Tuesday, April 12, 2011

The power of words

Assalamualaikum warahmatullah wabarakaatuh..

Dulu saya tak suka untuk ke depan. Saya tak berani untuk bercakap di hadapan khalayak ramai. Saya kurang keyakinan dan rasa gemuruh bila semua orang menumpukan perhatian kepada saya.

Zaman sekolah menengah, saya belajar di sebuah sekolah tahfiz di Kelantan. Dengar saja pelajar tahfiz, orang ramai akan kaitkan dengan imam, ustaz dan sebagainya. 

Saya masih ingat kali pertama saya jadi imam surau di kampung. Sewaktu itu saya masih lagi di tingkatan dua. Disebabkan pak cik-pak cik di kampung tahu saya merupakan pelajar tahfiz, maka mereka menolak saya untuk ke depan. Solat maghrib pada waktu itu.

Al kisahnya, saya memilih untuk membaca dari permulaan surah Al-Maidah, saya masih ingat sampai sekarang. Surah yang mana lancar sahaja saya baca di luar solat, sambil buat kerja lain pun insyaAllah takde sangkut-sangkut. Tapi bila berada di hadapan orang, bila menjadi kepala jemaah, saya rasa seolah-olah sekeliling saya gelap. Masuk saja ayat ke dua dah tak tahu ke mana ayat nak sambung. Akhirnya bacaan saya terganggu, tersekat-sekat dan akhir sekali saya terus ruku3. =)

Itu kisah menjadi imam. Juga semasa di tingkatan dua atau tiga (saya lupa), kali pertama saya diminta oleh pak cik-pak cik di surau untuk memberi tazkirah, pengisian antara maghrib dan isya' on the spot. Saya berfikir sejenak. Kebetulan pada waktu itu saya baru sahaja habis mengikuti tamrin yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Perancangannya saya nak petik sahaja isi-isi yang disampaikan oleh seorang ustaz dalam satu slot berkaitan tafsir surah An Naml.

Bila saja saya berada di depan, semua yang dirancang terus hilang. Saya seolah hilang sumber. Kosong dalam kepala. Hasilnya saya pun tak tahu apa yang saya sebut pada malam itu. Yang pastinya saya tak selesa dan selalu terfikir-fikir perkara itu sehingga beberapa hari.

Ada banyak lagi kisah hidup saya berkaitan perkara ini. Antara yang paling besar saya masih ingat, kali pertama diminta menyampaikan khutbah di surau, berada di hadapan sahabat-sahabat sewaktu penutup INPRO sewaktu di INTEC dan menyampaikan nasihat atau berkongsi pengalaman dengan adik-adik MTS dalam Majlis Himpunan Huffaz 2010 anjuran alumni Maahad Tahfiz Sains, (ITQAN).

Rindu nak jumpa kawan-kawan sekolah lama, apa khabar semua? =)

Ubah mindset
Kalau dulu saya selalu mengelak, selalu lari daripada berhadapan dengan situasi ini. Lebih selesa untuk menuding jari ke arah orang lain bila diminta untuk berbuat demikian.

Tapi sekarang saya merasakan ia merupakan satu keperluan bagi setiap individu. kemahiran berucap, bercakap di khalayak ramai. Keyakinan untuk berada di hadapan dan sebagainya. Kerana ia merupakan medan/ruang untuk kita menyampaikan idea dan pendapat kita.

Sebagai seorang muslim kita tidak dapat lari dari tanggungjawab berdakwah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dan kemahiran untuk berkata-kata merupakan satu elemen yang cukup penting untuk melengkapkannya. Ada yang menyatakan aspek ilmu yang paling utama. Memang betul, tapi apa maknanya ilmu kalau kita tak mampu untuk menyampaikan pada orang lain.


Tengok pada minit ke 4.13. Ya Allah, sunggup kata-kata itu mampu membangunkan jiwa.

Berani mencuba
Untuk sampai ke destinasi yang jauh, mahu atau tidak kita akan bermula dengan satu langkah yang kecil. Begitulah aturnya dalam setiap perkara. Kita tidak lahir dengan terus hebat. Seorang wali Allah tidak lahir dengan terus bermunajat di tikar sejadah. Tapi kita bina sedikit demi sedikit.

Di Jordan, saya selalu diminta untuk bercakap, samaada di khalayak ramai ataupun secara peribadi. Setiap kali bercakap, saya pasti akan melakukan kesalahan. Dengan kesalahan ini lah saya mula belajar, mula perbaiki segala kekurangan. Dan saya merasakan diri saya ada peningkatan dari segi kemahiran dalam bidang ini walaupun tak lah mahir sangat pun. Dulu yang agak kaku dan kelu untuk mengeluarkan idea, sekarang saya rasa lebih selesa dan tenang. Dulu menggelatar seluruh tubuh sebelum, semasa dan selepas penyampaian, sekarang saya tak sabar dan tertunggu-tunggu untuk memberi. Semua perlu kepada latihan dan usaha, semua orang mampu untuk itu, insyaAllah.

Jaga hati
Ini yang penting. Kita (baca:saya) perlu selalu ingatkan kepada hati kita atas niat apa kita buat perkara-perkara ini. Setiap amalan bermula dengan niat. Setiap yang dari hati pastinya akan berjaya menyentuh hati yang lain. Saya selalu ingatkan diri yang alpa ini dengan perkara ini.

Menyampaikan biarlah dengan niat yang tulus dan ikhlas. Amanah dengan ilmu yang disampaikan. Kadang-kadang kita terlalu ghairah berbicara, lantang bersuara sehingga diri sendiri lupa untuk melaksanakan apa yang kita ucapkan. Takut nanti lidah kita sendiri melaknat kita di hari Kemudian, Kami berlindung dengan Allah dari perkara tersebut.

Random
Tulisan ini sekadar melontarkan apa yang bermain di hati. Kepada anda yang punya bakat dalam berucap, berpidato, berbahas dan sebagainya, bersyukurlah atas kelebihan yang Allah kurniakan. Tapi ingat setiap perkara akan disoal oleh Allah kelak. Jadi, salurkan kelebihan anda itu kepada jalan yang sebetulnya. Gunalah kelebihan yang ada dalam menyampaikan kalimah-kalimah Islam dalam usaha kebangkitan Islam. Rugilah kita dalam fenomena dunia sekarang semuanya hendak kembali menegakkan Islam tapi kita tidak menggunakan kelebihan yang ada untuk sama-sama tergolong dalam kelompok ini.

Benar Islam tidak tertegak dengan kata-kata. Tapi kata-kata mampu untuk membangunkan jiwa, membina kekuatan dan menyuntik semangat dalam melahirkan rijal. Rijal yang seterusnya berjuang untuk menegakkan Islam, InsyaAllah. 

Semoga Allah kurniakan ikhlas dan menjaga hati saya dan kita semua dalam setiap penulisan, pengucapan, perbuatan  dan kehidupan seluruhnya, Ameen.

The power of words. 
(jumpa video ni sebab kawan share kat FB, tq)

Wallahua3lam..

Wednesday, April 6, 2011

Kalaulah aku bla..bla...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...

Alhamdulillah atas segala nikmat yang Allah kurniakan. Alhamdulillah atas senyuman yang Allah berikan untuk saya. Alhamdulillah ya Allah atas segalanya.. :)

Lama benar saya tak betul-betul menulis. Kalau update blog yang sebelum ni pun sekadar upload gambar, post lirik lagu dan sebagainya. Alhamdulillah hari ini Allah bagi lagi masa, idea dan ruang untuk saya menulis.

Kisah 
Andai kata anda merupakan seorang pelajar perubatan tahun 2 di sebuah universiti di luar Malaysia. Sudah setahun lebih anda tidak pulang ke tanah air. Dan Alhamdulillah pada tahun ini akan pulang ke Malaysia untuk melepaskan rindu berjumpa keluarga tercinta.

Sebulan lebih sebelum pulang anda telah berbincang dan bersepakat dengan kawan untuk mencari tiket. Semestinya yang murah dan selesa jadi pilihan. Setelah beberapa pakej penerbangan yang ada, anda bersama rakan-rakan telah bersetuju untuk membeli penerbangan tempatan. Senyum , tarikh penerbangan telah pun ditetapkan. Hanya menunggu masa..

Dua minggu sebelum penerbangan..
Anda dan kawan-kawan dah mula fikir, cari barang apa yang nak dibawa pulang untuk keluarga, sahabat-sahabat di kampung halaman. Soal harga dan nilai sudah anda tidak endahkan. Janji dapat bawa cenderahati terbaik untuk mereka.

Sehari sebelum penerbangan..
Hati bukan main girang lagi. Wajah-wajah mereka, suasana kampung, apa yang akan anda akan lakukan, tempat pertama yang anda akan lawat.... Macam-macam bermain dalam fikiran anda. Senang kata, hati sudah sampai sebelum jasad tubuh sampai.

Untuk perancangan esok, anda telah menugaskan seorang kawan sebilik anda untuk menyewa sebuah van untuk menghantar anda dan kawan-kawan ke lapangan terbang. Perjalanan ke sana mengambil masa kurang lebih satu jam.

Hari penerbangan..
Semua barang sudah dikemaskan. Anda memeriksa tarikh dan masa penerbangan di tiket sekali lagi untuk mendapat kepastian.

5 Februari 2011, jam 2230. Pesawat 13A.

Anda tersenyum. Masa masih berbaki 4 jam sebelum penerbangan. Agak sesuai agaknya nak bertolak ke lapangan terbang sekarang. Kalau lewat sangat nanti tergesa-gesa, macam-macam boleh berlaku.

Tiba-tiba rakan sebilik anda meluru laju ke arah anda.

"Alamak! Aku lupa nak sewa van lah. Penat main bola, aku tidur awal semalam..."

Darah anda mengalir laju, ingin saja dilempang tepat pipi rakan anda. Sabar.

"Hah! Apa tunggu lagi, cepatlah call pak cik mana-mana yang kau tahu. Suruh dia hantar van ke sini dengan segera. Boleh lagi kau bergurau dengan benda-benda macam ni ye!", anda menengking kawan anda, geram.

"Ok.. ok..".

Beberapa kali dia mencuba, mukanya kelihatan agak rimas. Mana taknya rasa, diri rasa amat bersalah.

Akhirnya atas belas ehsan seorang pak cik, dia bersetuju untuk menghantar anda semua. Alhamdulillah. Pada waktu itu jam telah menunjukkan pukul 9 malam. Maknanya masa masih berbaki 1 jam setengah.

Dengan bergegasnya anda dan kawan-kawan memenuhi tempat duduk van. Tanpa merugikan masa terus bertolak.

Malang tidak berbau, lebuhraya agak sesak dek kemalangan yang berlaku di hadapan. Nak patah balik, berderet-deret kereta di belakang. Anda hanya mampu berdoa, masa masih berbaki 40 minit. Separuh perjalanan pun belum.

Setelah beberapa ketika akhirnya van anda melepasi kawasan sesak tersebut. Berderum enjin van, selaju kilat mahunya van tersebut bergerak.

Akhirnya anda sampai di lapangan terbang, tapi agak kelewatan. Jam menunjukkan pukul 10.20 malam.

Anda dan kawan-kawan terus berlari ke kaunter berlepas. Dengan hati yang penuh pengharapan, dengan seluruh doa dan tawakkal kepada Allah.

"Ya Allah, mudahkanlah urusan kami..", getus hati.

"Maaf dik, pesawat adik telah berlepas beberapa minit yang lalu....".

Hancur hati anda.

Dengan penuh geramnya anda dan beberapa orang sahabat lain memaki dan mengutuk-mgutuk kawan sebilik anda. Kalau bukan kecuaiannya tentu semuanya berjalan lancar.

Masing-masing kemarau idea, akhirnya terduduk di kerusi menunggu berdekatan. Ada yang saling memujuk sesama sendiri, ada yang menyendiri, kecewa.

Tiba-tiba tersiar berita di televisyen dari sudut kiri tempat duduk anda..

"Berita terkini, sebuah pesawat bernombor 13A yang berlepas dari lapangan terbang xxxxxxx pada pukul 10.30 malam tadi terhempas disebabkan kegagalan enjin ditengah perjalanan. Ramai penumpang dilaporkan cedera, selebihnya masih lagi dalam siasatan....."

Apa perasaan anda pada waktu itu? Apa yang ingin anda katakan pada sabahat anda yang baru sahaja sebentar tadi anda kutuk dan maki beliau?

"kalau lah aku tahu semua ini akan berlaku, aku takkan marah, kutuk, maki kau. Sebaliknya aku akan bersyukur dan berterima kasih kepada engkau. Aku akan peluk kau erat-erat.."

Bersangka baik
Ya, sangka baik atau dalam bahasa arabnya husnu dzonn. Satu sifat yang kita tak berapa nak ambil berat walhal sangat penting. Dan husnu dzonn yang paling besar ialah husnu dzonn dengan Allah. Husnu dzonn dengan ketentuan Allah. Kerana kita tak mampu mengetahui apa yang akan berlaku di hadapan, hikmahnya.

Beberapa ketika sebelum ni saya dilanda satu perasaan yang sangat teruk sekali. Rasa macam tak ada matlamat dan tujuan. Buat itu, tak rasa apa, buat ini tak rasa apa. Sampai dalam bab ibadah pun tak ada jiwa.

Sering juga merintih, Ya Allah apa yang aku rasa ni sebenarnya? Sampai bila aku nak hidup macamni?

Tapi percayalah, dalam setiap kesusahan dan kegelisahan pasti ada hikmahnya. Kadang-kadang puas kita berfikir, puas kita mencari tapi seolah-olah takkan ada penyelesaiannya. Pada saat itu berhentilah berfikir. Yakinlah pada Allah satu masa pasti muncul hikmahnya. Hanya perlu sedikit sabar dan tabah sahaja lagi.

Dan Alhamdulillah, pada saat ini Allah kurniakan saya suatu ketenangan yang tak pernah saya rasai sebelum ini. Allah nak saya rasai dahulu kesempitan itu supaya saya lebih menghargai ketenangan hari ini. Alhamdulillah.

Allahumma thabbith 8olbi 3la deenik, wa 3la 6a3atik. Ameen

Fikir sebelum bertindak, supaya tidak menyesal
Berbalik kepada kisah di atas. Memang betul perlunya untuk kita berfikir sebelum bertindak. Fikirlah akibat tindakan kita itu di masa hadapan.

Sebelum penyesalan itu,
sebelum penyesalan ini,
sebelum itu berlaku,
sebelum ini berlaku,

fikirlah akibat, fikirlah padahnya. Jangan  dek salah keputusan, seluruh badan binasa.

Dan yang penting pastikan fikiran kita jauh ke hadapan. Ke hadapan sehingga ke akhirat. Harapnya, ucapan-ucapan di bawah ini.............



".....Kalaulah Engkau lewat umur kami sedikit saja lagi nescaya kami akan sedekahkan segala harta kami dan kami akan menjadi orang-orang yang soleh"



".......Alangkah baiknya kalau aku dahulu hanyalah tanah."



"...Wahai tuhan kami, kami telah melihat (azab neraka), kami telah mendengar, kalaulah Kamu boleh kembalikan kami, nescaya kami akan berbaut amal-amal soleh, sesungguhnya kami telah yakin"

.. takkan diucap oleh lidah kita. Na3udzubillah. Ameen.

Friday, April 1, 2011

Gen6 syabab

"Dan telah kami permudahkan Al-Quran itu untuk di ingati. Tidak ada lagikah yang mahu mengambil pengajaran?"

*Tiada dalam gambar : Abdullah Muizz

Flag counter

free counters