu emak, satu ayah akan ada juga perbezaannya. Boleh jadi bila makin membesar sifat, tingkah laku, perasaan, pemikiran, ilmu mereka akan berbeza. Susah dan agak mustahil saya kira kalau mereka akan masih sama sehingga dewasa, sehingga selamanya.
Dalam suatu masyarakat pula. Sudah tentu perbezaan antara mereka akan lebih luas. Berbeza dari segi segalanya. Memang ada persamaan, tapi perbezaan saya kira lebih banyak. Berbeza jantina, umur, ilmu, tahap kematangan, pemikiran, minat, kecenderungan dan sebagainya.
Boleh jadi kita sukakan sesuatu, tapi orang lain tak menyukainya. Boleh jadi kita benci sesuatu, tapi orang lain sangat menyukainya. Kalau kita suka, dia tak suka, tak semestinya kita betul dan dia salah. Tak semestinya dia yang betul dan kita salah. Tak semestinya lah. Boleh jadi juga betul.
Jadi macamana cara nak harmonikan supaya semua boleh meraikan dan menikmati segala perbezaan yang wujud dalam kehidupan kita? Berlapang dada, saling bertolak ansur, saling memahami mungkin boleh menjadi kunci kepada perbezaan yang wujud. Prinsip? Berlapang dada tak bermaksud kena korbankan prinsip.
Jari dalam satu tapak tangan pun berbeza, kan?
*Post ditulis secara laju. Sekadar tulis apa yang terlintas. Mungkin boleh diaplikasikan dalam sesetengah kondisi dan kurang sesuai dalam kondisi yang lain.
Dalam badan kita sendiri ada benda yang kita boleh kawal dan ada juga yang di luar kawalan kita. Setiap masa kita adalah tempoh untuk memilih. Apabila sebiji bola melantun ke arah kita, kita akan memilih untuk mengelak. Kita mampu mengawal badan, kaki dan tangan kita untuk bergerak.
Semua pergerakan ini dikawal oleh suatu sistem dalam badan kita atau dikenali sebagai nervous system, atau lebih specificnya central nervous system. Kita dibekalkan dengan otak dan spinal cord (dah lupa bahasa melayu dia apa) untuk berfikir membuat sebarang pilihan. Central nervous system akan bekerjasama dengan peripheral nervous system untuk menyempurnakan tindakan tersebut.
Maknanya setiap perbuatan kita sebenarnya ditentukan sendiri oleh akal fikiran kita. Dan semua pilihan itu tertakluk kepada dua. Antara taat atau maksiat kepada Allah SWT. Jadi berhati-hatilah dalam membuat pilihan.
"dan mengilhamkannya jalan untuk mengenal jalan kejahatan dan jalan ketaqwaan" As Shams; 8
Sila rujuk beberapa ayat lagi selepas ayat di atas.
Seperkara lagi. Seperti yang saya nyatakan pada awal tulisan, ada juga dalam badan kita sendiri adalah luar daripada kawalan kita. Ya, walaupun dalam badan kita sendiri. Ini termasuk sistem badan kita yang dinamakan autonomic nervous system. Contohnya denyutan jantung, kadar pencernaan, kadar pernafasan, diameter anak mata dan lain-lain.
Kita tak mampu untuk tiba-tiba nak lajukan denyutan jantung kita secara sengaja. Kerana ini dikawal oleh sistem secara automatik. Kalau mampu cuba anda lakukan.
Apabila berkaitan dengan bab ini, saya sering terfikir, kalau dalam badan sendiri pun ada yang kita tak mampu nak kawal. Soalannya apakah sebenarnya yang mengawal mereka? Saban waktu kita berfikir, akhirnya akurlah kita bahawa semua itu dibawah kawalan Allah, tuhan yang Maha berkuasa atas setiap perkara.
Dan benarlah firmanNya bahawa pengetahuanNya lebih dekat daripada urat leher. Kata hukama' fikir sesaat lebih baik daripada ibadah seribu tahun. Berfikirlah kita untuk meningkatkan iman dan percaya kita, carilah Allah dimana sahaja walau bidang apapun. Nescaya akan gementarlah hati kita tatkala melihat tanda-tanda kebesaranNya. Sub7anallah.
"Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?" Az Dzaariyat ; 21
Dulu saya tak suka untuk ke depan. Saya tak berani untuk bercakap di hadapan khalayak ramai. Saya kurang keyakinan dan rasa gemuruh bila semua orang menumpukan perhatian kepada saya.
Zaman sekolah menengah, saya belajar di sebuah sekolah tahfiz di Kelantan. Dengar saja pelajar tahfiz, orang ramai akan kaitkan dengan imam, ustaz dan sebagainya.
Saya masih ingat kali pertama saya jadi imam surau di kampung. Sewaktu itu saya masih lagi di tingkatan dua. Disebabkan pak cik-pak cik di kampung tahu saya merupakan pelajar tahfiz, maka mereka menolak saya untuk ke depan. Solat maghrib pada waktu itu.
Al kisahnya, saya memilih untuk membaca dari permulaan surah Al-Maidah, saya masih ingat sampai sekarang. Surah yang mana lancar sahaja saya baca di luar solat, sambil buat kerja lain pun insyaAllah takde sangkut-sangkut. Tapi bila berada di hadapan orang, bila menjadi kepala jemaah, saya rasa seolah-olah sekeliling saya gelap. Masuk saja ayat ke dua dah tak tahu ke mana ayat nak sambung. Akhirnya bacaan saya terganggu, tersekat-sekat dan akhir sekali saya terus ruku3. =)
Itu kisah menjadi imam. Juga semasa di tingkatan dua atau tiga (saya lupa), kali pertama saya diminta oleh pak cik-pak cik di surau untuk memberi tazkirah, pengisian antara maghrib dan isya' on the spot. Saya berfikir sejenak. Kebetulan pada waktu itu saya baru sahaja habis mengikuti tamrin yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Perancangannya saya nak petik sahaja isi-isi yang disampaikan oleh seorang ustaz dalam satu slot berkaitan tafsir surah An Naml.
Bila saja saya berada di depan, semua yang dirancang terus hilang. Saya seolah hilang sumber. Kosong dalam kepala. Hasilnya saya pun tak tahu apa yang saya sebut pada malam itu. Yang pastinya saya tak selesa dan selalu terfikir-fikir perkara itu sehingga beberapa hari.
Ada banyak lagi kisah hidup saya berkaitan perkara ini. Antara yang paling besar saya masih ingat, kali pertama diminta menyampaikan khutbah di surau, berada di hadapan sahabat-sahabat sewaktu penutup INPRO sewaktu di INTEC dan menyampaikan nasihat atau berkongsi pengalaman dengan adik-adik MTS dalam Majlis Himpunan Huffaz 2010 anjuran alumni Maahad Tahfiz Sains, (ITQAN).
Rindu nak jumpa kawan-kawan sekolah lama, apa khabar semua? =)
Ubah mindset
Kalau dulu saya selalu mengelak, selalu lari daripada berhadapan dengan situasi ini. Lebih selesa untuk menuding jari ke arah orang lain bila diminta untuk berbuat demikian.
Tapi sekarang saya merasakan ia merupakan satu keperluan bagi setiap individu. kemahiran berucap, bercakap di khalayak ramai. Keyakinan untuk berada di hadapan dan sebagainya. Kerana ia merupakan medan/ruang untuk kita menyampaikan idea dan pendapat kita.
Sebagai seorang muslim kita tidak dapat lari dari tanggungjawab berdakwah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dan kemahiran untuk berkata-kata merupakan satu elemen yang cukup penting untuk melengkapkannya. Ada yang menyatakan aspek ilmu yang paling utama. Memang betul, tapi apa maknanya ilmu kalau kita tak mampu untuk menyampaikan pada orang lain.
Tengok pada minit ke 4.13. Ya Allah, sunggup kata-kata itu mampu membangunkan jiwa.
Berani mencuba
Untuk sampai ke destinasi yang jauh, mahu atau tidak kita akan bermula dengan satu langkah yang kecil. Begitulah aturnya dalam setiap perkara. Kita tidak lahir dengan terus hebat. Seorang wali Allah tidak lahir dengan terus bermunajat di tikar sejadah. Tapi kita bina sedikit demi sedikit.
Di Jordan, saya selalu diminta untuk bercakap, samaada di khalayak ramai ataupun secara peribadi. Setiap kali bercakap, saya pasti akan melakukan kesalahan. Dengan kesalahan ini lah saya mula belajar, mula perbaiki segala kekurangan. Dan saya merasakan diri saya ada peningkatan dari segi kemahiran dalam bidang ini walaupun tak lah mahir sangat pun. Dulu yang agak kaku dan kelu untuk mengeluarkan idea, sekarang saya rasa lebih selesa dan tenang. Dulu menggelatar seluruh tubuh sebelum, semasa dan selepas penyampaian, sekarang saya tak sabar dan tertunggu-tunggu untuk memberi. Semua perlu kepada latihan dan usaha, semua orang mampu untuk itu, insyaAllah.
Jaga hati
Ini yang penting. Kita (baca:saya) perlu selalu ingatkan kepada hati kita atas niat apa kita buat perkara-perkara ini. Setiap amalan bermula dengan niat. Setiap yang dari hati pastinya akan berjaya menyentuh hati yang lain. Saya selalu ingatkan diri yang alpa ini dengan perkara ini.
Menyampaikan biarlah dengan niat yang tulus dan ikhlas. Amanah dengan ilmu yang disampaikan. Kadang-kadang kita terlalu ghairah berbicara, lantang bersuara sehingga diri sendiri lupa untuk melaksanakan apa yang kita ucapkan. Takut nanti lidah kita sendiri melaknat kita di hari Kemudian, Kami berlindung dengan Allah dari perkara tersebut.
Random
Tulisan ini sekadar melontarkan apa yang bermain di hati. Kepada anda yang punya bakat dalam berucap, berpidato, berbahas dan sebagainya, bersyukurlah atas kelebihan yang Allah kurniakan. Tapi ingat setiap perkara akan disoal oleh Allah kelak. Jadi, salurkan kelebihan anda itu kepada jalan yang sebetulnya. Gunalah kelebihan yang ada dalam menyampaikan kalimah-kalimah Islam dalam usaha kebangkitan Islam. Rugilah kita dalam fenomena dunia sekarang semuanya hendak kembali menegakkan Islam tapi kita tidak menggunakan kelebihan yang ada untuk sama-sama tergolong dalam kelompok ini.
Benar Islam tidak tertegak dengan kata-kata. Tapi kata-kata mampu untuk membangunkan jiwa, membina kekuatan dan menyuntik semangat dalam melahirkan rijal. Rijal yang seterusnya berjuang untuk menegakkan Islam, InsyaAllah.
Semoga Allah kurniakan ikhlas dan menjaga hati saya dan kita semua dalam setiap penulisan, pengucapan, perbuatan dan kehidupan seluruhnya, Ameen.
-Hari terakhir di JUST sebelum pulang ke Malaysia-
Hari-hari berlalu tanpa henti,
masa kan berjalan tanpa pernah pulang,
nikmat masa dikecapi apabila terisinya masa,
dengan belajar atau mempelajari.
[Ayat cuba-cuba. Tak tahu sampai ke tak maksudnya]
........................................
Beberapa hari lepas, saya mendapat satu meseg dari seorang kenalan lama. Beliau ingin berkongsi masalah dan meminta pendapat saya tentang penyelesaiannya.
Di awal meseg, beliau menyebut bahawa beliau memerlukan bantuan saya sebagai orang yang tahu sikit-sikit tentang agama dan pernah belajar di sekolah agama.
Seterusnya beliau menceritakan serba sedikit tentang latar belakang masalahnya. Dia bercouple. Tetapi mempunyai masalah dengan pasangannya. Sudah pelbagai cara mereka usahakan tetapi tidak berhasil. Ringkasnya, boleh dikatakan cinta mereka hambar. Masing-masing tak rasa apa-apa bila berhubungan tetapi masih berkeras untuk meneruskan percintaan mereka. Natijahnya, kedua-dua terseksa.
Jadi, antara salah satu usaha kenalan saya ini, beliau cuba bertanya pendapat saya melalui sudut agama. Harapnya hubungan mereka kembali jernih dan berpelangi.
Beberapa hari saya sisihkan meseg tersebut. Bukan sengaja. Memandangkan beberapa hari lepas saya masih lagi dalam musim final exam ditambah lagi beberapa kerja peribadi yang lebih perlu untuk saya utamakan, saya kira saya akan jawab soalan ini kemudian. Disamping itu boleh juga saya ambil masa lebih untuk berfikir.
...............
(Hari ini saya nak berteori ye)
Islam bukan pencetus masalah
Islam diturunkan oleh Allah melalui wahyu-wahyu para nabi. Islam agama syumul yang menyentuh setiap aspek kehidupan. Ianya disebut sebagai suatu cara @ sistem untuk hidup. Umpamanya suatu manual kepada penciptaan manusia.
Manual mengajar kita bagaimana untuk menggunakan produk sebaiknya. Segala maklumat berkaitan produk semuanya disebut dalam manual. Semua kondisi produk, ada cara mengendalikannya.
Jika begini, ini caranya..
Jika begitu, ini caranya..
Jika demikian, ini pula caranya..
Senangnya, semua keadaan akan lancar jika benar-benar mengikut panduan manual.
Bagaimana masalah bermula?
Masalah akan bermula apabila kita mula meninggalkan cara yang ditetapkan oleh Islam dan cuba-cuba mencipta rumusan kita sendiri.
Jika Islam kata begini, kita cuba-cuba buat begitu. Nampak lebih efisien dan mantaplah katakan.
Umpama menggantikan gula dengan garam ketika membuat secawan teh. Gula dan garam yang kelihatan sama jangan dianggap sama. Menggantikan garam dengan gula dalam secawan teh akhirnya merosakkan air teh tersebut.
Begitulah sistem kehidupan, Islam adalah yang paling sempurna. Walaupun ada sistem-sistem ciptaan manusia yang pada perlaksanaannya kelihatan sama atau lebih bagus, ia tetap akan merosakkan seluruh sistem kehidupan ini.
Masalahnya akan bermula dari situ!
Islam : Ambil semua atau tinggalkan semua.
Islam hanyalah satu. Setiap unsur dan elemennya tak boleh dicerai-beraikan. Bagaikan manusia. Dipanggil cacat jika kekurangan anggota badan.
Manusia kini ramai yang kurang meyakini hukum-hukam Islam. Mereka tidak percaya dengan melaksanakan Islam mampu mengaman dan mententeramkan dunia. Mungkin puncanya bercambah dari sikap mereka yang mengambil Islam secara separuh-separuh. Menjalani hidup mengikut gaya yang mereka selesa. Apabila timbul masalah baru mula merujuk kepada Islam.
Contohnya permasalahan di awal pos ini. Mereka memilih untuk bercouple mengikut cara yang tidak disyar'ikan oleh agama. Menjalani kehidupan bercouple dengan sukahati. Apabila masalah menjengah mereka, mulalah mereka mencari Islam untuk menyelesaikannya. Masalah berpunca dari pihak A, pihak B pula diminta untuk menyelesaikannya. Lagi teruk apabila B dipersalahkan jika masalah masih berlanjutan dan A terus dipertahankan.
Begitulah nasib Islam sekarang ini. Masalah sosial timbul oleh perlaksanaan sistem-sistem barat. Berlakunya kes buang bayi. Meningkatnya kes zina. Bunuh diri, rompakan, samun dan sebagainya sering menjadi tajuk utama di dada akhbar. Dan kesudahannya Islam dipersalahkan kerana tak mampu mencegah masalah-masalah ini.
Pendapat saya, ini merupakan suatu ketidakadilan bagi Islam. Dan saya yakin anda pun berfikiran begini. Kan?
Jadi kesimpulannya, jika betul-betul ingin mengikuti cara Islam, ikutlah kesemua sekali. Jangan hanya celup-celup sahaja. Anda sebenarnya sedang membuat fitnah kepada Islam!
"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesunggah ia merupakan musuh yang nyata bagi kamu." Al-Baqoroh
Penutup
Harapnya dapat apa mesej yang ingin saya sampaikan untuk pos kali ini. Dan diharap semoga Allah menjaga hati saya untuk sentiasa ikhlas dalam penulisan ini. Sebarang teguran dan pembetulan pada mana-mana kesilapan amat saya nantikan.
Sekian..
ps : Disarankan untuk baca risalah 'Manhaj Hidup Muslim' kompilasi karangan AsSyahid Syed Qutb dan Imam A'la Al-Maududi. Dalam buku ni membincangkan masalah ni dengan lebih hebat. Boleh search dan download kat internet je.
ps2 : Hari ini saya akan pulang ke Malaysia. Doakan selamat perjalanan pulang dan pergi.