Sunday, July 6, 2014

Diabetis, insulin dan solat

Diabetis merupakan satu penyakit yang common di seluruh dunia. Ia merupakan penyakit kronik yang berkaitan dengan masalah hormon insulin. Peranan hormon insulin ini ialah untuk menukar glukosa dalam darah ke bentuk glikogen untuk disimpan sebagai sumber tenaga.

Diabetis boleh berlaku melalui dua cara utama, samada masalah pankreas yang tidak berjaya menghasilkan sebarang insulin (Diabetis type I) atau masalah pada badan yang tidak mampu bertindak balas pada insulin yang dihasilkan (Diabetis type II).

Melalui dua mekanisma ini, kegagalan insulin untuk menjalankan tugasnya akan menyebabkan tahap glukosa dalam darah akan terus meningkat tanpa ditukar ke dalam bentuk ke duanya iaitu glikogen. Keadaan tingginya glukosa dalam darah ini lama-kelamaan akan memberi kesan buruk kepada badan manusia melalui mekanisma-mekanisma tersendiri. Antara kesannya ialah kerosakan buah pinggan, pembentukan katarak dalam mata, buta mata, kebas pada bahagian tangan & kaki dan banyak lagi.

Melalui penerangan atas, secara ringkasnya dapat kita fahami bahawa :
  • kes Diabetis type I - masalah berpunca kerana ketiadaan insulin itu sendiri.
  • kes Diabetis type II - insulin itu ada tetapi tidak berjaya memberi kesan kerana faktor lain yang menghalangnya.
Salah satu peranan solat : mencegah diri dari perkara keji dan mungkar

"Solat itu tiang agama"

Melalui ayat 45 Surah Al-Ankabuut, Allah menerangkan bahawa salah satu peranan solat dalam kehidupan kita ialah mencegah dari perkara keji dan mungkar. 

....sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya)...

Saya memerhati jauh pada diri sendiri, sebenarnya ada sahaja sebahagian waktu yang saya sangat menjaga solat, tetapi dalam masa yang sama saya masih tidak mampu mencegah diri dari melakukan dosa-dosa kepada Allah (Astaghfirullah). Keadaan ini menyebabkan saya tertanya-tanya di mana peranan solat yang saya kerjakan? Sepatutnya apabila bersolat, solat itu akan mencegah saya dari perkara dosa dan maksiat tersebut.

Kaitan antara diabetis, insulin dan solat
Apabila saya membuka dan membaca kembali nota pelajaran saya berkaitan diabetis ini, saya terfikir untuk mengaitkanya dengan solat.

Insulin mencegah tubuh badan dari berlakunya diabetis sebagaimana solat mencegah diri kita dari melakukan perkara keji dan mungkar. Jadi memang kita tidak nafikan apabila tiada insulin atau solat, maka akan berlakunya masalah (diabetis dan maksiat). Keadaan ini menerangkan mekanisma bagi Diabetis type I.

Menjawab persoalan yang sentiasa bermain dalam fikiran selama ini, (bersolat tetapi masih melakukan maksiat) saya mendapat ilham untuk menyamakannya dengan kes diabetis type II.

kes Diabetis type II - insulin itu ada tetapi tidak berjaya memberi kesan kerana faktor lain yang menghalangnya.
Sama halnya dalam masalah solat tadi. Solat itu ditunaikan tetapi masih berterusan dalam melakukan maksiat. Rupanya bukan solat itu yang tidak menjalankan peranannya, tetapi ada faktor-faktor lain yang menyebabkan badan kita tidak mampu untuk 'bertindakbalas' dengan solat yang didirikan.

Koreksi diri : adakah solat kita itu solat? 
Sebelum berbincang dan mencari apakah faktor-faktor yang menyebabkan solat kita itu tidak berkesan, satu persoalan yang lebih besar terlebih dahulu perlu kita jawab. Adakah solat 5 waktu seharian yang kita dirikan itu adalah betul-betul solat?

Nah, satu benda yang mungkin kita terlepas pandang. Mana mungkin gelas yang pecah untuk menampung air, mana mampu pembaris yang bengkok hendak mengukur panjang. Maka begitulah juga perumpamaannya solat yang serba cacat dan cela. Mana mampu untuk membantu kita mencegah diri dari kemaksiatan kepada Allah SWT. 

Maka terjawab lah separuh persoalan saya di atas. Ya, solat itu ada tetapi tidak sempurna dan serba kekurangan.

Diruangan ini suka juga untuk saya pautkan tulisan lama saya yang juga berkisar tentang solat : Perihal solat, dua tanah haram dan doa.

Penutup
Semoga kita diberikan kekuatan untuk terus menjaga solat kita, tiang agama ini sehingga ke akhir nyawa dengan penuh kekhusyukan dan keihklasan. Selamat menjalani tarbiyyah Madrasah Ramadhan kepada anda semua. Semoga sijil taqwa sama-sama kita peroleh di hujungnya nanti. Ameen.

Thursday, May 22, 2014

Obsess


Dalam bidang psikiatrik, ada satu penyakit dinamakan dengan obsessive compulsive disorder (OCD).

Contoh simptom untuk penyakit ini apabila seorang yang terlalu banyak fikir (obsession) tentang hygiene tangannya mengakibatkan tindakan susulan (compulsion) dengan menghabiskan masa yg begitu lama dan kerap untuk membasuh tangan. Akhirnya menyebabkan gangguan kepada kerja dan kehidupan sehariannya yang lain.

Ya, OCD ini bermula dengan was-was, banyak berfikir. Ada juga yg sebaliknya, bermula dengan perbuatan dulu (compulsion) kemudian datang fikiran (obsession triggered by compulsion) terhadap benda itu. 

Bila saya baca dan faham tentang penyakit ini saya mula terfikir, sebenarnya perbuatan dan hati ini memang sangat berkait rapat. Apa yang kita selalu fikir akan dizahirkan dalam bentuk perbuatan atau sebaliknya, apa yang kita paksakan diri kita untuk terus buat, lama-lama akan melahirkan rasa cinta.

Maka dua cara ini kita boleh untuk manfaatkan dalam kehidupan seharian kita. 

Sebagai contoh dalam usaha kita untuk mencintai Baginda Rasulullah SAW. Kita boleh pilih mana-mana dua cara di atas. Samada untuk bermula dengan fikiran (obsession) ataupun perbuatan (compulsion). 

Bermula dengan obsession iaitu kita banyak mengenali dan membaca sirah kehidupan Baginda sehingga terbit rasa cinta seterusnya menatijahkan perbuatan (compulsion) mengikuti sunnah Baginda.

Atau, 

bermula dengan compulsion iaitu kita memaksa diri mengikut sunnah-sunnah Baginda sehingga kita melihat kecantikan sunnah-sunnah tersebut. Akhirnya terbitlah rasa kagum dan cinta (obsession) kepada Baginda.

Sama juga dalam usaha kita untuk mencintai Al-Quran, Qiamullail, Ramadhan dan sebagainya.

Semoga Allah hidayahkan hati kita untuk sentiasa jatuh cinta pada kebaikan serta beramal dengannya penuh keikhlasan. 

Road to Ramadhan, 38 hari berbaki.

~اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين~

Thursday, May 1, 2014

Nikmat : Syukur dan Kufur

Dalam ilmu perubatan (mungkin ada juga dalam bidang lain kot), ada dua istilah yang sering diulang-ulang :

1. Positive feedback. 
Satu contoh yang saya ingin bawa ialah apabila berlakunya proses menyusu (suckling) antara ibu dan bayi, ianya akan merangsang sistem saraf si ibu. Kemudian hypothalamus di dalam otak akan bertindakbalas mengarahkan pituitary gland untuk merembeskan lebih banyak hormon prolactin. Kesannya, si ibu itu akan menghasilkan lebih banyak susu untuk keperluan bayi tersebut.

Maksudnya, semakin banyak bayi itu menyusu, semakin banyak rangsangan yang diterima si ibu utk menghasilkan lebih kuantiti susu.

2. Negative feedback. 
Contohnya dalam sistem baroreflex badan kita. Apabila tekanan darah kita meningkat (bahaya untuk diri), ianya akan merangsang baroreflex receptor. Seterusnya signal akan dihantar kepada jantung untuk mengurangkan kadar degupan jantung seterusnya menurunkan kembali tekanan darah yang tinggi tadi ke tahap yang normal (selamat).

___________________________

Saya cuba untuk kaitkan dua konsep ini dalam kehidupan kita berkaitan nikmat, syukur dan kufur.

Hubungan antara syukur dan nikmat ini konsepnya seperti positive feedback tadi. Apabila kita didatangkan dengan sebarang nikmat oleh Allah SWT kemudian kita bersyukur. Maka dengan syukur itu akan merangsang nikmat itu supaya diteruskan lagi dengan nikmat lain yang berganda-ganda. 

Semakin bertambah syukur, semakin banyak nikmat Allah akan kurniakan kepada kita sebagaimana yang diterangkan dalam Surah Ibrahim : 

"Sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan lagi nikmatKu kepadamu.."

Keadaan yang sebaliknya akan berlaku sekiranya kita dikurniakan nikmat dan kita kufur dengan nikmat itu, maka kemungkinan Allah akan menariknya kembali. Kerana tiada lagi faedah nikmat melainkan menambahkan bahaya (kufur) kepada diri. Jadi konsep negative feedback digunapakai dengan menarik kembali nikmat yang pernah kita miliki supaya kita kembali pulang kepada keadaan yang selamat (ingat bahawa semua nikmat itu adalah dari Allah dan sentiasa bersyukur dengan pemberianNya).

Jadi, setiap kali kita diberi nikmat, maka banyakkanlah bersyukur. Pohon kepada Allah supaya kita dikurniakan hati yang tidak mudah lupa jasa & sentiasa bersyukur.

Apabila diuji dengan kurangnya sesuatu, maka bisikkan pada hati sebenarnya Allah ingin menarik kita kembali kepadaNya. Mungkin kita terlupa akan hakikat ini. Allah mahu mengajar kita bahawa untuk mendapat segala apapun kita perlu meminta kepadaNya. Pada waktu itu maka sedarlah kita bahawa tiada daya dan kuasa melainkan dari Allah SWT.

Alhamdulilah 'ala kulli haal. :)


Housemates since 2009 :)

Tuesday, March 25, 2014

Masalah-Masalah Dalam Menghafaz Dan Mengekalkan Hafazan al-Quran



Setelah bergelar seorang hafiz, adalah menjadi tanggungjawab kepada seseorang itu untuk memelihara hafazannya supaya tidak hilang atau lupa. Melupakan hafazan al-Quran setelah menghafaznya adalah suatu dosa di sisi Allah S.W.T. Amaran keras ini telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dalam sebuah
hadisnya:

Terjemahannya:

"Sesiapa yang menghafaz al-Quran kemudian dia lupa nescaya dia akan berjumpa Allah di hari kiamat dalam keadaan berpenyakit juzam (kusta) dengan terpotong-potong tangannya." (Hadith riwayat abu Dawud dan Tirmidhi)

Memandangkan gangguan dan kesukaran untuk mengekalkan hafazan al -Qurannya, seseorang itu mestilah mengetahuifaktor-faktor yang menyebabkan hilang hafazan dalam ingatannya. Ini memastikan hafazan keseluruhan al-Quran kekal dalam ingatan dan menghindari kemurkaan dari Allah S.W.T.

Masalah Dalaman (Internal) Seorang Hafiz Al-Quran

Masalah dalaman (internal) adalah masalah yang wujud dari dalam diri seorang hafiz al-Quran. Semasa menjalani kehidupan hariannya, godaan dunia di samping bisikan syaitan, boleh menyebabkan seseorang hafiz itu lupa diri bahawa dia adalah seorang penghafaz al-Quran. Oleh itu, seorang hafiz perlu mengetahui masalah-masalah berikut dan menjaga dirinya untuk mengelak daripada lupa hafazan al-Quran. Antaranya:

a. Cintakan dunia dan terlalu sibuk dengannya
Orang yang sibuk dengan perkara keduniaan, tidak akan dapat melapangkan masa untuk mengulangkaji hafazan. Kegagalan mengulang-ulang bacaan menyebabkan hafazan akan hilang sedikit demi sedikit dari ingatan. Oleh itu, dalam mengejar keperluan hidup, seorang hafiz perlulah melapangkan sejumlah masa setiap hari untuk mengulang bacaan. Firman Allah S.W.T.:

Terjemahannya:

"Sekali-kali jangan begitu, bahkan kalian terlalu mencintai dunia dan meninggalkan akhirat."(al-Qiyamah:20-21)

b. Tidak merasai kenikmatan al-Quran
Menjadi seorang hafiz adalah anugerah daripada Allah S.W.T dan sesiapa yang membaca al-Quran akan diberi kenikmatan daripadanya. Sebagaimana para sahabat di zaman Rasullulah S.A.W. seperti 'Uthman bin 'Affan, yang khatam pembacaan al-Quran pada setiap hari. Begitu juga sahabat-sahabat yang lain seperti Ubai bin Ka'ab, Zaid bin Thabit dan lain-lainnya di mana setengah daripada mereka khatam pembacaan al-Quran tiga hari sekali, seminggu sekali dan sekurang-kurangnya sebulan sekali. Kegairahan sahabat dalam mengulang-ulang untuk mengkhatam al-Quran kerana mereka telah mendapat kenikmatan dalam pembacaannya. 

Amalan-amalan seperti ini tidak mungkin dilakukan oleh seseorang yang tidak merasai kemanisan membaca al-Quran. Banyak atau sedikitnya kenikmatan membaca al-Quran bergantung kepada kualiti iman dan ketaqwaan pembacanya kepada Alah S.W.T. Allah S.W.T. menjelaskan bahawa orang yang rajin membaca al-Quran adalah mereka yang suka bersembahyang malam, beriman kepada Allah S.W.T. dan hari akhirat, menyuruh yang maaruf dan mencegah yang mungkar serta bersegera dalam melakukan amal-amal yang soleh. FirmanNya:

Terjemahannya:

"Mereka itu tidak sama, di antara ahli kitab itu ada yang berlaku lurus, mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa malam hari, sedang mereka dalam bersujud (solat). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera dalam melaksanakan amal-amal yang baik, mereka itu termasuk dalamgolongan orang-orang yang salih." (al-'Imran:113-114)

c. Hati yang kotor dan banyak melakukan maksiat
Hafazan al-Quran akan dapat menerang hidup penghafaznya jika dilandasi oleh hati yang bersih dari kotoran syirik, takabur dan pelbagai kemaksiatan. Oleh itu menghafaz al-Quran tidak mungkin dilakukan oleh orang yang berhati kotor kerana kitab ini adalah suci yang diturunkan oleh Allah S.W.T. yang maha suci, dibawa oleh malaikat yang suci, diberikan kepada Rasullulah S.A.W. yang suci dan diturunkan ke tanah yang suci.
Kekotoran hati ini mengikut perlakuan maksiat yang dilakukan oleh seseorang. Apabila hati sudah kotor maka hafazan terhadap al-Quran akan berkurangan sehinggalah ke peringkat hati yang hitam gelap yang akan menjauhkan seseorang seseorang dari kecintaan dan melupakan al-Quran.

d. Tidak sabar, malas dan mudah berputus asa
Menghafaz dan mengulang-ulang hafazan al-Quran memerlukan kegigihan dan kesabaran yang terus menerus. Ini adalah ciri-ciri al-Quran itu sendiri yang mengajak kita untuk menjadi manusia yang aktif dalam hidup di dunia. Begitu juga semasa al-Quran diwahyukan kepada baginda Rasullulah S.A.W. yang memerlukan titisan peluh untuk menerimanya, bahkan seorang sahabat pernah merasakan beratnya peha Rasullulah S.A.W. ketika pehanya menjadi sandaran kepada peha Rasullulah S.A.W. ketika baginda menerima wahyu. Oleh itu, kesabaran, ketekunan dan tidak mudah berputus asa menjadi sifat kepada seorang yang ingin menghafaz al-Quran. Untuk menghilangkan sifat tidak sabar, malas dan putus asa, perlulah menghindari perkara-perkara berikut:

Lupa atau sudah tidak berminat lagi terhadap tujuan dan kelebihankelebihan menghafaz al-Quran.
Tidak bersedia untuk bekerja keras bagi menghafaz dan mengulang-ulang hafazan.
Lemahnya bertaqarub kepada Allah S.W.T. yang menyebabkan lemahnya ruhiyah dalam diri.
Terpengaruh dengan suasana keluarga, sekolah dan masyarakat yang belum memahami kepentingan pendidikan hafazan al-Quran.

Oleh itu, sebelum seseorang mula menghafaz al-Quran, hendaklah meyakini mengenai tujuan dan kelebihan menjadi seorang hafiz. Lebih-lebih lagi bagi seorang dai'e, tentunya memahami pentingnya menghafaz al-Quran. Apabila sudah memahami tujuan dan kelebihan menghafaz al-Quran, barulah seseorang itu sedia melapangkan masanya untuk menghafaz dan mengulangulang ayat-ayat al-Quran. Sebarang halangan dan kesusahan yang dialaminya semasa pembelajaran akan dihadapi dengan tabah dan sabar kerana mengharapkan ganjaran daripada Allah S.W.T.

e. Niat yang tidak ikhlas
Niat yang tidak ikhlas dalam menghafaz al-Quran bukan sahaja menghalang kejayaan seeorang menghafaz al-Quran di samping itu juga mendapat kutukan daripada Allah S.W.T. di hari akhirat. Keikhlasan dalam menghafaz al-Quran hendaklah dipertahankan secara terus menerus. Ia menjadi motivasi yang kuat untuk mencapai kejayaan menjadi seorang hafiz dengan selalu mengingatkan janji-janji Rasullulah S.A.W. berupa pahala yang sangat banyak. 

Di samping itu, adalah perlu daripada peringkat awal lagi, menjadi seorang hafiz tidak menjanjikan peluang keduniaan yang luas, seperti mana mempelajari bidang-bidang yang lain. Di sinilah peranan keikhlasan kepada Allah S.W.T. yang akan menjadi kekuatan dalam diri seorang penghafaz al-Quran bagi mempertahankan niat suci itu.


Masalah Luaran (External) Seorang Hafiz Al-Quran

Masalah luaran ini tidaklah seberat masalah dalaman. Ini kerana banyak orang-orang kafir atau orentalis yang tidak beriman pun mampu untuk menghafaz keseluruhan al-Quran. Tunggak kejayaan adalah datangnya dari keinginan yang kuat dari diri seseorang itu. Namun jika berjaya melepas masalah dalam, masalah luaran akan mampu diatasi. Antara masalah-masalah luaran adalah:

a. Tidak mampu membaca dengan baik
Penghafaz yang tidak mampu membaca al-Quran dengan baik akan menghadapi dua masalah iaitu masalah membaca dan masalah menghafaz. Masalah ini akan lebih ketara apabila ayat yang dihafaz semakin banyak menyebabkan penghafazan terhenti separuh jalan. Terdapat juga mereka yang melakukan kedua-dua perkara ini sekaligus dapat menamatkan penghafazan mereka. Jika penghafaz tidak mampu melakukan dua perkara sekaligus, adalah baik ia melancarkan bacaan al-Quran terlebih dahulu barulah menghafaznya.

b. Tidak mampu mengurus masa
Penghafaz yang tidak mampu untuk mengurus masa mereka akan merasa kesuntukan masa untuk menghafaz di samping melakukan kerja-kerja yang lain. Untuk ini, seorang penghafaz perlu mendisiplinkan diri melapangkan sebahagian masa untuk menghafaz. Sebaiknya jadikanlah menghafaz sebagai tugas utama serta menjadikan kenikmatan membaca dan menghafaz ayat-ayat al-Quran mengurangkan masa untuk melakukan tugas-tugas yang lain.

c. Sukar membezakan ayat-ayat Mutasyabih
Al-Quran adalah merupakan mukjizat dari Allah S.W.T, mempunyai ayat-ayat yang sama dari segi makna dan lafaznya.

"Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain, yang berulang-ulang (keterangannya berbagai cara),(oleh kerana mendengarnya atau membacanya) yangmenyebabkan badan orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram…" (al-Zumar:23)

Ayat-ayat Mutasyabih bermaksud ayat yang mempunyai persamaan seluruh atau separuhnya di antara satu sama lain. Ayat ini kadangkala adalah sama seratus peratus dan pada tempat yang lain ia berbeza hanya pada satu huruf sahaja (Muhsin, 1994: 62). Seseorang penghafaz tidak boleh dikatakan mahir dengan hafazannya selagi belum menguasai ayat Mutasyabih ini.



Dipetik dari: KEBERKESANAN KAEDAH HAFAZAN DI PUSAT TAHFIZ

PENYELIDIK-PENYELIDIK:
USTAZ ABDUL HAFIZ BIN HAJI ABDULLAH
PROF. MADYA AJMAIN BIN SAFAR
USTAZ MOHD ISMAIL BIN MUSTARI
USTAZ AZHAR BIN MUHAMMAD
USTAZ IDRIS BIN ISMAIL
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
2003

Friday, March 21, 2014

Murajaah Al-Quran

Dalam bidang Tahfiz, murajaah merupakan jantung kepada ingatan kita. Seorang yang menghafaz Al-Quran tetapi tidak melakukan murajaah secara konsisten dan tersusun, lama-kelamaan ingatannya akan berkurang.

Hujung minggu lepas saya sempat berkongsi dengan ahli-ahli baru Akademi Tahfiz Az-Zikr Jordan tentang proses dan keperluan (atau di akademi ni kami namakan sebagai rukun hamalatul Quran) seharian sebagai seorang yang menghafaz Al-Quran.


Ianya terdiri daripada lima perkara iaitu : Tilawah, Hafaz, Tasmi, Hifzul jadid dan murajaah.


Murajaah / iadah / mengulang hafazan Al-Quran
Di sini saya hanya ingin menulis berkaitan dengan proses murajaah sahaja daripada kelima-lima rukun yang kami susun seperti di atas.

Murajaah, iadah dan mengulang, semua ini merujuk kepada proses di mana seseorang itu pulang kembali (رجع) kepada hafazan Al-Quran lama beliau. Ini adalah demi memastikan bahawa apa yang dihafaz oleh beliau sentiasa ada dan tidak hilang.


Kepentingan murajaah dan beberapa analogi
Satu analogi yang saya dengar dari seorang guru saya yang mulia, Ustaz Syukri Ali :
"Menghafaz Al-Quran ini ibarat kita cuba memotong rumput di satu padang yang luas. Memotong rumput di hadapan itu adalah proses menghafaz mukasurat yang baru. Dalam masa yang sama kita tak boleh lupa untuk menoleh ke belakang dan pastikan bahawa rumput yang telah kita potong itu tidak kembali tumbuh panjang, itulah proses murajaah".
Analogi lainnya yang saya bawa semasa pembentangan tempoh hari :

1. Seorang yang berpendapatan hanya RM 2000 sebulan tidak akan mampu menggunakan sebuah Ferrari walaupun beliau mendapat ferrari tersebut secara percuma. Ini kerana Ferrari itu mahal dan semestinya 'kos-maintainence'nya juga tinggi yang tidak mampu ditampung oleh pendapatan beliau.

2. Seorang yang tinggal di kawasan pendalaman yg tidak mempunyai sumber bekalan elektrik gembira setelah berjaya membeli I-phone idamannya di bandar. Dia tidak sedar sebenarnya I-phone itu tidak sedikit pun berguna untuknya bila dia pulang ke rumah nanti.

Pengajarannya : 
Sebagaimana memiliki ferrari dengan pendapatan yang rendah,

sebagaimana mempunyai I-phone tetapi tinggal di kawasan tanpa elektrik dan coverage,

seorang yang menghafaz Al-Quran sebenarnya dia tidak mempunyai apa-apa sekiranya dia tidak mampu untuk meluangkan masa sehariannya untuk murajaah / mengulang Al-Quran.

Ingat para penghafaz Al-Quran, anda sudah mempunyai 'sesuatu' yang sangat mahal iaitu ingat Al-Quran. Dan semestinya kos-maintainence untuk 'sesuatu' yang mahal ini juga turut tinggi dan bernilai.

PINTAZ 2014

Galakan untuk rajin dan istiqamah dalam murajaah Al-Quran
Berdasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya,

"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah swt maka untuknya diberi satu hasanah sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (alif,lam,mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.” -Riwayat Tirmizi

Maka saya sering mengingatkan diri saya sendiri bahawa beruntungnya seorang yang menghafaz Al-Quran. Allah telah menyediakan medan untuk kita mengumpul sebanyak-banyak pahala hanya daripada rutin murajaah harian kita. Dengan hanya berpegang kepada hadis ini dengan sepenuh yakin, sudah cukup untuk seorang penghafaz Al-Quran untuk tidak mengambil ringan dan sambil lewa akan murajaahnya.

Penutup
Sahabat-sahabiah sekalian, luangkan masa untuk murajaah dalam setiap hari kita walaupun sesibuk mana pun kerja yang kita hadapi. Usahalah dengan bersungguh-sungguh untuk kita jatuh cinta kepada Al-Quran. Semoga dengan kesungguhan kita itu, Al-Quran itu sendiri akan membalas cinta kita dengan datang pada hari kiamat seterusnya memberi syafaat kepada kita. Semoga kita semua tergolong dalam golongan itu, ameen.

Sunday, March 16, 2014

PINTAZ 2014

14 & 15 Mac 2014 : Hujung minggu yang penuh makna.

Rasa puas bila mampu bersama dan berkumpul dengan kelompok manusia yang mempunyai minat dan matlamat yang sama. Saling berkongsi, bercerita dan bertukar-tukar pengalaman.


  • Slot 1 : Al-Quran dan kehiupan : antara galakan dan cabaran.
  • Slot 2 : Pengenalan Ulumul Quran dan perbahasannya.
  • Slot 3 : Fokus permasalah fiqh Hamalatul Quran
  • Slot 4 : Kaedah menghafaz Al-Quran dan menjagaNya.
  • Slot 5 : Al-Quran dan kebesaranNya
  • Sesi forum : Al-Quran dalam realiti kehidupan.


Terima kasih kepada semua yang menjayakan Program Intelek Huffaz 2014.

Sedikit gambar untuk kita kenang,












Friday, February 21, 2014

Random acts of kindness

Membelek-belek apps ipad, masuk ke youtube dan saya tertangkap pada video ini :





Cuba kaitkan video ini dengan beberapa ayat Al-Quran :


"Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?"
-Ar-Rahmaan ; 60



"...dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".
-Al-Qosos ; 77



Buat baik kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepada kita? Bagaimana ya untuk nak samakan baik kita dengan baik Allah?

Dan teringat juga satu kata-kata Hasan Al-Banna yang sangat masyhur :

Jadikan kamu dengan manusia ini umpama pokok, 
mereka membaling kamu dengan batu, 
Tetapi kamu membalas mereka dengan buah.

Keburukan yang diterima kita balasi mereka dengan kebaikan, mampukah kita? 

Friday, January 17, 2014

Hafaz Quran : Manifestasi Cinta

Setiap insan dilahirkan dengan fitrah. Antara fitrah seorang insan adalah suka kepada kebaikan dan kesempurnaan. Tanyalah pada mana-mana individu walaupun sejahat mana pun dia, pastinya tetap memilih yang baik dan sempurna. Seorang perompak, walaupun kerjanya hanya merompak tetap bercita-cita untuk masuk Syurga (kebaikan yang abadi) dan menolak neraka. Begitu juga halnya mana-mana jenis manusia, tetap akan mahukan yang terbaik.

Analogi 
Setelah berjaya mengumpul sejumlah wang, hari ini anda bertekad untuk ke kedai elektronik untuk membeli sebuah telefon bimbit pintar yang telah lama anda idamkan.

Tibanya di kedai, penjual itu mengeluarkan beberapa model untuk dibanding dan dipilih oleh anda. Hampir 7 ke 8 model semuanya dikeluarkan. Semuanya menepati ciri - ciri yang dikehendaki oleh anda. Cuma setiap satu ada sahaja kelebihan dan kekurangan tersendiri. Kemungkinan dari segi RAMnya, memorinya, MPixel kameranya, wifi, brand dan sebagainya. Yang pasti, semua telefon bimbit tersebut cukup asasnya : boleh membuat panggilan dan menghantar mesej ringkas (SMS).

Akhirnya, anda memilih satu model untuk dibeli dan menolak yang lain setelah dibandingkan kesemuanya. Sudah tentu ada ciri-ciri tertentu yang anda pandang 'special' menyebabkan anda memilihnya tanpa menafikan ada juga kekurangan-kekurangan lain.

Jadilah yang terpilih di mata Allah 
Begitulah juga halnya seorang hamba di mata Allah.

Saya sering terfikir dalam jutaan lautan hamba-hambaNya, mahukah Allah memandang kita andai kita hanya melunaskan tanggungjawabnya yang wajib dan common sahaja tanpa ada sesuatu yang special untuk dilihat oleh Allah?

Jika seorang yang syahid berperang di jalan Allah, di akhirat nanti dia boleh datang kepada Allah dan menunjukkan bajunya yang koyak rabak berlumuran darah sebagai bukti dia berusaha untuk meraih cinta dan menjadi special di mata Allah.

Jika seorang yang sentiasa bangun bertahajjud kepada Allah di awal pagi, dia boleh membuktikan bahawa susah payahnya untuk meninggalkan tempat tidur sedangkan orang lain masih enak dibuai lena sebagai bukti dia cinta dan layak untuk menjadi special di mata Allah SWT.

Jika seorang yang sentiasa berpuasa pula boleh menunjukkan bahawa lapar dahaga yang dia tahan bukanlah sia-sia melainkan untuk special dan mendapat cinta Allah SWT.

Hafaz Quran : manifestasi cinta 
Maka dengan kesedaran ini, saya sentiasa mengingatkan diri untuk sentiasa bersemangat dan berjuhud dalam bidang yang telah Allah lorongkan saya ini : tahfiz Al-Quran.

Memang susah, perlukan masa yang lama, setiap hari kena mengulang menghafaz, kemudian ulang. Tetapi ingatlah boleh jadi dengan kesungguhan kita ini, sebenarnya Allah telah memilih kita untuk menjadi special di mataNya. Jalan ini jugalah yang boleh mendekatkan kita kepada cinta Allah SWT. Mana taknya, setiap hari, setiap masa, setiap detik hanya kalamNya yang ditutur oleh bibir kita.

Betulkan niat dalam apa sahaja benda yang kita lakukan kerana tanpa niat amalan kita akan menjadi seperti debu yang berterbangan, sia-sia. Semoga Allah mengurniakan ikhlas dan istiqamah dalam setiap amalan seharian kita.


"Sebaik-baik di kalangan kamu ialah mereka yg mempelajari AlQuran dan mengajarnya kepada orang lain"

Flag counter

free counters