Bayangkan anda seorang cikgu matematik disebuah sekolah yang terkenal. Dalam mesyuarat antara guru-guru, anda telah disepakati untuk memilih beberapa orang dari pelajar kelas anda untuk mewakili sekolah dalam pertandingan kuiz matematik peringkat kebangsaan.
Hari ini anda melangkah masuk ke kelas dengan harapan dapat mencari seorang pelajar yang paling pintar dalam subjek matematik. Jadi, hari ini anda tidak bercadang untuk mengajar, sebaliknya hanya mengadakan mini kuiz sambil ulangkaji pelajaran lepas. Melalui mini kuiz ini juga, anda akan mengenalpasti pelajar mana paling cepat dan tepat menjawab persoalan-persoalan yang akan dikemukakan.
Soalan pertama telah anda bacakan. Soalan berkisar dari tajuk statistik, tajuk yang baru sahaja anda habiskan pada minggu lepas.
Pelajar-pelajar kelihatan berkerut. Masing-masing bersungguh-sungguh mengerah fikiran mencari jawapan setepatnya. Ada yang memegang kalkulator, ada yang menconteng kertas, ada yang menggigit pensil sambil berfikir. Macam-macam gaya ada.
Dalam masa kurang lebih 2 minit, kelihatan seorang pelajar yang berada di tengah kelas sebelah kanan mengangkat tangan. Ingin mencuba jawapannya diwaktu pelajar lain masih lagi mencari solusi. Dia bangun dan membacakan jawapannya. Semua yang lain terpegun.
"Tepat sekali jawapan anda!", anda bersuara selepas menyemak kepada jawapan soalan tersebut.
Kini anda beralih kepada soalan kedua. Soalan yang agak mencabar berbanding soalan yang pertama. Seperti sebelumnya, semua pelajar bersungguh-sungguh mencari jawapan. Tumpuan anda sewaktu ini terfokus kepada pelajar yang menjawab tadi. Pelajar A saya namakannya. Dia kelihatan tenang berbanding yang lain.
Selang beberapa minit, seorang kelihatan seorang pelajar lain terlebih dahulu mengangkat tangan berbanding pelajar A. Tempat duduk mereka bersebelahan sahaja. Dengan agak kalut, pelajar tersebut membacakan jawapannya.
Tapi sayangnya jawapan dia kurang tepat. Dengan segeranya pelajar A terus mengangkat tangan dan membacakan jawapannya. Dan sekali lagi beliau dapat menjawabnya dengan tepat. Seluruh kelas bertepukan tangan.
Pelajar A berjaya menarik perhatian anda. Akhirnya anda telah memilih beliau dan beberapa sahabatnya yang lain untuk mewakili sekolah dalam pertandingan tersebut.
.........................
Begitulah secara umumnya. Dalam kehidupan ini, kita perlu kepada sesuatu yang berbeza dan lebih dari yang lain untuk menarik perhatian sesiapa pun. Tanpa perbezaan ini, tahap kita akan sama dengan orang ramai. Tiada benda yang mampu membezakan kita dengan orang sekeliling. Lantas tidak peliklah jika layanan orang terhadap kita tidak istimewa dan biasa-biasa sahaja.
Perhatian siapa kita mahu?
Sibuk kita berbincang berkaitan tarik perhatian. Satu persoalan perlu kita jawab terlebih dahulu. Perhatian siapa yang kita mahu sebenarnya?
Ya! Tak lain dan tak bukan sebagai seorang muslim yang benar, tumpuan kita mestilah kepada Dia, Pemilik kepada kita dan semesta alam seluruhnya.
Kita hidup umpama seorang peminta sedekah. Tak memiliki sedikit apa pun dan hanya menadah tangan memohon belas ihsan dari yang Maha Memberi. Dan tanpa belas kasihan dan perhatian dariNya, nescaya kita tak mampu pun untuk duduk membaca tulisan ini pada saat ini.
 |
| Sesungguhnya hidupku seluruhnya adalah untuk Allah, tuhan sekalian alam. |
Soalnya bagaimana?
Allah itu Maha Melihat. Dan Allah juga Maha Mengetahui.
Sudah sedia maklum, tujuan penciptaan kita di muka bumi ini adalah untuk beribadah kepada Allah. Dan Allah juga telah menyebut dalam Al-Quran bahawa diciptakan kematian dan kehidupan adalah untuk menguji hambaNya siapakah antara mereka yang terbaik amalannya.
Dan saya kira, inilah satu-satunya jalan untuk kita menarik perhatian Allah SWT.
Saya pernah berbincang dengan kawan-kawan. Dalam berjuta-juta malah berbilion-bilion hamba Allah, semua antara mereka beriman dan beribadah kepada Allah. Dalam keramaian yang teramat ini, mungkinkah kita akan dianggap
special oleh Allah jika kita hanya sekadar melakukan ibadah untuk melepaskan tanggungjawab tugasan kita sebagai hamba Allah?
Jawabnya adalah tidak. Untuk kita di
specialkan disisi Allah, kita perlu lebih daripada itu. Kita perlulah bersungguh-sungguh seikhlas hati untuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Kita mestilah beribadah dan beramal kepada Allah dengan sepenuh rasa lemah diri, hina dan berharap kepadaNya.
Untuk mereka yang betul-betul ikhlas ingin berserah diri kepada Allah, jutaan jalan dan cabang telah Allah sediakan untuk menuju ke arahNya.
" Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji" Al-Israa ; 79
" Bacalah Al-Quran. Kerana Al-Quran itu akan datang pada hari Qiamah memberi syafaat kepada para pembacaNya " Al-Hadis
" Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu..." Al-A'raf ; 180
" Dan orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan " Al-'Ankabuut ; 68