Bercakap tentang teguran, saya teringat tentang 3 kisah yang ditulis dalam Al-Quran. Mari kita sama-sama merenung.
i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.
Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syor yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Mafhumnya:
“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” Al-Anfaal; 67 – 68
ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:
“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." At-Tahriim; 1
iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. Mafhumnya:
“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” ‘Abasa Ayat; 1 – 6
Dalam ketiga-tiga sirah tersebut menyaksikan teguran yang diterima oleh junjungan besar kita Sayyidina Muhammad SAW.
Manisnya bersahabat
Tidak syak lagi orang yang paling rapat dalam hidup kita selepas ayah, ibu dan adik-beradik adalah sahabat. Juga tidak pelik jika seseorang itu lebih selesa bersama sahabat berbanding ahli keluarga di rumah. Sahabatlah tempat untuk kita saling berkongsi masalah, saling memberi dan saling menerima. Sudah pelbagai ungkapan yang saya terima daripada sahabat-sahabat samaada berbentuk sms atau sebagainya dalam mendefinasikan manisnya berukhuwah.
Pentingnya peranan berukhuwah dan bersahabat ini jelas sehinggakan AsSyahid Imam Hasan Al-Banna menyenaraikannya dalam salah satu 10 rukun bai’ah ikhwanul muslimin.

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib setengahnya akan menjadi musuh setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)”Az-Zukhruf;67
Seorang tokoh yang tidak asing bagi kita, Imam Syafie turut berbicara tentang sahabat. Kata beliau:
“aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku. Sahabat yang baik adalah yang seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup dan selepas matiku.Ku hulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai sahabat, aku semakin percaya diri. Aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tak luntur baik dalam suka atau duka. Jika aku dapat aku akan setia padanya..” (seorang sahabat sms kt saya ayat ni)
Jika kita merenung, alangkah indahnya bersahabat.
hidup tidak selalunya indah, langit tak selalu cerah
Tetapi dalam kita bersahabat, terkadang ada masanya kita tidak senang dengan sahabat kita. Terkadang sahabat yang kita kasihi bisa melukakan dan menyakitkan hati kita. Dalam bersahabat tak selamanya kita gembira, adakalanya sisi hitam mencelah. Seperti dalam lirik nasyid, “hidup tidak selalunya indah, langit tak selalu cerah”. Memang betul. Saya setuju.
Sudah fitrah manusia tidak terlepas dari kesilapan. Ini terbukti apabila Nabi kita yang ma’sum juga tidak terlepas seperti yang diceritakan dalam 3 kisah di atas.
Saling menegur dikala khilaf
Namun perhatikan kesemua mafhum kalamullah di atas. Dikala Junjungan Besar kita Nabi Muhammad saw tersilap dalam percaturan, teguran dari langit segera menyusul. Seharusnya kita mengambil pengajaran dari 3 peristiwa ini.
Bagaimana? Saya melihat konsep saling tegur-menegur ini harus diaplikasikan dalam persahabatan kita seharian. Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah yang berbunyi;
Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.Ad Dzariat;55
Adab menegur
Saya pernah terdengar kata-kata yang lebih kurang beginilah maksudnya. Jika sesuatu itu dari hati, maka ke hatilah kesannya. Jangan pula disalahtafsirkan. Maksud saya, dalam kita menegur, teguran itu biarlah datangnya dari hati agar ianya masuk ke hati dan biarlah hati menilainya. Jika teguran kita secara emosi, maka emosilah balasnya. Semakin keruhlah jika begitu.
Tegurlah secara bijaksana dan berhikmah. Sebagai contoh, seorang sahabat yang berniat hanya ingin bergurau tanpa disedarinya telah mengguris hati sahabatnya yang lain. Dalam situasi ini pada pendapat saya, sahabat yang terguris itu tak sepatutnya berdiam diri walaupun tidak menyimpan perasaan tersebut. Dia sepatutnya bersemuka dengan sahabatnya itu dan menegurnya secara satu-satu. Kenapa perlu lagi ditegur sedangkan dia sudah memaafkan sahabatnya itu? Berbalik kepada ayat dari surah AzDzariat di atas menganjur kita untuk saling berteguran agar beroleh manfaat. Sememangnya dia telah memaafkan sahabatnya. Tetapi atas dasar cinta dan sayang seorang sahabat, dia perlulah menegur supaya sahabat itu sedar akan kesilapannya dan tidak mengulanginya terhadap sahabat-sahabatnya yang lain.
Sahabat-sahabat yang takkan ku lupa~
Kesimpulan
Tidak patut seseorang dibenci dan dihina atas kesalahan yang dia sendiri tidak menyedarinya. Jika kita betul-betul seorang sahabat yang sejati, tegurlah dia. Jangan sesekali menghina dan mencercanya di hadapan orang lain pula lantaran tidak bersependapat dengannya. Alangkah kecil hati sahabat tersebut apabila mengetahui sahabatnya yang dipercayai selama ini sanggup berbuat sedemikian terhadapnya.
Kesempatan ini saya memohon sejuta kemaafan kepada semua yang mengenali diri ini jika ada melakukan sebarang kesilapan. Juga maaf jika ada terkasar bahasa dalam tulisan saya ini. Akhir sekali, saya taipkan sekali lagi satu sms yang yang ada dalam inbox handset saya. Juga meseg dari seorang sahabat:
Pandanglah sahabatmu kerana 3 perkara.
1-Allah
2-Ilmunya
3-hubungannya dengan makhluk Allah
Janganlah memandangnya dengan 3 perkara:
1-paras rupa
2-harta benda
3-pangkat kekuasaan
Peliharalah 3 perkara dalam bersahabat:
1-niat
2-amal
3-akhlak
Elakkan 3 perkara dalam bersahabat:
1-hasad
2-dengki
3-tipu helah
Semoga sama-sama mendapat manfaat.
*entry ini khas buat seorang sahabat jauh di sana. Harap beliau baca entry ini.
*entry ni nampak pelik sket sebab saya taip dalam mcrsft word dulu. Lps 2 copy n paste. Xpandai da nak edit.

3 comments:
Fuh, setuju2.
dan selalunya,
sorry seems to be the hardest word.
tegur akui lau ak salah
sama2lah kita menasihati antara kita
"dan berpesan2lah kpd kbenaran dan kesabaran".
InsyaAllah~ :)
Post a Comment