Assalamualaikum warahmatullah wabarakaatuh..
Dulu saya tak suka untuk ke depan. Saya tak berani untuk bercakap di hadapan khalayak ramai. Saya kurang keyakinan dan rasa gemuruh bila semua orang menumpukan perhatian kepada saya.
Zaman sekolah menengah, saya belajar di sebuah sekolah tahfiz di Kelantan. Dengar saja pelajar tahfiz, orang ramai akan kaitkan dengan imam, ustaz dan sebagainya.
Saya masih ingat kali pertama saya jadi imam surau di kampung. Sewaktu itu saya masih lagi di tingkatan dua. Disebabkan pak cik-pak cik di kampung tahu saya merupakan pelajar tahfiz, maka mereka menolak saya untuk ke depan. Solat maghrib pada waktu itu.
Al kisahnya, saya memilih untuk membaca dari permulaan surah Al-Maidah, saya masih ingat sampai sekarang. Surah yang mana lancar sahaja saya baca di luar solat, sambil buat kerja lain pun insyaAllah takde sangkut-sangkut. Tapi bila berada di hadapan orang, bila menjadi kepala jemaah, saya rasa seolah-olah sekeliling saya gelap. Masuk saja ayat ke dua dah tak tahu ke mana ayat nak sambung. Akhirnya bacaan saya terganggu, tersekat-sekat dan akhir sekali saya terus ruku3. =)
Itu kisah menjadi imam. Juga semasa di tingkatan dua atau tiga (saya lupa), kali pertama saya diminta oleh pak cik-pak cik di surau untuk memberi tazkirah, pengisian antara maghrib dan isya' on the spot. Saya berfikir sejenak. Kebetulan pada waktu itu saya baru sahaja habis mengikuti tamrin yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Perancangannya saya nak petik sahaja isi-isi yang disampaikan oleh seorang ustaz dalam satu slot berkaitan tafsir surah An Naml.
Bila saja saya berada di depan, semua yang dirancang terus hilang. Saya seolah hilang sumber. Kosong dalam kepala. Hasilnya saya pun tak tahu apa yang saya sebut pada malam itu. Yang pastinya saya tak selesa dan selalu terfikir-fikir perkara itu sehingga beberapa hari.
Ada banyak lagi kisah hidup saya berkaitan perkara ini. Antara yang paling besar saya masih ingat, kali pertama diminta menyampaikan khutbah di surau, berada di hadapan sahabat-sahabat sewaktu penutup INPRO sewaktu di INTEC dan menyampaikan nasihat atau berkongsi pengalaman dengan adik-adik MTS dalam Majlis Himpunan Huffaz 2010 anjuran alumni Maahad Tahfiz Sains, (ITQAN).
![]() |
| Rindu nak jumpa kawan-kawan sekolah lama, apa khabar semua? =) |
Ubah mindset
Kalau dulu saya selalu mengelak, selalu lari daripada berhadapan dengan situasi ini. Lebih selesa untuk menuding jari ke arah orang lain bila diminta untuk berbuat demikian.
Tapi sekarang saya merasakan ia merupakan satu keperluan bagi setiap individu. kemahiran berucap, bercakap di khalayak ramai. Keyakinan untuk berada di hadapan dan sebagainya. Kerana ia merupakan medan/ruang untuk kita menyampaikan idea dan pendapat kita.
Sebagai seorang muslim kita tidak dapat lari dari tanggungjawab berdakwah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dan kemahiran untuk berkata-kata merupakan satu elemen yang cukup penting untuk melengkapkannya. Ada yang menyatakan aspek ilmu yang paling utama. Memang betul, tapi apa maknanya ilmu kalau kita tak mampu untuk menyampaikan pada orang lain.
Tengok pada minit ke 4.13. Ya Allah, sunggup kata-kata itu mampu membangunkan jiwa.
Berani mencuba
Untuk sampai ke destinasi yang jauh, mahu atau tidak kita akan bermula dengan satu langkah yang kecil. Begitulah aturnya dalam setiap perkara. Kita tidak lahir dengan terus hebat. Seorang wali Allah tidak lahir dengan terus bermunajat di tikar sejadah. Tapi kita bina sedikit demi sedikit.
Di Jordan, saya selalu diminta untuk bercakap, samaada di khalayak ramai ataupun secara peribadi. Setiap kali bercakap, saya pasti akan melakukan kesalahan. Dengan kesalahan ini lah saya mula belajar, mula perbaiki segala kekurangan. Dan saya merasakan diri saya ada peningkatan dari segi kemahiran dalam bidang ini walaupun tak lah mahir sangat pun. Dulu yang agak kaku dan kelu untuk mengeluarkan idea, sekarang saya rasa lebih selesa dan tenang. Dulu menggelatar seluruh tubuh sebelum, semasa dan selepas penyampaian, sekarang saya tak sabar dan tertunggu-tunggu untuk memberi. Semua perlu kepada latihan dan usaha, semua orang mampu untuk itu, insyaAllah.
Jaga hati
Ini yang penting. Kita (baca:saya) perlu selalu ingatkan kepada hati kita atas niat apa kita buat perkara-perkara ini. Setiap amalan bermula dengan niat. Setiap yang dari hati pastinya akan berjaya menyentuh hati yang lain. Saya selalu ingatkan diri yang alpa ini dengan perkara ini.
Menyampaikan biarlah dengan niat yang tulus dan ikhlas. Amanah dengan ilmu yang disampaikan. Kadang-kadang kita terlalu ghairah berbicara, lantang bersuara sehingga diri sendiri lupa untuk melaksanakan apa yang kita ucapkan. Takut nanti lidah kita sendiri melaknat kita di hari Kemudian, Kami berlindung dengan Allah dari perkara tersebut.
Random
Tulisan ini sekadar melontarkan apa yang bermain di hati. Kepada anda yang punya bakat dalam berucap, berpidato, berbahas dan sebagainya, bersyukurlah atas kelebihan yang Allah kurniakan. Tapi ingat setiap perkara akan disoal oleh Allah kelak. Jadi, salurkan kelebihan anda itu kepada jalan yang sebetulnya. Gunalah kelebihan yang ada dalam menyampaikan kalimah-kalimah Islam dalam usaha kebangkitan Islam. Rugilah kita dalam fenomena dunia sekarang semuanya hendak kembali menegakkan Islam tapi kita tidak menggunakan kelebihan yang ada untuk sama-sama tergolong dalam kelompok ini.
Benar Islam tidak tertegak dengan kata-kata. Tapi kata-kata mampu untuk membangunkan jiwa, membina kekuatan dan menyuntik semangat dalam melahirkan rijal. Rijal yang seterusnya berjuang untuk menegakkan Islam, InsyaAllah.
Semoga Allah kurniakan ikhlas dan menjaga hati saya dan kita semua dalam setiap penulisan, pengucapan, perbuatan dan kehidupan seluruhnya, Ameen.
(jumpa video ni sebab kawan share kat FB, tq)
Wallahua3lam..













