Sunday, June 10, 2012

Album Umrah 4 / Rejab 1433

Assalamualaikum.

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Yang Maha Kaya, Maha Pemurah di atas segala nikmatNya yang tidak terkira.

_______________________________

Menjelang sahaja hujung semester pengajian, fenomema kami (pelajar-pelajar malaysia di Jordan) akan mula merancang perjalanan dan pengisian cuti masing-masing.

Macam - macam tempat yang bakal di ziarahi. Dari sedekat-dekat tempat sehingga sejauh-jauhnya.

Dulu saya ada juga bercita-cita untuk melawat seberapa banyak negara sepanjang pengajian saya di Jordan. Ye lah, bila dah habis belajar dan mula berkerjaya nanti ruang masa mungkin sedikit sempit. Ramai senior-senior kata ambillah peluang yang ada ni untuk melihat dan merantau sejauh mungkin di muka bumi Allah.

Sewaktu tahun 1 pengajian pada tahun 2010 saya memulakan jelajah saya ke Turki. Sebuah negara yang menarik dan boleh letak dalam list-melawat saya kira. Banyak pemandangan dan pengalaman baru yang saya belajar. Boleh belek-belek dan rujuk album lama di sini dan sini. :) 

Umrah kali pertama
Pada tahun yang sama, saya telah diizinkan oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke RumahNya, Haramain Es-Syarifain (Masjidil haram dan Masjid nabawi). Teringat kali pertama menjejakkan kaki ke sana, Allah telah datangkan ujian kepada saya. Telah saya catatkan dalam blog ini sebagai kenangan dan peringatan bersama. Boleh rujuk sini.

Umrah kali kedua
Perancangan Allah Maha Hebat dan sangat terancang. Terkandung sejuta hikmah dan pelbagai pelajaran bagi yang memerhati. Sekali lagi Allah menjemput saya pada tahun berikutnya untuk menjadi tetamuNya. Tetapi kali ini sangat istimewa kerana saya diundang pada waktu yang cukup mulia, pada Bulan Ramadhan 1432h.

Saya tidak tahu macamana hati saya terdetik untuk ke sana lagi. walaupun ketika itu cuti saya yang agak lewat dan saya telah terlepas untuk mengikuti pakej Umrah (bas) yang ada pada waktu itu. Dari mana datangnya kesungguhan dan keinginan saya tidak tahu sehinggakan saya sanggup berjumpa dengan syarikat untuk menempah tiket flight yang berganda-ganda tinggi kosnya. 

Alhamdulillah saya tidak pernah menyesal bahkan rasa sangat beruntung atas tindakan saya pada waktu itu. Pengalaman dan perasaan yang tidak mungkin saya lupa dan padamkan. Bersahur, berpuasa, berterawikh dan berQiamullail di anjung Masjidil Haram, MasyaAllah suatu suasana yang WAJIB setiap muslim idamkan!

Saya abadikan kenangan itu di sini. Sejak ziarah kali kedua inilah yang telah mengikat hati saya. Saya telah jatuh cinta pada tempat yang paling mulia ini. Sebelum pulang saya berdoa dengan setulus hati, 

"Ya Allah sampaikan aku lagi ke sini."

Umrah kali ke tiga
Januari 2012, sekali lagi Allah jemput saya. Allah, bayangkan apa perasaan seorang hamba yang banyak dosa seperti saya apabila Tuhannya tak pernah lupa padanya dan memakbulkan doa dan hajatnya. Tidak cukup dengan segala amal ibadat dan lafaz syukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan. 

"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah mahu kamu dustakan?", 33 kali Allah ulang dalam Surah Ar-Rahman.

Umrah kali ke empat
Dan dengan sifat Pemurah dan Penyayangnya Allah SWT, saya dijemput lagi untuk kali ke empat berkunjung ke rumahNya. kali ini hati saya benar-benar terkesan, benar-benar merasakan bahawa Allah tak pernah sekejap pun melupakan hambaNya.

Saat ini saya teringatkan satu kata-kata seorang ustaz,

"Semoga Allah memilih kita menjadi tetamuNya di dunia dan yang paling penting di akhirat kelak. Macamana Allah nak pilih kita jadi tetamuNya di akhirat sedangkan di dunia pun dia tak pernah pilih kita?"

*Tetamu Allah ialah orang yang sentiasa menghadiri dan solat berjemaah di Masjid.

"Ya Allah, sungguh banyak nikmat yang Engkau limpahkan kepada HambaMu. Aku berdoa dan meminta agar kami menggunakan segala nikmatMu untuk lebih mendekatkan diri padaMu Ya Allah. Engkau pandulah hati kami untuk terus taat pada perintahMu dan menjauhi laranganMu. Ameen~"

Dalam perjalanan


Kawasan Masjid Nabawi

Bersama Abdul Mukmin at Masjid Nabawi
Salam, Mukmin, Amirun.
Bersama Nabil Saupi (baju kuning) kenalan semasa MTS.
Rumah Makan Indon, bersama sahabat Arab seBatch di JUST.
Di Makkah
Di Miqat Bir Ali
Bersama Abah dan Umi di hadapan Masjidil Haram
Bukit Marwah
Dalam perjalanan lawatan ke Hudaibiyyah
Tapak tempat berlakunya Perjanjian Hudaibiyyah tahun ke 6 Hijrah
Ladang Unta
Pagi terakhir sebelum bertolak pulang ke Jordan


Alahmdulillah~

Wednesday, May 2, 2012

Cerita di suatu pagi

Semalam saya tidur sedikit lewat dari kebiasaan.

Nasib baik pagi tadi Yon tersedar dan terus bergegas ke bilik saya, mengejutkan saya untuk menunaikan solat subuh. 5.30 am, masih berbaki 20 minit sebelum matahari terbit.

Seusai solat subuh, tanpa sempat saya menghabiskan bacaan ma'thurat saya sudah tertidur.

...................

Saya tersedar tepat pukul 9.00 pagi. Terus saja bergegas ke bilik air mempersiapkan diri untuk bertolak ke Universiti. Walaupun kelas mula pukul 11.00 pagi, saya ambil keputusan untuk bertolak sedikit awal, saya merancang untuk singgah sekejap di sebuah kedai makan untuk bersarapan.

Seusai solat dhuha dua rakaat sempat saya online sekejap, melawat laman sesawang fb, sekadar melihat apa yang mungkin penting untuk saya tahu pagi ini. Tak kisahlah berkaitan isu semasa ke, masalah kawan ke, kerja-kerja persatuan ke atau sebagainya. Jujur sebenarnya saya sudah seolah ketagih dengan facebook, wajib membukanya setiap hari. Bukan sekali, malah berkali-kali. Sepatutnya ada benda lain yang selayaknya kita terikat dengannya begitu. (?)

Salah satu status seorang sahabat menarik perhatian saya. Statusnya berbaur sedikit kemarahan dan perasaan tidak puas hati. Saya bersimpati, semoga Allah mudahkan urusan beliau. Komen sedikit kemudian terus saya log out dan bergerak ke Universiti.

Untuk sampai ke Universiti saya perlu menaiki dua bas. Bas yang pertama dari Syari3 Jamiah ke Mujamma3. Kemudiannya bas yang kedua dari mujamma3 terus ke Universiti. Perjalanan mengambil masa kurang lebih 30 minit.

Saya mendapatkan bas yang pertama dari Syari3 Jami3ah. Disebabkan penuh, saya terpaksa berdiri sahaja. Saya menjeling ke cermin hadapan bas. Di sudut kanan bahagian atas tertampal sehelai kertas bertulis,

الأجرة ٢٢ قرش
Tambang 22 Qursh

Saya sedikit tidak puas hati. Lebih kurang sebulan yang lalu, tambang hanya sebanyak 15 Qursh kemudian dinaikkan sehingga 17 Qursh. Seingat saya semalam tak ada pun notis menyatakan tambang dinaikkan lagi dan kenapa hari ini tambangnya menjadi 22 Qursh?

Saya rapatkan mata, hati saya berbicara,

"Apa salahnya bagi lebih sikit, anggap je yang lebih tu sebagai sedekah dari kamu atas usaha dia yang sanggup keluar pagi semata-mata nak cari rezeki. Allah pilih kamu sebagai jalan rezeki untuk dia.."

Nafas panjang saya helakan. Segera saya menghulurkan tambang sebanyak yang tertulis. Tiba-tiba sahaja hati saya merasa sangat luas, puas, tenang dan selesa. Saya tersenyum.

Sampai di mujamma3. Saya terus menghayunkan kaki ke kedai makan tersebut. Saya menghulurkan sekeping wang kertas kepada cashier sambil menyebut nama sejenis makanan. Muka pak cik itu agak muram sedikit. Dia menyambut wang saya dan mengembalikan baki tanpa memandang muka saya.

"mungkin dia ada masalah kot. Semoga Allah permudahkan urusan beliau..", getus hati saya.

Sarapan pagi telah saya beli, saya duduk di meja yang tersedia.

Tiba-tiba riuh kedengaran dari dalam kedai. Kedengaran suara dua orang lelaki yang saling bertengkaran ( ps. memang biasa je sebenarnya arab kat sini bertengkar lidah). Saya mengangkat sedikit kepala, melihat apa yang berlaku. Oh, rupa-rupanya pak cik tadi.

Kesian pula rasanya. Kalau dia boleh kawal sedikit sahaja marahnya, pasti dia boleh tersenyum sekarang. Hati pon senang nak buat kerja. Selesai makan saya terus mendapatkan bas.

Saya menapak mendaki tangga bas. Tempat duduk banyak lagi yang kosong. Pak cik driver sibuk memanggil-manggil penumpang. Nampak kesungguhan dari wajahnya. Inilah usaha dan keringatnya untuk menyediakan rezeki buat isteri dan anak-anak tercinta yang menanti di rumah, mungkin, kata hati saya.

Saya duduk di salah satu kerusi. Membetulkan tempat duduk, meluaskan sedikit tingkap supaya angin nyaman pagi Irbid bisa menyapa pipi saya. Kemudiannya saya mengeluarkan earphone nokia dari beg galas. Disambungkan ke ipad kesayangan, Surah Al-A'raaf Sheikh Saad Said Al-Ghamidi saya mainkan, Sheikh kegemaran saya seawal mengenali dunia tahfiz dulu.

Apps pages saya lancarkan dan di atas bas itu, saya mula menulis nota ini.

Rutin harian yang biasa saya lalui, tetapi luar biasa saya dapat pengajaran. Berbeza-beza berdasarkan cara kita berfikir dan mengambil pengajaran. Biasa berlaku juga pada anda kan?

S.E.N.Y.U.M.

Saturday, March 10, 2012

Az Zumar by Syeikh Saad Said Al-Ghamidi 1991


1. Boleh cari sambungan bacaan untuk part 2 dan 3.
2. Pertama kali dengar bacaan Ghamidi yang ni terasa seolah berada dalam dunia yang lain.
3. Selamat mendengar dan menghayati.


Tuesday, January 24, 2012

Perihal solat, dua tanah haram, doa dan harapan.

Berkaitan solat
Sebelum cuti bermula sebenarnya saya ada banyak target. Salah satunya nak mengkhatamkan kitab minyatul musolli karangan Syeikh Daud Al-Fatani.

Sebelum cuti bermula lagi saya sudah pun mengdownload dan mencetak kitab tersebut. Sudah bersiap sedia untuk menghabis serta mengkhatamkan kitab tersebut.

Namun perancangan Allah mendahului perancangan saya. Entah bagaimana saya tak mempunyai banyak kekuatan untuk menghabiskannya sepanjang cuti ni. Hanya beberapa helai sahaja yang sempat ditelaah.

Saya kongsikan sikit ilmu daripada kitab minyatul musalli disini mengikut olahan ayat dan fahaman saya sendiri.

Solat yang didirikan merangkumi 2 aspek iaitu secara luaran dan rohani.

Mendirikan solat menyembah Allah saya analogikan seperti seorang anak muda remaja yang sedang mencari calon isteri atau suaminya.

Mana mahu seorang anak muda jika pasangannya itu cacat dari segi fizikalnya sebagai contoh tempang, tidak cukup anggota badan dan sebagainya. Semua hendak yang sempurna jika diberi pilihan.

Tetapi yang lebih penting dari segi rohnya. Mahukah anda mengahwini pasangan yang telah pun ditarik rohnya a.k.a meninggal dunia? Apa pula ni? Boleh jadi satu penghinaan jika halnya seorang pak cik menawarkan anda untuk mengahwini anak gadisnya yang telah meninggal dunia. Silap haribulan kita boleh kata pak cik ni gila sebenarnya.

Sekarang cuba analogikan mencari pasangan dengan solat. Bagaimana? Solat sebenarnya kita mempersembahkan ibadah kita kepada Allah SWT. Semampu mungkin kita perlu memenuhi serta menyempurnakan kedua-dua aspek solat iaitu fizikal dan rohani.

Fizikalnya adalah rukun-rukun solat manakala rohaninya adalah kekhusyukan dan keadaan hati kita ketika bersolat.

Mahukan Allah menerima solat kita yang tidak sempurna rukunnya? Sudah tentu tidak sebagaimana tidak mahunya kita mendapat pasangan yang tidak sempurna fizikalnya seperti yang saya terangkan di atas.

Juga agak-agaknya mahukan Allah menerima serta mengganjari solat kita yang tidak khusyuk? Sama jawapannya dengan halnya seorang pak cik yang menawarkan anak gadisnya yang telah meninggal dunia untuk kita kahwini. Mungkin juga boleh jadi satu penghinaan kepada Allah kiranya kita mengerjakan solat dengan sambil lewa sahaja. MasyaAllah.

Semoga Allah memberi kepada kita kekuatan untuk khusyuk dan menjaga segala rukun-rukun solat ketika mendirikannya. Ameen.

Coretan perihal dua tanah haram
Alhamdulillah insyaAllah sekali lagi saya bakal dijemput oleh Allah untuk berkunjung ke sana. Jika dipanjang umur saya akan bertolak ke sana esok hari, 25 Jan 2012 dari Jordan. Dan ini adalah kunjungan saya kali yang ke tiga. Yang terakhir saya ke sana pada bulan Ramadhan yang lepas juga menyambut aidul fitri di sana pada waktu itu. Sungguh saya sangat berharap semoga dapat berkunjung lagi dan Alhamdulillah Allah bakal makbulkan doa saya. Setinggi kesyukuran dipanjatkan.

Berkaitan berkunjung ke tanah haram, ramai yang membawa hajat akan berubah dan bertaubat apabila kembalinya mereka ke tanah air sesudah mengerjakan umrah ataupun haji. Saya punyai pandangan dan pendapat yang lain tentang hal ini.

"Mekah, masjidil haram, kaabah bukan tong sampah untuk membuang dosa-dosa kita". Saya dengar kata-kata ini dari satu sesi kuliah tazkirah oleh seorang ustaz.

Ya, ramai yang berharap mereka akan bertaubat, insaf dan berubah menjadi baik sesudah mengerjakan haji atau umrah. Alhamdulillah niatnya yang baik itu suatu perkara yang terpuji.

Tetapi realitinya sekarang kita boleh lihat ramai sahaja haji-haji yang baru sahaja balik dari mekah tetapi masih belum mampu untuk melazimi solat 5 waktu di masjid. Lebih teruk mungkin ada saja yang terus tidak solat sepertimana keadaan mereka sebelum mengerjakan haji atau umrah.

Boleh jadi juga ketika berada di tanah suci itu sendiri kita boleh lagi meninggalkan solat walaupun masjidil haram hanya beberapa langkah dari bangunan hotel.

Kenapa boleh jadi begini? Ianya berkaitan dengan soal iman, soal hati dan soal kemahuan. Jika Memang hati kita beriman dan yakin serta mahu dan berazam untuk mentaati perintah Allah, walau dimana kita berada pasti kita akan melaksanakan perintah Allah serta menjauhi laranganNya. Sebaliknya jika kerasnya hati kita, lemahnya iman kita, walaupun laungan azan dari masjidil haram tidak mampu untuk menggerakkan badan untuk berwudhuk seterusnya melangkahkan kaki kita ke masjid.

Saol yang ingin saya tekankan adalah usaha kita ke arah itu. Tidak akan berlaku perubahan dan taubat sekiranya kita hanya menunggu sampainya kita ke tanah suci dengan berharap air mata taubat itu mengalir dengan sendirinya dan diri kita terus bertukar menjadi malaikat. Sebaliknya semua itu perlu kepada usaha yang berterusan. Kita bertuah andai ketika mengerjakan umrah dan berada di tanah suci itu Allah bukakan hati kita di atas segal usaha yang telah kita buat sebelum ini.

Juga taubat itu bukan perbuatan bertempat. Hanya boleh dilakukan bila berada di hadapan kaabah semata-mata. Sebetulnya setiap masa, setiap tempat kita sentiasa bertaubat dan memohon istighfar kepada Allah SWT.

Ya, soalnya usaha dan ikhtiar kita. Memang mujahadah dan istiqamah itu susah sebab nilainya mahal iaitu taqwa pada Allah SWT.

Perihal doa dan harapan
Biasalah Apabila kita akan berkunjung ke tanah haram maka ramailah sahabat-sahabat serta kenalan yang akan mengirimkan doa supaya dipohon serta diaminkan di sana. Keadaan ini tidak terkecuali ke atas saya bahkan saya sengaja memaklumkan pada sahabat-sahabat malah bertanya sekiranya ada sebarang doa untuk didoakan.

Cuma satu doa yang saya sangat terkesan apabila mendengarnya. Doa yang dipohon oleh seorang sahabat saya di Jordan. Suatu malam di menghampiri saya yang ketika itu sedang menyandar didinding masjid.

"aku ada doa nak engkau doakan untuk aku didepan kaabah nanti, boleh tak?"

"insyaAllah. Apa doanya?"

"doakan aku supaya Allah buangkan rasa besar makhluk dalam hati aku serta Allah gantikan rasa besar khaliq (Allah)".

"ameen. InsyaAllah" saya terfikir sejenak selepas mendengar harapan beliau. Allah~

saya sendiri pun banyak sahaja doa dan harapan yang diidamkan yang mana setiap masa saya memohon dan berdoa kepada Allah, tak kira berada di tanah haram sekali pun ataupun tidak.

Saya sentiasa memohon supaya ditetapkan iman oleh Allah. Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan kepada saya untuk istiqamah menjauhi maksiat serta kesungguhan dan keghairahan beribadah kepadaNya.

Saya juga berharap supaya Allah memberi peluang untuk saya betul-betul masyi serta mengingati dan mengamalkan Al-Quran. Sungguh susah perkara ini.

Saya juga berimpian untuk menjadi seorang yang bermanfaat untuk agama ataupun sekurang-kurangnya tidak menjadi fitnah.

Saya juga berharap agar cemerlang dalam mengejar segala impian, cita-cita dan kerjaya saya.

Sebagai seorang anak saya sering mendoakan yang terbaik dan kebahagiaan kepada kedua ibubapa dan seluruh keluarga saya.

Juga sebagai seorang manusia yang punya hati dan perasaan, saya juga mengimpikan pasangan hidup yang terbaik dan mampu melorongkan saya ke jalan menuju ketaqwaan kepada Allah SWT.

Harapan terbesar semoga sempat melihat kemenangan Islam serta seluruh muslimin dalam keadaan saya adalah salah seorang yang berjuang merealisasikannya.

Allah begitu banyak harapan dan doa kita sebenarnya kan? Kalau begitu mengapa masih begitu susah untuk kita patuh pada sedikit sahaja arahan Allah? Sungguh hambaMu ini terlalu banyak meminta tetapi sedikit pula amal ibadanya. Allah~

Monday, December 12, 2011

Al-Quran : Di mana semangat lalu?

Assalamualaikum..

Alhamdulillah atas segala nikmat yang Allah kurniakan pada saya dan anda semua. Tiada siapa yang mampu menghitungnya walau hanya dalam tempoh sedetik cuma, inikan pula mahu kita hitung sejak kita dilahirkan sehingga waktu sekarang. tak terhitung betapa banyaknya nikmat Allah. Alhamdulillah.

Antara nikmat yang terbesar Allah kurniakan kepada saya ialah diberi kesempatan untuk belajar di Maahad Tahfiz dan mengkhatamkan hafalan Al-Quran. Sungguh dalam tempoh 3 tahun setengah itu jalannya sangat berliku dan penuh dengan kenangan suka duka. Dengan izin Allah akhirnya saya berjaya mengkhatamkan Al-Quran pada 6 Ogos 2007. Alhamdulillah, satu nikmat yang tidak terkira besarnya Allah kurniakan.

Tanyalah pada mana-mana hafiz dan hafizah senangkah laluan mereka sepanjang menghabiskan hafalan? Tentu mereka mampu bercerita pelbagai kisah dan kenangan disebalik usaha mereka tersebut. 

"Betapa kerapnya timbul perasaan nak putus asa, tak sanggup lagi bersengkang mata menghabiskan hafalan setiap pagi."

"Berapa banyak air mata yang mengalir kerana hampa dan kecewa dengan prestasi diri sendiri"

"Berapa kali entah banyaknya menghabiskan masa merajuk. Bukan dengan siapa2. Tapi dengan diri sendiri juga"

"Betapa peritnya bila ulangan / murajaah kian menghilang dari ingatan. Susahnya nak istiqamah."

Akhirnya berjayalah mereka menghabiskan hafalan dalam tempoh yang tertentu. Segala kepayahan dan keperitan lalu terus dilupakan. Betapa bahagianya ketika memperdengarkan bacaan juz 'amma kepada guru tasmi. Di selangi pula dengan ucapan takbir oleh rakan-rakan sekelas dicelahan setiap surah. Oh, indahnya waktu itu. Tiada gantian perkataan mampu menggambarkannya.

:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::

Pesanan buat diri dan sahabat sahabiah seperjuangan.

Terkadang kita lupa kisah lalu, kenangan lalu, kesusahan lalu. Lantas kita turut lupa untuk menghargai nikmat ini. Mana taknya tengok pada realiti diri kita sekarang, renung pada prestasi diri.  

Jumlah murajaah seharian makin menurun. Terkadang ada saja dalam sehari tak baca pon Quran walau sehelai...

Juz yang lancar dibibir dahulu makin hilang...

Susunan surah pun boleh jadi berterabur sekarang...

*Mungkin bukan anda yang sedang baca tulisan ini sekarang. Boleh jadi sahabat sahabiah kita yang lain.

Hargailah Dia, Al-Quran itu. Kerana bukan semua yang mengimpikan mampu memilikinya. Kita terpilih dan dipilih oleh Allah untuk memilikinya. Maka hargailah sebesar-besar nikmat ini. 

Akhirnya, semoga kitalah (serta ibubapa kita) golongan yang paling berbahagia di Akhirat nanti. Ameen.

Hari Graduasi 1st batch Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah.


ps : Tulisan ini nak menegur diri sebenarnya. Semoga tercabar dan dicabar dengan tulisan sendiri.

Monday, September 12, 2011

Kisah Al-Quran

KISAH 1

Masjidil haram 1432H
Kali ni saya memilih untuk solat di bawah, tempatnya lagi dekat ke kaabah. Tak silap saya serasanya saya berada di belah multazam, pintu kaabah.

Saya mencari sof yang kosong, jumpa. terus masuk dan duduk dalam saf tersebut. Sementara menunggu azan maghrib dikumandangkan, saya capai poket jubah saya di dada belah kiri. Mushaf kecil yang saya beli di Makkah juga tahun lepas, di capai dan dibelek-belek. Saya sembat sambung murajaah beberapa mukasurat sebelum azan.

Seusai solat maghrib, saya bertekad nak menyambung lagi beberapa ayat sekadar sempat sehingga isya. Sungguh, perasaan itu tak mampu nak diceritakan. Perasaan ketika mengalunkan ayat-ayat suci Kalamullah ditemani dengan pemandangan kaabah di hadapan mata. Allahu akbar.

Saya perasan disekeliling saya semuanya sedang bertafakur, bertasbih, berzikir, membaca Al-Quran. Saya tumpukan sekejap pada keadaan sekeliling. 

Saya perasan ada suara kanak-kanak kecil dari arah belakang sedang mengalunkan Al-Quran. Saya menoleh, ada dua beradik usianya sekitar 5-7 tahun mungkin. Seorang lelaki dan kakaknya, perempuan. Ataupun saya tak pasti yang mana lebih tua. Yang saya tersentuh memerhatikan mereka, mereka membaca tanpa mushaf ditangan. Membaca dari hafalan mereka.

Ya, saya sangat rindukan suasana begitu. Semua orang berlumba-lumba melancarkan hafazan Quran masing-masing. Sungguh rindu suasana 3-4 tahun yang lalu.

Sempat saya tangkap gambar mereka. Mereka berasal dari Yaman. 


KISAH 2

Masjid Nabawi, Madinatul Munawwarah

Suasana Ramadhan di tanah haram agak sesak dengan jutaan manusia semua berkunjung ke sana. Tetapi keadaan makin tenang menjelang syawal. Kebanyakan daripada jemaah umrah yang berkunjung pulang ke negara masing-masing untuk menyambut eid di tanah air sendiri.

Masuk sahaja syawal, keadaan makin sunyi. Keadaan tegang dan berasak-asak setiap kali keluar dari Masjidil Haram sudah berkurangan.

Dan biasanya Madinah @ masjid nabawi lebih tenang berbanding Makkah. Saya bertolak ke Madinah pada 5 Syawal. Alhamdulillah keadaan dan suasana di sana teramat tenang dan mendamaikan.

Kisah dan perasaan yang ingin saya kongsikan sepanjang berada di Madinah, ialah ketenangan yang saya rasa sepanjang membaca al-Quran. Saya bukanlah seorang penghafaz Al-Quran yang bagus samada dari segi bacaan mahupun hafalan. 

Tetapi di Madinah saya merasakan Quran saya sangat mudah dan dibantu oleh Allah SWT. Alhamdulillah. Saya baca sejuz, tiada kesalahan. Masuk ke Juz seterusnya, juga tiada sangkut-sangkutnya. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya melancarkan dan menghabiskan ulangan saya lebih dari yang saya targetkan.

Satu lagi scene yang mungkin akan berbekas lama dalam hati saya. Suatu pagi selesai solat subuh di Masjid Nabawi, saya teruskan lagi ibadah dengan menyambung ulangan Al-Quran. Pagi itu saya baca juz 6 kalau tak tersilap. Sausana masjid sangat lengang pada waktu itu. Hanya beberapa orang sahaja yang yang kelihatan disekeliling saya.

Dihadapan saya ada seorang yang saya kira umurnya sebaya, lebih kurang saya. Dari Jazaair. Dia sedang mentasmi'kan hafazan Quran adiknya. Saya memerhati dari jauh sambil tersenyum. Juga pada waktu itu saya terkenangkan waktu-waktu dimana saya masih lagi berhempas-pulas berusaha menghabiskan mukasurat Al-Quran tiap-tiap pagi.
 
Sesekali si abang tu menepuk dahi adiknya tatkala adiknya tersilap. Adiknya sambung lagi bacaan sambil tertunduk-tunduk kepala.

Selesai satu mukasurat diperdengarkan, si adik bangun dan menyambung hafalanya sambil berjalan-jalan sekeliling masjid, bersama ditangannya Mushaf. Bila usai menghafal, kembali semula ke abangnya dan memperdengarkan lagi bacaannya. 

Sungguh saya rasa bahagia melihat keadaan itu. Terdetik juga dalam hati nak mendidik bakal anak-anak saya nanti dengan suasana Al-Quran sebegitu. =)


Ketika dia memperdengarkan Hafazannya kepada si abang.
Sejuk mata memandang wajah dia. Semoga Allah kurniakan
orang disekeliling saya yang sejuk-mata-dipandang


Sungguh dalam usaha untuk menghabiskan 30 Juz hafazan Al-Quran itu, terselit pelbagai tarbiyyah. Itulah namanya tarbiyyah Al-Quran, sebaik-baik tarbiyyah. Dan dari umrah dan ziarah saya kali ini, saya berjaya menjumpai balik ruh yang dahulu. Saya bertekad untuk betul-betul menghargai nikmat yang Allah kurniakan ini.

Pada waktu itu hati kecil saya terdetik,

"aku bercita-cita untuk menjaga Al-Quran bersungguh-sungguh serta berusaha sehingga berjaya mengambil syahadah!".

 "Ya Allah ikatkanlah hatiku dengan Al-Quran, sentiasa. Ameen"

Saturday, September 10, 2011

Kenangan Ramadhan dan Syawal 1432H

24 Ramadhan 1432 - Bertolak ke Jeddah dari Airport Marka, Amman. Bergerak dari Jeddah ke Makkatul Mukarramah dan kekal di sana beberapa hari.

5 Syawal 1432 - Bertolak dari Makkatul mukarramah ke Madinatul Munawwarah.

11 Syawal 1432 - Bertolak kembali ke Jeddah dari Madinah, seterusnya terbang pulang ke Bumi syam Jordan.

Hari ni hanya gambar saja yang berbicara. =)

Kaabah dari aras 2 Masjidil Haram


Ribuan malah jutaan manusia tawaf mengelilingi kaabah

Sebelum berbuka puasa di Masjidil Haram

Berbuka dalam sof

Bersama sahabat MTS yang turut mengerjakan Umrah

Al Haram dari puncak gua Hira


Di kaki bukit gua thur

Jabal Rahmah

Jabal Rahmah
Matahari terbenam

Masjid Nabawi. Betul-betul dibawah kubah hijau : Tempat Jasad baginda dikebumikan

Tanah perkuburan baqi'

Halaman Masjid Nabawi
 
 
Alhamdulillah. Semoga ziarah selama kurang lebih 17 hari ini memberi seribu makna dalam menempuh hari-hari mendatang.



"Ya Allah perkenankanlah segala doa dan hajatku sepanjang disana. Ya Allah sebagaimana Engkau menyampaikanku ke tanah suci pada kali ini, sampaikanlah aku untuk kali yang seterusnya. Ameen"

Sunday, August 14, 2011

Sahabat dunia akhirat

Manusia diciptakan untuk saling berkenalan. Sengaja Allah ciptakan manusia berbilang bangsa, berbilang bahasa, berbilang kaum atas tujuan ini, berkenalan. Seterusnya Allah sebut juga yang paling mulia dalam kalangan kamu adalah yang paling bertaqwa.

Dimana sahaja kita berada tidak akan terlepas untuk bersosial atau bermuamalah sesama manusia. Dan sebenarnya kita tak mampu pun untuk terus hidup tanpa bantuan dan pertolongan manusia lain. Tak mampu untuk tinggal bersendirian. Dikala bosan, kita akan mencari teman. Dikala gembira, teringin rasanya untuk berkongsi dengan kawan. Dikala sedih kita memerlukan sahabat untuk melauhkan. 

Atas keperluan inilah baru kita akan memahami dan mula menghargai sebuah ikatan, sebuah ukhuwwah. Perkara utama yang perlu mendasari sebuah hubungan ialah hati dan keikhlasan. Dalam menjalinkan hubungan sesama manusia, ikhlas itu memang penting. Tanpa ikhlas dalam berkawan, hubungan tak akan lama. Bila sedikit saja ujian berlaku, masing-masing tak mampu untuk berlapang dada. Sebabnya ikatan hati itu tidak kuat. Tidak iklas pun untuk meneruskan persahabatan.

Berkawan juga tidak dapat lari dari memberi dan menerima, berkongsi. Jangan pernah putus asa dalam memberi. Jangan banyak membantah bila tak menerima. Sebenarnya lagi sesuai gantikan semua itu dengan istilah berkongsi. Berkongsi takkan pernah rugi. Makin banyak kita beekongsi makin bertambah untuk diri kita.

Jangan mengharapkan apa-apa balasan dalam bersahabat. Kelak bila tak dapat kita akan menjauhi dan meninggalkan sahabat. Hargai sahabat seadanya. Belajar untuk menghargai orang lain dahulu supaya orang lain menghargai kita. Kena faham juga bahawa manusia tiada yang sempurna. Ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sekali kita bersahabat ertinya kita hendaklah menerima keduanya, kelemahan dan kekurangannya sekali.

Sahabat sejati adalah sahabat yang tetap bergelar sahabat di dunia hingga ke akhirat. Baca firman Allah dalam surah az-Zukhruf:

Close friends, that Day, will be enemies to each other, except for the righteous
*Semalam lepas exam immunology batch Jordanians09 berkumpul tangkap gambar beramai-ramai. Ni hasilnya.



*Dan ada lagi sahabat-sahabat yang tak akan saya lupakan, mereka ada dalam hati saya sentiasa.


1st batch of MTS. Dekat dihati, tak pernah lupa. =D
*saya masih lagi belajar menilai sebuah ukhuwwah. Kuncinya adalah hati, ingat!

Tuesday, August 9, 2011

Raikan perbezaan

Assalamualaikum..

Berbeza tak semestinya satu akan jadi betul dan satu lagi salah. Kadangkala perbezaan itu merupakan pelengkap antara satu sama lain. Boleh jadi kalau tak wujud sesuatu perbezaan begitu satu lagi tak mampu untuk mencapai tahap yang ia duduki sekarang.

Sedangkan dalam seorang manusia sahaja pun wujud perbezaan. Tengok saja pada tangan jari jemari kita. Bukan semuanya sama panjang dan sama saiz. Tidak disebabkan perbezaan ini, jari tengah adalah jari manakala jari manis bukan jari. Tidak, jari manis, jari kelingking, ibu jari semuanya adalah jari walaupun mereka berbeza dari segi saiz, panjang, kedudukan dan sebagainya.

Contoh kedua, kembar. Seorang kembar yang berkongsi satu rahim, satu rupa, satu emak, satu ayah akan ada juga perbezaannya. Boleh jadi bila makin membesar sifat, tingkah laku, perasaan, pemikiran, ilmu mereka akan berbeza. Susah dan agak mustahil saya kira kalau mereka akan masih sama sehingga dewasa, sehingga selamanya.

Dalam suatu masyarakat pula. Sudah tentu perbezaan antara mereka akan lebih luas. Berbeza dari segi segalanya. Memang ada persamaan, tapi perbezaan saya kira lebih banyak. Berbeza jantina, umur, ilmu, tahap kematangan, pemikiran, minat, kecenderungan dan sebagainya.

Boleh jadi kita sukakan sesuatu, tapi orang lain tak menyukainya. Boleh jadi kita benci sesuatu, tapi orang lain sangat menyukainya. Kalau kita suka, dia tak suka, tak semestinya kita betul dan dia salah. Tak semestinya dia yang betul dan kita salah. Tak semestinya lah. Boleh jadi juga betul.

Jadi macamana cara nak harmonikan supaya semua boleh meraikan dan menikmati segala perbezaan yang wujud dalam kehidupan kita? Berlapang dada, saling bertolak ansur, saling memahami mungkin boleh menjadi kunci kepada perbezaan yang wujud. Prinsip? Berlapang dada tak bermaksud kena korbankan prinsip.

Jari dalam satu tapak tangan pun berbeza, kan?

*Post ditulis secara laju. Sekadar tulis apa yang terlintas. Mungkin boleh diaplikasikan dalam sesetengah kondisi dan kurang sesuai dalam kondisi yang lain. 
*Sebarang komen dan pendapat amat dialu-alukan.


Wallahu a3lam.

Tuesday, June 28, 2011

Repost : mana lagi penting

Hari ni buka dan baca balik post lama. Ya, tulisan sendiri. Rasa malu dengan diri sendiri pun ada. Allah~
*********************

Situasi 1
Amin bersekolah di Sekolah Menengah xxxxxxxx. Tahun ini dia menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun sikap Amin bukan seperti seorang pelajar. 
  • Pagi bangun lewat
  • Pergi sekolah lewat. Selalu didenda oleh guru disiplin.
  • Kadang-kadang ponteng kelas.
  • Kalau pergi kelas pun, biasanya tidur kat belakang semasa guru mengajar.
  • Subjek yang paling digemarinya bermula pada pukul 11.30-12.00 setiap hari. (kalau dalam jadual ditulis waktu rehat)
  • Setiap petang main bola sepak. (Join selection wakil sekolah tapi tak dapat)
  • Malam-malam main PES sahaja.
  • Tak pernah ada masa untuk study.
SPM tiba. Amin menghabiskan hari-hari peperiksaannya dengan keadaan yang amat tertekan. Menyesal, sedih, bertaubat, insaf. Semua ada. Tapi apakan daya nasi sudah menjadi bubur.

Di hari keputusan SPM diumumkan, Amin mendapat panggilan dari pihak sekolah.

"Tahniah Amin. Awak telah berjaya menaikkan nama sekolah kita. Awak mendapat keputusan yang cemerlang. 24A+!! Rekod baru dalam sejarah sekolah kita."

Amin kebingungan. Tak tahu apa yang patut dia rasa. Gembirakah. Atau... (blank)

"Mungkin silap orang kot..", kata Amin apabila ditemuramah oleh sidang akhbar. Dia juga diumumkan sebagai pelajar terbaik Malaysia pada tahun itu.

Situasi 2
Pada tahun berikutnya. Junior kepada Amin, Amir. Dia mendapat aspirasi daripada seniornya. Dia menanam cita-cita untuk turut menjadi pelajar terbaik Malaysia. Tapi dia sedar kejayaan bukan bergantung kepada nasib semata-mata. Oleh itu, Amir telah merancang pelajarannya dengan baik.
  • Bangun awal setiap pagi. Dia memulakan harinya dengan Qiamullail dan meneruskan dengan ulangkaji pelajaran sehingga subuh. Kemudian bergerak ke Masjid.
  • Pergi awal ke sekolah. 
  • Dalam kelas, Amir merupakan seorang pelajar yang aktif. Sentiasa bertanya soalan kepada guru. Menawarkan diri untuk menjawab soalan di hadapan.
  • Waktu rehat digunakan dengan sebaiknya. 15 minit untuk ke kantin dan bersih diri. 15 minit lagi untuk ulangkaji pelajaran pagi tadi.
  • Kelasnya berakhir pada pukul 3.30 petang. Tapi biasanya dia pulang ke rumah hampir pukul 6 petang. Ulangkaji pelajaran di kelas.
  • Maghrib dan Isya'nya pasti di masjid. Selesai, balik ke rumah dan ulangkaji sedikit untuk keesokan hari.
  • Tidur awal.
Apabila keputusan SPM diumumkan, ia tdak mengecewakan Amir. Setimpal dengan usahanya selama ini. Dia  juga diumumkan sebagai pelajar terbaik Malaysia dengan keputusan 20A+5A-. Walaupun tak sehebat seniornya Amin, tetapi dia berpuas hati.

"Semua ni kurniaan Allah untuk hambaNya yang hina..", bisik hati kecilnya.

Senyuman terpamer dibibir tak habis-habis. Bahagia. Terasa dunia ini dia yang punya..
  
Usaha wasilah kejayaan

Sembang-sembang
Siapa yang lebih bahagia. Amin atau Amir? Jika diberi pilihan untuk menjadi Amin atau Amir, saya akan pilih Amir.

Soalnya, adakah kejayaan itu yang membahagiakan? Jika ya, sudah tentulah Amin yang paling bahagia. Keputusannya lebih baik berbanding Amir. Tapi saya fikir Amir yang lebih gembira dan bahagia. 

Jadi, apa yang menentukan bahagia jika bukan kejayaan?

Dalam kita mengejar matlamat, wasilah itu penting. Dalam mengejar kebahagiaan, sememangnya perlu menghadapi kepahitan. Dan sebenarnya, kepahitan dan kepenatan sepanjang melewati wasilah itu yang memaniskan matlamat kita. Semakin pahit perjuangan, semakin manis kejayaan menanti dihadapan.

Apa nilai sebuah kejayaan tanpa usaha?

Amir merasai pahit dan perit berusaha. Hasilnya, dia berasa amat bahagia dengan keputusan yang diperolehinya. Berbeza dengan Amin yang turut berjaya, tetapi bahagianya tiada. 

Muhasabah
Adakah sekadar kejayaan SPM yang kita kejar sebenarnya? Adakah berakhir perjuangan kita sekadar mendapat segulung ijazah, mendapat kerja dan pangkat besar, gaji tinggi dan hidup senang? 

Matlamat sebenar yang patut dikejar ialah kehidupan di akhirat. Itulah kejayaan yang sebenar. Sebagaimana firman Allah.

"Dan (pada hari itu) sesiapa yang diselamatkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga maka dialah sebenar-benar yang berjaya" Ali Imran;186


Jadi, untuk lebih memaknakan kejayaan ini, menuntut kepada perjuangan yang lebih besar. Dan perlu ingat tiada istilah kebetulan dan nasib untuk menjejaki Syurga Allah. Ia hanya untuk hamba-hamba Allah yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. 

Memang! Perit dan pahit wasilahnya. 
  • Susahnya untuk bangun berqiamullail sepertiga malam. Dikala manusia lain lena dibuai mimpi indah.
  • Bukan senang untuk istiqomah solat di masjid ketika pelbagai urusan diri yang masih belum selesai.
  • Peritnya nak khatam Quran sekali sebulan ketika beratus-ratus helai buku pelajaran masih lagi berbaki.
  • Pahitnya rasa apabila cuba mengajak kawan ke arah kebaikan tetapi tidak diendahkan.
  • Susahnya nak sentiasa mengingati Allah sedangkan keseronokan dan hiburan dunia amat melekakan.

Tapi ingatlah, satu kejayaan yang amat manis menanti dihadapan. 

Saya buka inbox handset saya. Ada satu SMS yang mungkin sesuai saya tulis disini.

"selangkah ke alam perjuangan, bererti selamanya dalam kepahitan..

Biarlah menangis terluka, dari mati terkambus tanpa mujahadah..

kita tak sanggup selamanya terluka, tapi ingatlah bahawa tiap titisan darah dan air mata itu amat bermakna..

Apabila ditanya mengapa berjuang itu pahit, kerana Syurga itu manis" - From Asyraf Salleh.

Salam thabat dan istiqomah untuk pejuang Islam sekalian.

*Juga salam rindu buat sahabat seperjuangan sekalian:
Asyraf Salleh, Asyraf Suhaimi, Hamdi Razali, Mohammad Darwish dan semua 1st batch MTS sekalian.

*Rindu untuk duduk bersama antum sekalian..

Harap bermanfaat~

Flag counter

free counters