Dalam bidang Tahfiz, murajaah merupakan jantung kepada ingatan kita. Seorang yang menghafaz Al-Quran tetapi tidak melakukan murajaah secara konsisten dan tersusun, lama-kelamaan ingatannya akan berkurang.
Hujung minggu lepas saya sempat berkongsi dengan ahli-ahli baru Akademi Tahfiz Az-Zikr Jordan tentang proses dan keperluan (atau di akademi ni kami namakan sebagai rukun hamalatul Quran) seharian sebagai seorang yang menghafaz Al-Quran.
Ianya terdiri daripada lima perkara iaitu : Tilawah, Hafaz, Tasmi, Hifzul jadid dan murajaah.
Murajaah / iadah / mengulang hafazan Al-Quran
Di sini saya hanya ingin menulis berkaitan dengan proses murajaah sahaja daripada kelima-lima rukun yang kami susun seperti di atas.
Murajaah, iadah dan mengulang, semua ini merujuk kepada proses di mana seseorang itu pulang kembali (رجع) kepada hafazan Al-Quran lama beliau. Ini adalah demi memastikan bahawa apa yang dihafaz oleh beliau sentiasa ada dan tidak hilang.
Kepentingan murajaah dan beberapa analogi
Satu analogi yang saya dengar dari seorang guru saya yang mulia, Ustaz Syukri Ali :
"Menghafaz Al-Quran ini ibarat kita cuba memotong rumput di satu padang yang luas. Memotong rumput di hadapan itu adalah proses menghafaz mukasurat yang baru. Dalam masa yang sama kita tak boleh lupa untuk menoleh ke belakang dan pastikan bahawa rumput yang telah kita potong itu tidak kembali tumbuh panjang, itulah proses murajaah".
Analogi lainnya yang saya bawa semasa pembentangan tempoh hari :
1. Seorang yang berpendapatan hanya RM 2000 sebulan tidak akan mampu menggunakan sebuah Ferrari walaupun beliau mendapat ferrari tersebut secara percuma. Ini kerana Ferrari itu mahal dan semestinya 'kos-maintainence'nya juga tinggi yang tidak mampu ditampung oleh pendapatan beliau.
2. Seorang yang tinggal di kawasan pendalaman yg tidak mempunyai sumber bekalan elektrik gembira setelah berjaya membeli I-phone idamannya di bandar. Dia tidak sedar sebenarnya I-phone itu tidak sedikit pun berguna untuknya bila dia pulang ke rumah nanti.
Pengajarannya :
Sebagaimana memiliki ferrari dengan pendapatan yang rendah,
sebagaimana mempunyai I-phone tetapi tinggal di kawasan tanpa elektrik dan coverage,
seorang yang menghafaz Al-Quran sebenarnya dia tidak mempunyai apa-apa sekiranya dia tidak mampu untuk meluangkan masa sehariannya untuk murajaah / mengulang Al-Quran.
Ingat para penghafaz Al-Quran, anda sudah mempunyai 'sesuatu' yang sangat mahal iaitu ingat Al-Quran. Dan semestinya kos-maintainence untuk 'sesuatu' yang mahal ini juga turut tinggi dan bernilai.
![]() |
| PINTAZ 2014 |
Galakan untuk rajin dan istiqamah dalam murajaah Al-Quran
Berdasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya,
"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah swt maka untuknya diberi satu hasanah sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (alif,lam,mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.” -Riwayat Tirmizi
Maka saya sering mengingatkan diri saya sendiri bahawa beruntungnya seorang yang menghafaz Al-Quran. Allah telah menyediakan medan untuk kita mengumpul sebanyak-banyak pahala hanya daripada rutin murajaah harian kita. Dengan hanya berpegang kepada hadis ini dengan sepenuh yakin, sudah cukup untuk seorang penghafaz Al-Quran untuk tidak mengambil ringan dan sambil lewa akan murajaahnya.
Penutup
Sahabat-sahabiah sekalian, luangkan masa untuk murajaah dalam setiap hari kita walaupun sesibuk mana pun kerja yang kita hadapi. Usahalah dengan bersungguh-sungguh untuk kita jatuh cinta kepada Al-Quran. Semoga dengan kesungguhan kita itu, Al-Quran itu sendiri akan membalas cinta kita dengan datang pada hari kiamat seterusnya memberi syafaat kepada kita. Semoga kita semua tergolong dalam golongan itu, ameen.


No comments:
Post a Comment