Wednesday, May 2, 2012

Cerita di suatu pagi

Semalam saya tidur sedikit lewat dari kebiasaan.

Nasib baik pagi tadi Yon tersedar dan terus bergegas ke bilik saya, mengejutkan saya untuk menunaikan solat subuh. 5.30 am, masih berbaki 20 minit sebelum matahari terbit.

Seusai solat subuh, tanpa sempat saya menghabiskan bacaan ma'thurat saya sudah tertidur.

...................

Saya tersedar tepat pukul 9.00 pagi. Terus saja bergegas ke bilik air mempersiapkan diri untuk bertolak ke Universiti. Walaupun kelas mula pukul 11.00 pagi, saya ambil keputusan untuk bertolak sedikit awal, saya merancang untuk singgah sekejap di sebuah kedai makan untuk bersarapan.

Seusai solat dhuha dua rakaat sempat saya online sekejap, melawat laman sesawang fb, sekadar melihat apa yang mungkin penting untuk saya tahu pagi ini. Tak kisahlah berkaitan isu semasa ke, masalah kawan ke, kerja-kerja persatuan ke atau sebagainya. Jujur sebenarnya saya sudah seolah ketagih dengan facebook, wajib membukanya setiap hari. Bukan sekali, malah berkali-kali. Sepatutnya ada benda lain yang selayaknya kita terikat dengannya begitu. (?)

Salah satu status seorang sahabat menarik perhatian saya. Statusnya berbaur sedikit kemarahan dan perasaan tidak puas hati. Saya bersimpati, semoga Allah mudahkan urusan beliau. Komen sedikit kemudian terus saya log out dan bergerak ke Universiti.

Untuk sampai ke Universiti saya perlu menaiki dua bas. Bas yang pertama dari Syari3 Jamiah ke Mujamma3. Kemudiannya bas yang kedua dari mujamma3 terus ke Universiti. Perjalanan mengambil masa kurang lebih 30 minit.

Saya mendapatkan bas yang pertama dari Syari3 Jami3ah. Disebabkan penuh, saya terpaksa berdiri sahaja. Saya menjeling ke cermin hadapan bas. Di sudut kanan bahagian atas tertampal sehelai kertas bertulis,

الأجرة ٢٢ قرش
Tambang 22 Qursh

Saya sedikit tidak puas hati. Lebih kurang sebulan yang lalu, tambang hanya sebanyak 15 Qursh kemudian dinaikkan sehingga 17 Qursh. Seingat saya semalam tak ada pun notis menyatakan tambang dinaikkan lagi dan kenapa hari ini tambangnya menjadi 22 Qursh?

Saya rapatkan mata, hati saya berbicara,

"Apa salahnya bagi lebih sikit, anggap je yang lebih tu sebagai sedekah dari kamu atas usaha dia yang sanggup keluar pagi semata-mata nak cari rezeki. Allah pilih kamu sebagai jalan rezeki untuk dia.."

Nafas panjang saya helakan. Segera saya menghulurkan tambang sebanyak yang tertulis. Tiba-tiba sahaja hati saya merasa sangat luas, puas, tenang dan selesa. Saya tersenyum.

Sampai di mujamma3. Saya terus menghayunkan kaki ke kedai makan tersebut. Saya menghulurkan sekeping wang kertas kepada cashier sambil menyebut nama sejenis makanan. Muka pak cik itu agak muram sedikit. Dia menyambut wang saya dan mengembalikan baki tanpa memandang muka saya.

"mungkin dia ada masalah kot. Semoga Allah permudahkan urusan beliau..", getus hati saya.

Sarapan pagi telah saya beli, saya duduk di meja yang tersedia.

Tiba-tiba riuh kedengaran dari dalam kedai. Kedengaran suara dua orang lelaki yang saling bertengkaran ( ps. memang biasa je sebenarnya arab kat sini bertengkar lidah). Saya mengangkat sedikit kepala, melihat apa yang berlaku. Oh, rupa-rupanya pak cik tadi.

Kesian pula rasanya. Kalau dia boleh kawal sedikit sahaja marahnya, pasti dia boleh tersenyum sekarang. Hati pon senang nak buat kerja. Selesai makan saya terus mendapatkan bas.

Saya menapak mendaki tangga bas. Tempat duduk banyak lagi yang kosong. Pak cik driver sibuk memanggil-manggil penumpang. Nampak kesungguhan dari wajahnya. Inilah usaha dan keringatnya untuk menyediakan rezeki buat isteri dan anak-anak tercinta yang menanti di rumah, mungkin, kata hati saya.

Saya duduk di salah satu kerusi. Membetulkan tempat duduk, meluaskan sedikit tingkap supaya angin nyaman pagi Irbid bisa menyapa pipi saya. Kemudiannya saya mengeluarkan earphone nokia dari beg galas. Disambungkan ke ipad kesayangan, Surah Al-A'raaf Sheikh Saad Said Al-Ghamidi saya mainkan, Sheikh kegemaran saya seawal mengenali dunia tahfiz dulu.

Apps pages saya lancarkan dan di atas bas itu, saya mula menulis nota ini.

Rutin harian yang biasa saya lalui, tetapi luar biasa saya dapat pengajaran. Berbeza-beza berdasarkan cara kita berfikir dan mengambil pengajaran. Biasa berlaku juga pada anda kan?

S.E.N.Y.U.M.

1 comment:

pakurawan said...

SENYUM

ana tahu trademark siapa tu sheikh.

Flag counter

free counters